cikgu YaTie
“ Perbezaan nilai Barat dengan Timur telah mencetuskan Perang Candu 1 (1839-1842)
di China dan Perang Inggeris Burma III (1885-1886) di Myanmar”. Bincangkan.

Pendahuluan (3/2m)

Perang Inggeris-China Pertama juga dikenali sebagai Perang Candu. Perang ini menandakan kemerosotan Dinasti Manchu dan bermulanya perluasan pengaruh Barat ke atas China. Perang Inggeris-Burma Ketiga pula merupakan lanjutan daripada Perang Inggeris-Burma pertama dan kedua. Perang Inggeris-Burma Ketiga menandakan penguasaan sepenuhnya Inggeris ke atas Burma. Tidak dapat disangkal bahawa kedua-dua perang ini berlaku adalah diakibatkan oleh pertembungan nilai antara negara-negara yang terlibat dengan tidak menafikan faktor lain juga menyumbang ke arah perang tersebut.

Isi – (20m)

1. Faktor pertembungan nilai (10m)

i. China

Konsep kebudayaan dan prinsip persamaan taraf yang bertentangan

a) China menganggap dirinya bertamadun (middle kingdom )dan barat sebagai orang tidak bertamadun (barbarian) dan hantu siang. China enggan mengadakan hubungan diplomatik atas dasar persamaan taraf. China menganggap negaranya "Chung Kuo" atau Pusat Dunia yang bertamadun. Raja China pula dianggap anak syurga dan pemerintah universal. Oleh itu orang barat dianggap bertaraf rendah. Orang Cina enggan menjalinkan hubungan dengan kuasa Barat, atas dasar persamaan taraf.. Orang Barat yang ingin mengadakan hubungan dengan China, mesti melakukan adat meniarap sebanyak 9 kali ( Kow tow ) di hadapan Maharaja China. Adat ini bertujuan mengakui kekuasaan serta tunduk kepada Maharaja China.

Undang-undang Bertentangan

a) Konsep undang-undang China bertentangan dengan undang-undang Barat. Dalam sistem mahkamah di negeri China, tidak terdapat badan penasihat undang-undang. Badan kehakimannya juga tertakluk kepada kerajaan sedangkan di Barat badan kehakiman merupakan satu badan yang bebas. Dalam undang-undang China, seseorang tahanan adalah dianggap bersalah dan akan ditahan sehingga ia dapat membuktikan bahawa ia tidak bersalah. Sebaliknya di Barat, seseorang itu belum lagi dianggap bersalah sehingga ia diadili dan didapati bersalah oleh pihak mahkamah. Dalam undang-undang China, jika orang yang bersalah dapat tidak dapat ditangkap dan dihukum, maka ayah, ahli keluarga, orang kampung, majistret atau wizurai akan dipertanggungjawabkan.

b) Bagi orang-orang Barat, undang-undang China tidak adil dan tidak berperikemanusiaan. Hukuman-hukuman yang dijatuhkan dianggap kejam seperti hukuman 'cekik sampai mati'. Contohnya peristiwa kapal Lady Hughes ( rakyat Britain) yang melepaskan tembakan
penghormatan apabila sampai di Whampoa dan tembakan itu terkena dan membunuh seorang rakyat China. Kelasi kapal itu telah dicekik sampai mati tanpa dibicarakan apabila diserahkan kepada kerajaan China.




Dasar Perdagangan yang bertentangan

a) Terdapat pertentangan pandangan diantara orang Cina dengan Inggeris terhadap konsep perdagangan. Orang-orang Cina merasakan ia tidak perlu menjalinkan hubungan dagang dengan Inggeris memandangkan China dapat memenuhi segala keperluannya dan pertanian merupakan sumber ekonomi utamanya. Orang Cina menganggap perdagangan adalah kegiatan yang hina.

b) China mengamalkan ekonomi sara diri dan tidak memerlukan barang-barang dari luar. China juga boleh menghasilkan sendiri barang-barang itu untuk keperluan dalam negeri. Barat sangat berminat menjalinkan hubungan dagang dengan China kerana sumber ekonomi dan kekayaan China dapat memenuhi keperluan perindustrian mereka. Oleh kerana nilai yang berbeza terhadap aktiviti perdagangan, China telah mengadakan pelbagai peraturan perdagangan yang menyusahkan British. China menghadkan pelabuhan Canton sahaja untuk pedagang asing dan mereka hanya boleh menjalinkan hubungan dagang dengan Kesatuan saudagar China yang digelar Co-Hong. Pedagang asing juga tidak dibenarkan membawa keluarga ke Canton. Cukai yang tinggi dengan kadar yang tidak tetap juga dikenakan kepada pedagang asing ini.

