cikgu YaTie


Sistem ekonomi Melayu tradisi amat berlainan daripada sistem yang dibawa oleh British. Dalam sistem ekonomi Melayu, masyarakat Melayu berteraskan sistem ekonomi sara diri. Cuma setelah kehadiran dan penaklukannya terhadap negeri-negeri Melayu sistem tradisi ini telah bertukar kepada sistem ekonomi komersial. Walaupun begitu, sifat-sifat ekonomi komersial pernah juga dijalankan oleh masyarakat sebelum kedatangan penjajah barat. Cuma ia dijalankan secara kecil-kecilan sahaja.

Sistem Ekonomi Sara Diri
( Sebab-sebab )

Sistem ekonomi sara diri dari segi konsepnya ialah satu sistem pertanian sara hidup. Dalam konteks sistem ini barangan pertanian yang dikeluarkan ialah barangan untuk kegunaan keluarga sahaja. Ia tidak berfokuskan kepada lebihan pengeluaran. Ini berbeza dengan sistem pertanian komersial yang berfokuskan lebihan pengeluaran. Hal ini kerana dengan bahan pengeluaran yang berlebihan itu, usahawan yang mengusahakan boleh menjual dan mendapatkan keuntungan. Mengapakah masyarakat Melayu tradisi tidak menjuruskan sistem ekonominya ke arah sistem ekonomi komersial? Dalam menjawab persoalan ini pelbagai faktor perlu diambilkira. Ia perlu dilihat dari aspek sistem kerja, sistem pemilikan tanah, sistem kenegaraan, teknologi yang digunakan, hubungan petani dengan dunia luar, dan sumber pertanian.

Dari aspek sistem kerja, petani yang menggerakkan kerja pertanian berasaskan sistem kekeluargaan. Ia tidak melibatkan orang lain. Dengan sistem ini sebuah keluarga mengusahakan pertanian mereka sahaja. Mereka tidak melibatkan orang lain. Dengan kata lain mereka boleh mengusahakan tanah mereka atau tanah tuan mereka dengan keluarga mereka sahaja. Sebagai kesan daripada konsep ini mereka tidak perlu memikirkan untuk membayar upah kepada orang lain. Melalui cara ini mereka sekadar memuaskan hati dengan keperluan bagi keluarga mereka. Oleh itu, konsep lebihan untuk mencari untung tidak pernah difikirkan ( Amarjit Kaur. 1991; Ishak Shaari. 1991).

Keadaan sistem kerja ini diberatkan lagi dengan cara sistem pemilikan tanah. Dalam sistem pentadbiran Melayu tradisi sistem pemilikan tanah berpusatkan sultan. Hal ini berasaskan pendapat Maxwell yang menghubungkan kekuasaan raja dalam sistem Hindu yang digunapakai oleh kesultanan Melayu yang mempunyai konsep pemilikan tanah. Dalam hal ini Maxwell menyatakan bahawa Raja mempunyai hak dalam semua wilayah jajahannya. Hak-hak tersebut adalah seperti hak kekuasaan tanah, cukai, hasil bijian dan hak membahagikan tanah yang belum diterokai. Kesimpulan daripada itu para petani hanya boleh mengerjakan tanah jika mereka membayar sebahagian daripada hasil keluarannya. Biasanya ialah satu persepuluh. Dengan hak ini, para petani memikirkan apakah mereka berkesanggupan untuk membayarnya. Hal ini kerana jika mereka tidak dapat melunaskan bayaran tersebut berkemungkinan mereka akan menjadi hamba berhutang. Oleh itu sebagai mencari jalan keluar daripada masalah ini maka mereka lebih rela mencari hasil-hasil huitan bagi menyara kehidupan mereka. Hal pemilikan tanah ini lebih jelas seperti di Kelantan. Clifford menyatakan bahawa rakyat Kelantan tidak mempunyai hak dalam pemilikan tanah. Mereka dianggap sebagai golongan yang memberi sumber dan hasil untuk golongan pemerintah. Walaupun kedua-dua kenyataan ini menggambarkan seolah-olah sistem pentadbiran Melayu tidak mempunyai sistem pemilikan tanah yang teratur, ia dibantah oleh Jomo dan Wan Hashim. Walaupun jika adapun sistem pemilikan tanah dalam pentadbiran Melayu tetapi ia mungkin tidak menjamin hak miliknya kerana sultan masih lagi berkuasa dalam menentukan pemilikan secara hakiki ( Ishak Shaari.1991 ). Hal seperti ini sedikit sebanyak telah menjejaskan konsep mengkomersialkan pertanian di negeri-negeri Melayu.

