cikgu YaTie
cikgu suka betoi la dgn topik.....
Huraikan Peranan Pembesar di Myanmar dan Thailand sebelum Perluasan Pengaruh Barat

Pendahuluan (3/2m)

Institusi pemerintahan di Asia Tenggara bukan sekadar mengandungi raja yang berada di kemuncak hierarki sahaja, malah institusi ini turut disokong oleh institusi pembesar. Secara amnya, pembesar bermakna pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja untuk menjawat jawatan tertentu dan melaksanakan tugas-tugas dalam bidang kuasa yang ditetapkan kepadanya. Di Myanmar dan Thailand, pembesar memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan dan berada pada kedudukan kedua selepas kedudukan raja dalam melaksanakan pentadbiran. Di Myanmar sistem pembesar yang diamalkan pada abad ke-19 adalah di bawah sistem feudal yang berakar umbi dan menjadi kuat sejak kemunculan dinasti Konbaung pada 1752. Ia mengandungi 11 dinasti sebelum kejatuhannya di tangan Inggeris semasa pemerintahan Maharaja Thibaw 1878. Sementara di Thailand sistem pembesar feudal menjadi kukuh pada zaman dinasti Chakri yang diasaskan oleh Pya Taksin pada 1767 hingga kini.

Isi- (20m)

A. Peranan Pembesar di Myanmar (12m)

Pembesar memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan.Mereka membantu raja dalam melaksanakan pentadbiran. Pembesar di Myanmar dapat di bahagikan kepada beberapa peringkat:

1. Pembesar Pusat

i. Wungyi atau Ketua Menteri.

a) Raja menurunkan kuasa kepada empat Wungyi yang mengandungi Hlutdaw ( Majlis Pelaksanaan Tertinggi Diraja). Mereka ini adalah menteri-menteri berjawatan tinggi dan biasanya orang-orang yang berkebolehan. Mempunyai taraf yang tinggi dan menjalankan kuasa raja.Mereka terdiri daripada empat orang menteri kanan.

b) Sungguhpun Hlutdaw cuma meluluskan semua titah perintah raja , namun dia boleh membuat keputusan-keputusan yang biasanya diperkenankan oleh raja. Bidang kuasa Hlutdaw adalah seperti bidang jenayah dan timbang tara awam. Hlutdaw yang bijak mampu menyekat kemutlakkan raja terutama apabila raja itu bersedia mendengar nasihat yang diberikannya. Terdapat juga Hlutdaw yang tidak mampu menyekat kemutlakan raja terutama apabila raja yang bersifat autokratik. Kadang-kala ada yang menentang akan dipenjarakan atau dipecat.

c) Dari segi prinsipnya Hlutdaw memiliki kuasa yang besar sebagai Majlis Tertinggi Kerajaan. Sungguhpun kuasa mereka menjangkau ke seluruh kerajaan tetapi pada amalannya kerajaan daerah dikuasai oleh Myowun (gabenor).

ii) Wundauk atau Menteri Muda


a) Di bawah Wungyi terdapat Wundauk yang bertugas sebagai penolong-penolong Wungyi. Mereka ini dianggap sebagai menteri-menteri kelas ke dua.

iii. Atwinwun atau pegawai istana

a) Tugasnya mengawal dan mengendalikan petugas-petugas istana. Darjatnya lebih rendah daripada Wundauk tetapi lebih berkuasa daripada Wundauk kerana hubungannya yang rapat dengan raja. Bilangan Atwinwun antara empat hingga lapan orang.

b) Pentadbiran di dalam istana sendiri berada di dalam tangan Atwinwun. Bilangan mereka adalah seramai empat hingga lapan pegawai. Mereka diberi tugas mengawal terus beberapa ratus orang yang melakukan berbagai-bagai tugas mengawal terus beberapa ratus orang yang melakukan berbagai tugas di istana.

c) Mereka juga bertindak sebagai ‘Privy Councillor’ kepada raja. Dengan itu pengaruh mereka kadang kala lebih besar daripada empat Wungyi yang berpangkat tinggi. Semasa pemerintahan Raja Thibaw golongan ini memainkan peranan besar di istana sehingga merekalah yang menjalankan tugas Hlutdaw . Ahli-ahli dari keluarga diraja sahaja yang boleh memasuki Atwinwun.