Dalam aspek sistem kenegaraan ia melibatkan sistem serah dan sistem kerah. Kita ketahui bagaimanakah caranya sultan berperanan dalam mengketengahkan kekeramatan dan kemuliaan. Ia ditunjukkan melalui ilmu yang dimiliki, alatan, restu mahupun lambang-lambang kekuatan lain dan selalunya dihubungkan dengan ketuhanan. Oleh itu ia dapat menggerakkan rakyat untuk menyatakan kesetiaan dan ketaatannya. Untuk menunjukkan kesetiaan dan ketaatan inilah para petani terutama orang lelaki dipaksa bekerja untuk sultan mahupun pembesar. Selalunya kerja-kerja dalam sistem ini bukan sahaja melibatkan bidang pertanian, tetapi merangkumi pelbagai bidang lain. Ia pula dilakukan tanpa mempunyai ketetapan yang tetap. Oleh itu, jangka masa yang tidak tentu menyukarkan kerja-kerja pertanian yang hendak dijalankan. Selain daripada menunjukkan ketaatsetiaan dalam corak menyerahkan diri untuk kerja-kerja sultan, para petani juga diikat dengan sistem serah. Dalam hal ini para petani perlu menyerahkan sama ada lebihan hasil, barangan, keperluan dan lain-lain bahan untuk sultan. Ini bagi menunjukkan kesetiaan dan ketaatan. Ishak Shaari ( 1991 ) menyatakan sistem serah ini lebih teruk daripada sistem kerah. Ia membuatkan rakyat berasa bimbang bahawa lebihan mereka akan dirampas oleh sultan atau pembesar tempatan. Hal ini dapat dikuatkan lagi dengan kenyataan Munsyi Abdullah seperti yang berikut:

“Maka katanya ( seorang rakyat biasa yang ditemui oleh Abdullah ) Dan lagi baik perahu atau tanaman-tanaman dan hidup-hidupan sahaja sekalian, jikalau dikehendaki raja diambilnya sahaja dengan tiada berharga. Dan lagi, kalau ada berharta dan anak perempuan yang baik-baik, jikalau berkenan raja, diambilnya juga, tiada ditahankan kehendak raja; dan jikalau ditahankan atau tiada diberi, disuruhnya tikam mati-mati sahaja”.

Dengan keadaan sistem kenegaraan yang diamalkan serta teknologi yang digunakan sebenarnya ia tidak menjanjikan satu pulangan yang menguntungkan. Rata-rata petani yang mengusahakan tanah pertanian masih menggunakan teknologi pertanian kuno. Mereka masih menggunakan tulang empat kerat dengan beralatkan cangkul, parang, penyabit, dan penajak. Walaupun begitu, masih ada petani yang tidak mempunyai alatan yang mencukupi. Seperti kata Ishak Shaari. ( 1991 ), ada petani yang tidak mempunyai kerbau untuk membajak tanah. Jika tidak mempunyai peralatan yang mencukupi bagaimanakah para petani hendak mengubah teknologi pertanian ke arah sistem komersial. Keadaan ini sama juga berlaku kepada para petani di England sebelum wujudnya zaman revolusi pertanian di mana para petani di sana mengamalkan aspek yang diamalkan di Tanah Melayu. Hanya apabila ada gerakkan dalam menggerakkan revolusi pertanian maka wujudlah satu bentuk pemikiran pertanian ke arah sistem komersial.

Keterbatasan hubungan antara petani dengan dunia luar boleh menyumbangkan kemampuan petani untuk mengubah corak pertanian mereka. Biasanya hubungan dagangan hanya dilakukan oleh para pembesar dengan tidak memberi peluang kepada petani untuk menjalankan urusan perdagangan. Sebab itulah kalau dilihat daripada aktiviti kerja yang dijalankan oleh masyarakat Melayu sebahagian besarnya adalah berteraskan sektor pertanian. Mereka tidak dapat melihat peluang-peluang yang ada dalam aspek perdangan. Biasanya aspek ini dibolot oleh pembesar-pembesar atau sultan. Keterbatasan ini jugalah yang menyebabkan orang-orang Melayu tidak dapat melihat kebaikan sistem-sistem yang cuba dilaksanakan oleh orang-orang Inggeris. Kita harus akui ada sistem yang dibawa Inggeris boleh memecahkan kebuntuan dan kemiskinan orang Melayu. Hal ini boleh dilihat daripada mengasingkan konsep ketuhanan yang ada pada sultan dan mengendurkan ketaatan yang membabi buta. Ini didasarkan sebenarnya konsep komersial telah lama dijalankan, cuma ia diboloti oleh orang-orang yang mempunyai hubungan dengannya. Keadaan ini jauh berbeza dengan sikap petani dan orang barat yang mengamalkan sikap keterbukaan dan menerima revolusi sama ada revolusi pertanian dan industri. Hal ini kerana pada waktu itu mereka menjuruskan pemikiran mereka ke arah pemikiran inkuiri dan sentiasa ingin tahu berkenaan alam dan memangkinkan ilmu untuk kesejahteraan hidup. Inilah sebenarnya yang menjayakan Islam dan akhirnya hal ini jugalah yang ditinggalkan oleh Islam.

Selain itu, hak petani ke atas harta yang dicari mereka tidak terjamin. Ini berikutan daripada sistem pemilikan tanah yang menyaksikan petani tidak mempunyai hak ke atas tanah tesebut ( Clifford ). Ini menjadikan hasil yang didapati oleh petani menjadi sumber kepada golongan bangsawan. Ini dapat dilihat daripada kenyataan Graham yang menyatakan

“Kenyataan bahawa semua tanah pada asasnya menjadi milik pemerintah seperti yang terdapat di India dan Indonesia, wujud juga di Kelantan.... pada hakikatnya tidak terdapat tanah yang dimiliki secara bebas di negeri ini. “

Melalui keadaan ini petani tidak merasai akan terjamin usaha yang diljalankan oleh mereka dan berkemungkinan juga kurniaan yang diberikan itu boleh ditarik balik dan menjadikan mereka sebahagian daripada kerahan yang dilakukan untuk sultan dan pembesar ataupun tanah tersebut diberikan kepada orang lain.

Keadaan ini telah menyebabkan para petani menjalankan ekonominya secara kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang dengan menjalankan pertanian secara kecil-kecilan khususnya dalam penanaman padi dengan padi huma dan sawah, mencari hasil hutan seperti buah-buahan hutan ,rotan serta akar kayu bagi ubatan tradisi, perternakan ayam itik, menangkap ikan di sungai dengan cara memancing ataupun memasang lukah yang tidak begitu produktif untuk hasil ekspot, dan pelombongan dengan cara mendulang. Usaha-usaha ini dijalankan hanya bagi menampung kehidupan dan tidak wujud satu pengkhususan kerja serta matlamat pengeluaran bagi tujuan ekspot. Oleh itu, petempatan masyarakat melayu banyak terdapat di pinggir-pinggir hutan dan sungai kerana di situlah banyak sumber bagi mereka menampung kehidupan seharian.

Ekonomi Komersial
( Bukti kewujudan aktiviti ekonomi komersial )

Dalam sistem ekonomi komersial aktiviti ekonomi menjurus pada lebihan pengeluaran. Hasil yang dikeluarkan diekspot dan dijual kepada pedagang bagi mendapatkan kewangan. Walaupun aktiviti ekonomi masyarakat Melayu didominasi oleh aktiviti pertanian sara diri, aktiviti dagangan masih beroperasi. Hal ini kerana sistem ekonomi masyarakat Melayu adalah terbuka.