2. Pembesar Daerah

i. Myowun atau gabenor

a) Bertindak sebagai pembesar daerah atau wilayah. Pengaruh pembesar wilayah bergantung kepada hubungannya dengan raja. Semakin rapat hubungannya dengan raja maka semakin berkuasa dan berpengaruhlah Myowun. Myowun bertanggungjawab terhadap pentadbiran wilayah.

b) Myowun yang berada di kawasan luar kerajaan menjalankan kuasa atas dasar feudal. Tugas mereka adalah seperti memungut cukai-cukai rumah berdasarkan 10-15% daripada hasil tahunan rakyat.Mereka kemudian akan menghantar 60-80% kepada raja. Bakinya akan disimpan untuk kegunaan mereka sendiri.

c) Myowun yang berada di sempadan-sempadan diberi peranan lebih penting kerana mengiringi diplomat-diplomat asing yang datang. Umpamanya Myowun di Pegu, Bhamo, dan Akyab biasanya membuat persediaan menyambut diplomat asing.Mereka boleh memberi layanan baik dan buruk kepada diplomat asing ,misalnya Hiram Cox diberi layanan buruk oleh Myowun Pegu. Sebaliknya, Michael Symes telah diberi segala kerjasama untuk melicinkan perjalannnya ke ibu negeri.

d) Akunwun pula adalah pegawai yang membantu Myowun yang bertugas sebagai pemungut cukai dan pengawas jelapang. Sitke pula bertugas sebagai pengawal polis,unit-unit tentera tempatan dan hal ehwal agama.Di pelabuhan Wun-wun tambahan mengawal perkapalan, kastam dan eksais dan kemudahan-kemudahan pelabuhan.

e) Terdapat juga Hlutdaw wilayah yang dipanggil Myoyon bertindak sebagai mahkamah awam. Semua ahli-ahlinya adalah pegawai-pegawai kanan yang bertanggungjawab kepada Myowun . Denda-denda yang dikenakan oleh Myoyon akan diagih kepada Myowun sama banyak.

ii). Myosa

a) Merupakan tuan-tuan tanah yang kaya. Mereka terdiri daripada golongan bangsawan daripada keluarga raja yang memegang jawatan perkhidmatan awam dan menjadi pengiring raja. Mereka memperoleh pendapatan daripada cukai-cukai yang dikumpulkan di bandar-bandar dan kampung yang terletak di bawah kekuasaan mereka.

iii) Myothugyi (Ketua-ketua Bandar)

a) Ketua- ketua ini bertanggungjawab mengawal nyawa rakyat. Ketua-ketua ini menerima penghormatan dan taat setia dari orang-orang kampung mereka. Jawatan ini disandang secara turun temurun. Mereka dikecualikan daripada cukai dan dibenarkan menggunakan alatan yang diperbuat daripada Perak. Ia juga bertugas sebagai wakil sosial rakyatnya.

iv) Taikthughi/Ywthughi /Ketua kampung

a) Di Bahagian Hilir Burma yang masyarakatnya kurang stabil dari segi politiknya. Bahagian-bahagian kecil bandar Myothughi telah diberikan kepada pemerintahan ketua kampung yang digelar Taikthughi. Mereka juga bertanggungjawab terhadap pungutan cukai dan menjalankan undang-undang diperingkat kampung. Jawatan ini diwarisi seumur hidup.