Walaupun ekonomi Tanah Melayu lebih kepada ekonomi sara diri, aktiviti komersial masih dijalankan. Keadaan ini dimonopoli oleh golongan bangsawan dan bukannya petani. Ia dapat difahami kerana para bangsawan memiliki kuasa untuk mengenakan cukai, pengurniaan tanah, dan mengambil semula tanah. Kuasa dan kekuasaan yang dimiliki mereka menjadikan para petani sebagai golongan yang menjadikan golongan bangswan semakin kaya. Oleh sebab golongan petani ialah golongan yang mengikut dan memberikan tumpah taat setia yang tidak berbelah bahagi ini menyebabkan mereka terpaksa menyerah dan mematuhi kehendak para pembeasar. Biasanya kedaan ini difahami sebagai satu kesan yang tidak baik dalam sistem kerah dan serah. Melalui sistem inilah para pembesar menjadi para pedagang dan mempunyai bekalan yang mencukupi untuk didagangkan.

Aspek kedua yang mencetuskan perubahan sistem ekonomi ke arah sistem ekonomi komersial ialah terjumpanya bijih timah di Larut oleh Long Jaafar. Adanya penenmuan ini menyebabkan urusan dagangan dibuat oleh orang Eropah, terutamanya Inggeris dan Belanda. Ini diperteguhkan lagi dengan keperluan buruh-buruh Cina untuk menambahkan pengeluaran dan ia juga merupakan kesan yang menyebabkan Perak dicampur tangan oleh Inggeris. Dalam hal ini para pedagang negeri selat telah mendesak untuk menstabilkan Perak. Ini membuktikan bahawa aktiviti komersial ini ada walaupun ia hanya melibatkan golongan pembesar.

Peluasan dan keaktifan pelombongan bijih timah, bukan sahaja meluaskan dan mempercepat perubahan sistem ini, tetapi sebelumnya pada era kegemilangan kerajaan Melayu Kedah, Melaka dan Johor - Riau telah lebih awal lagi membantu perubahan sistem ekonomi sara diri. Inilah yang mengjhasilkan sebab ketiga mengapa berlakunya perubahan kepada sistem ekonomi sara diri kepada ekonomi komersial. Pembukaan dan perkembangan pelabuhan-pelabuhan di Melaka, Johor-Riau , dan Kuala Kedah sebagai pelabuhan entrepot telah menggalakkan kedatangan pedagang-pedagang dari luar, terutamanya pada abad yang ke 14, 15, dn 16. Dalam era ini, para pedagang Eropah mencari peluang perniagaan dan tanah jajahan serta memasukkan unsur-unsur peradaban ekonomi mereka seperti pengenalan sistem kewangan dan ekonomi kapitalis. Hal ini selanjutnya diteruskan dalam abad ke 19 dan 20 apabila perkembangan dan wujudnya Revolusi Pertanian dn Industri lebih merancakkan lagi permintaan bahan mentah sehingga diperkenalkan sistem-sistem ekonomi di negara jajahan. Keadaan ini lebih galak lagi apabila pelabuhan Singapura dibuka pada awal abad ke 19. Hal ini seterusnya telah mempengaruhi pembesar-pembesar tempatan dan sultan untuk merebut peluang ekonomi bagi mengaut keuntungan dan kekayaan. Fenomena ini mempuunyai pengaruh yang kuat yang boleh mengubah minda dan pemikiran orang-orang Melayu ke arah perubahan sistem. Hal ini juga membuktikan bahawa telah wujud aktiviti ekonomi komersial sejak awal abad ke 14 di Tanah Melayu.

Bukti keempat ialah wujudnya masyarakat yang berbilang kaum di Melaka. Masyarakat berbilang kaum ini yang terdiri daripada kaum Cina, India, Jawa, Arab, dan Eropah telah sedia ada. Dalam hal ini boleh dikatakan masyarakat India dan Arab merupakan masyarakat yang terawal datang ke Tanah Melayu. Kedatangan mereka bukan setakat untuk urusan perdagangan, tetapi menyebarkan fahaman agama dan bahasa mereka. Dengan adanya masyarakat majmuk ini, jelas bahawa aktiviti komersial dengan bertukar barangan telah lama wujud di Tanah Melayu. Ia lebih rancak lagi apabila adanya teknologi pengangkutan laut dan kedatangan orang Eropah ke Tanah Melayu. Kemajmukan bangsa ini telah membentuk pola-pola ekonomi terhadap masyarakat. Penguasaan perdagangan semakin jelas dengan pengusaan orang Eropah dan Cina. Andaya ( 1982 ) menyatakan pada tahun 1848-9 penguasaan orang Eropah dan Cina dalam perdagangan Tanah Melayu ialah 16% dan 19%, tetapi pada tahun 1868-9 berubahan pada 25% dan 12 %.

Kedatangan orang Eropah seperti Portugis, Belanda, Inggeris, Amerika Syarikat, Perancis dan lain-lain bangsa Eropah memperlihatkan pembukaan Pulau Pinang dan Singapura oleh kuasa Eropah. Penguasaan Melaka oleh Portugis merupakan asas kepada peluasan kuasa mereka. Peluasan kuasa yang dibuat mereka sebenarnya terhasil daripada aktiviti perdagangan komersial. Mereka bermula dengan hubungan dagangan secara persahabatan seterusnya mereka memetri perjanjian bagi mendapat bahan-bahan mentah yang diperlukan. Keperluan bahan mentah serta kerakusan dan persaingan untuk mendapatkannya antara mereka merupakan bukti bahawa wujud perdagangan secara komersial di Tanah Melayu dan rantau nusantara. Inilah bukti yang kelima yang nyata menunjukkan wujudnya perdagangan komersial.

Aspek keenam - Perjanjian Inggeris - Belanda 1824 - Pembahagian wilayah antara Inggeris dan Belanda bagi urusan dagangan kedua-dua buah negara. Dalam perjanjian ini kedua-dua kuasa ini bersetuju untuk tidak bersaing dalam satu kawasan yang sama yang boleh menyebabkan perseteruan. Hal ini kerana kedua-dua kawasan utara dan selatan khatulistiwa mempunyai sumber bahan mentah yang sama seperti bijih timah dan rempah ratus. Ini juga merupakan antara sebab mengapa kuasa-kuasa barat bersaing untuk menguasai wilayah. Keadaan ini boleh membuktikan wujudnya satu sistem perdagangan yang membolehkan kuasa Inggeris mengumpul dan mendapatkan bahan mentah ini. Keadaan seperti ini tidak akan wujud jika tidak ada pedagang Melayu yang kebanyakannya dikuasai oleh para pembesar selain daripada masyarakat pendatang seperti orang Cina dan India.

Aspek ketujuh dalam membuktikan telah wujudnya sistem ekonomi komersial ini ialah adanya ladang-ladang gambir yang dibuka secara besar-besaran oleh keluarga Temenggong Johor. Ini mewujudkan sistem kangcu dan surat sungai yang membolehkan perkembangan peladangan gambir ini dapat dibuat secara komersial dan bagi mengelakkan permusuhan dan peperangan antara puak-puak masyarakat Cina. Selain itu, wujudnya Sistem Pajak di Kedah membuktikan bahawa masyarakat Melayu mempunyai kecenderungan dalam bidang ekonomi komersial. Dalam sistem ini Sultan Kedah memajak tanah-tanah kepada pemodal-pemodal bagi penanaman hasil tani unutk ekspot.