B. Peranan Pembesar di Thailand (8m)

a) Pembesar memainkan peranan penting dalam membantu raja dalam pentadbiran Pembesar daripada keluarga diraja digelar sebagai golongan Chao.Golongan Chao terbahagi kepada tiga peringkat ,iaitu Chao Fa, iaitu putera raja yang memerintah dengan permaisuri. Phra Ong Chao, iaitu putera raja dengan gundik atau putera kepada Chao Fa dengan isterinya berkedudukan Chao. Man Chao, anak Chao Fa dengan dengan isterinya yang tidak berkedudukan Chao.

b) Kalangan pembesar turut membentuk satu bahagian penting dalam keseluruhan sistem pemerintahan di Thai. Kalangan pembesar ini terdiri daripada kalangan bangsawan yang digelar Khunnang, serta anak-anak raja. Pembesar atau Khunnang di bahagikan kepada beberapa jabatan (krom). Antaranya, Krom Mahattai atau Jabatan Hal Ehwal Pentadbiran Awam . Ia merupakan jabatan yang paling berprestij. Krom Klahon atau jabatan pertahanan Krom Khlang atau jabatan kewangan dan hubungan luar.Pembesar yang mengetuai ketiga-tiga krom /jabatan ini adalah pembesar kanan yang berhubung terus kepada raja.

c) Ketua krom Mahattai memakai gelaran Samuha Nayok yang turut bertanggungjawab mengawal wilayah utara Siam. Ketua Krom Kalahon memakai gelaran Samuha Phra Kalahon atau Ketua Menteri yang mentadbir bahagian Selatan dan turut menjaga aspek pertahanan.Ketua Krom Khlang memakai gelaran Chao Phraya Phra Khlang yang bertanggungjawab mengawal kawasan pesisir pantai dan teluk Siam.

d) Di bawah Ketua Krom Kalahon dan Mahattai terdapat para pembesar yang berjawatan lebih rendah. Mereka ini terdiri daripada empat Krom yang termasuk dalam kebinet pemerintah Siam. Keempat-empat krom ini dikenali Jatusadom atau 4 jabatan kanan yang bertanggugjawab melicinkan pentadbiran Siam. Keempat-empat jabatan ini terdiri daripada Krom Muang atau Jabatan Ibu Kota yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran ibu kota dan kawasan sekitarnya. Krom Na atau jabatan tanah yang bertanggungjawab kepada pentadbiran tanah. Krom Wang atau jabatan Istana yang bertanggungjawab kepada soal istana. Satu lagi ialah Krom Khlang.

e) Matlamat utama sistem pentadbiran pusat dan wilayah di Thai ialah untuk melicinkan pentadbiran kerajaan. Mereka juga mempunyai matlamat untuk menguasai sumber tenaga manusia, iaitu unsur penting yang dapat menjamin kedudukan ekonomi, politik dan sosial mereka.

Kesimpulan (2/3m)

Tidak boleh dinafikan bahawa sistem pembesar merupakan satu aset penting dalam sistem pemerintahan di Thai dan Myanmar. Mereka telah membantu raja di negara masing-masing di peringkat kuasa masing-masing. Selepas kedatangan kuasa Barat pada abad ke-19, pihak Inggeris telah menghapuskan peranan pembesar feudal ini. Sistem pemerintahan bercorak British diperkenalkan dan jauh berbeza dengan sistem pemerintahan tradisional. British amat menekankan undang-undang, manakala pemerintahan tradisional bersifat terbuka dan bergantung kepada raja. Di Thai kerajaan beraja tidak pernah diganti oleh Barat hingga sistem feudal yang bernaung di bawah raja kekal berterusan. Namun terdapat perubahan-perubahan dilakukan oleh Maharaja Mongkut dan Chulalongkorn . Modenisasi dilakukan untuk memenuhi hasrat Barat yang menguasai Asia Tengara pada abad ke-19. Oleh itu, sistem pentadbiran daerah diperkenalkan yang dinamakan Thesaphiban pada tahun 1893, dibawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.Dengan ini pngaruh pembesar-pembesar daerah dihapuskan dan kerajaan pusat bertambah kuat.

Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...