Sebab Perubahan Ekonomi Sara Diri ke Ekonomi Komersial

Aspek Politik:
1. Perubahan sistem pemilikan tanah dan perubahan adat Melayu.
Perubahan dalam sistem pemilikan tanah yang dilakukan oleh Inggeris telah mengakibatkan kehilangan atau berlakunya perubahan dalam sistem kehidupan masyarakat Melayu terutamanya yang melibatkan sistem kerah, serah dan hamba abdi. Perubahan yang dilakukan Inggeris dengan memberikan hak milik kepada mereka yang berkenaan telah menjelaskan tentang hak milik tanah kepada pemiliknya secara sah. Penentuan dan pengsahan hak milik tanah di kalanagan masyarakat petani telah membolehkan para petani berusaha dalam menambahkan pengeluaran dan peningkatan hasil daripada tanah yang diusahakan. Mereka tidak lagi berasa bimbang akan hasil yang dikehendaki diserahkan kepada para pembesar, tetapi dapat menembahkan hasil bagi keluarga mereka untuk mendapatkan perubahan dalam taraf hidup. Perubahan pentadbiran yang menyentuh pemilikan tanah ini, walaupun ditentang oleh pembesar Melayau sebenarnya telah membantu golongan bawahan untuk mendapatkan hak milik terhadap tanah yang diusahakan.
2. Perubahan peranan pembesar dan Sultan dalam sistem tadbir penjajah. Pembesar jadi pegawai kerajaan, Sultan penasihat kepada residen. Keadaan ini bukan setakat men jejaskan kekuasaan kepimpinan Melayu tetapi ia membolehkan Inggeris membentuk satu sistem bagi mencegah ketidakadilan yang berlaku terhadap golongan bawahan Melayu yang dirasakan ditindas oleh golongan atasan melalui pelbagai sistem dan kepercayaan yang dikenakan terhadap masyarakat bawahan Dalam perubahan kepimpinan dan hiraki kepimpinan Melayu para pegawai Inggeris telah menentukan hala tuju dan undang-undang baru yang berteraskan undang-undang commom law Inggeris sehingga mengubah teras kepercayaan masyarakat terhadap instusi kesultanan dan pembesar. Walaupun keadaan ini menjejaskan masyarakat pembesar Melayu sedikit banyak ia telah membantu golongan bawahan Melayu untuk memiliki kekayaan dengan golongan pemerintah Melayu Walaupun pada hakikatnya Inggeris banyak menguasai memboloti kekayaan negara tetapi perubahan tanggapan masyarakat bawahan bagi penambahan hasil ekonominya telah juga berubah..

Aspek Ekonomi:
3. Wujudnya revolusi industri di Eropah dan kemahuan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah.
Kepesatan teknologi dan penemuan baru dalam era kegemilangan industri di Eropah telah mewujudkan persaingan bagi mendapatkan bahan mentah. Keadaan ini kelihatan banyak terdapat di Tanah Melayu yang menjadi pengeluar utama getah dan timah. Kehendak bagi bahan ini telah mendesak para pemodal untuk melaburkan modal. Jika tidak wujudnya revolusi ini maka kehendak bahan mentah ini tidak menjadi saingan bagi industri pemotoran, dan pengentinan.
4. Pemodal asing yang sanggup menanam modal seperti Guthrie, dan Sime Darby. Adanya pemodal-pemodal ini telah menyebabkan banyak tanah-tanah dibuka dan diterokai sama ada dalam bidang pelombongan ataupun pertanian. Pemodal-pemodal ini akhirnya telah menyebabkan ramai para buruh dibawa masuk dari India dan Cina. Kewujudan ini kerana masyarakat pemodal memerlukan lebih banyak bahan dapat dikeluarkan dan ini secara tidak langsung telah mengubah persepsi masyarakat melayu terhadap bentuk kehidupan mereka sebelumnya yang menjuruskan aspek sara diri. Lebih-lebih lagi apabila pihak Inggeris telah mengubah banyak sistem di Tanah Melayu terutama dalam sistem pencukaian, iaitu bayaran cukai dalam bentuk wang tunai.
5. Fahaman liberialisme dan kapitalisme yang bercirikan pasaran bebas galakan persaingan dan ekonomi wang merupakan asas kepada ekonomi dagangan. Keadaan ini telah memperlihatkan kemajuan yang begitu ketara di kalangan masyarakat pendatang, terutamanya masyarakat Cina yang banyak mengambil peluang daripada perubahan sistem ini. Ini secara tidak langsung telah mengubah pemikiran Melayu bagi mendapatkan kemajuan dan taraf yang sama dengan masyarakat pendatang. Perkembangan fahaman ini juga mengikiskan fahaman dalam sistem feudalisme yang tersemai dalam pemikiran masyarakat Melayu dan sedikit demi sedikit telah menghapuskan beberapa amalan tradisi seperti sistem kerah,sera dll sistem.

Aspek Sosial:
6. Adanya usaha pihak penjajah membawa masuk teknologi baru seperti teknik perlombongan - pam kelikir, dan kapal korek. - Teknik penorehan getah dan membawa masuk biji benih getah.
7. Kemasukan buruh asing Cina dan India untuk bekalan buruh yang murah.
8. Perkembangan pendidikan, dan prasarana serta pembukaan bandar dan hutan untuk pertanian.
Labels: | edit post
Reactions: 
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...