c) Tindak tanduk pegawai-pegawai China dan Co-Hong menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan saudagar-saudagar Barat. Saudagar-saudagar Barat dikehendaki mengamalkan cara hidup masyarakat bawahan yang dianggap menghina kedudukan mereka. Pegawai-pegawai China mengadakan pelbagai peraturan untuk kepentingan mereka sendiri. Co-Hong juga mendapat hak monopoli perdagangan yang sering kali mengambil kesempatan dengan menggunakan pemerasan dan melakukan rasuah, walaupun perbuatan itu dilarang oleh kerajaan China. Co-Hong juga sering berhutang dengan saudagar-saudagar asing tetapi hutang-hutang itu tidak diselesaikan dengan baik.

ii) Burma (Myanmar)

Masalah kasut

a) Masalah timbul pada masa pemerintahan Mindon Min yang mengakibatkan terputusnya hubungan diplomatik Burma-British. Menurut tradisi Burma orang Barat dimestikan menanggalkan kasut dan duduk bersila ketika mengadap raja. Tindakan ini dianggap biadap pula oleh orang barat (British). Tahun 1875 kerajaan British telah mengarahkan Douglas Forsyth supaya tidak membuka kasut ketika mengadap raja Burma. Ini telah menimbulkan kemarahan Raja Mindon Min dan beliau telah menghalau wakil British itu dan telah memutuskan hubungan diplomatik dengan British.

2. Faktor-faktor lain (10m)

i) China

Masalah Candu

a) British telah membawa candu ke China untuk mengimbangi perdagangan teh di China. Import candu yang besar ke China telah berjaya mengimbangi eksport teh. Keadaan ini membimbangkan kerajaan China kerana berlakunya pengaliran keluar wang perak yang menjejaskan ekonomi China. Kerajaan China juga menentang import candu kerana menjejaskan kesihatan orang-orang China. Tahun 1839, Maharaja China menghantar Lin Tsu-hse sebagai Pesuruhjaya Imperial ke Canton untuk menghapuskan sama sekali perdagangan candu. Lin Tsu- hse mengeluarkan perintah supaya orang asing menyerahkan candu kepada kerajaan China dan memberi akuan untuk tidak lagi membawa candu. Penguasa perdagangan British di Canton, Kapten Elliot menyerahkan 20 283 buah peti candu tetapi enggan memberi surat akuan untuk tidak membawa candu.


ii) Burma (Myanmar)

Monopoli raja terhadap perdagangan

a) Peraturan perdagangan terhad yang dikenakan oleh Burma telah menimbulkan rasa tidak puas hati golongan pedagang British. Raja Burma tidak mematuhi perjanjian had monopoli raja ke atas sumber ekonomi yang ditandatangani dengan British. Menurut perjanjian itu had monopoli raja hanyalah ke atas minyak, batu permata dan kayu jati. Namun dari segi praktiknya ia diperluaskan ke atas kapas, gandum, gula dan gading. Keadaan ini mendorong pedagang British mendesak kerajaannya supaya campur tangan.

Kezaliman Raja Thibaw

a) Raja Thibaw merupakan seorang pemerintah yang lemah. Baginda sering dipengaruhi oleh permaisurinya Ratu Supayalat dalam setiap tindakan yang hendak dilakukannya. Ratu Supayalat telah mengarahkan Raja Thibaw menyingkirkan ramai menterinya. Raja Thibaw membunuh 80 orang keluarga diraja Myanmar. Pada tahun 1884, Raja Thibaw telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mandalay. Tindakan Raja Thibaw ini telah menimbulkan kebimbangan Inggeris tentang keselamatan Residen dan saudagar-saudagar British di Myanmar. Keadaan ini menyebabkan golongan saudagar ini telah mendesak kerajaan British menawan Myanmar Hulu.

Hubungan baik Myanmar dengan Perancis

a) Keretakan hubungan dengan British memberi peluang Raja Thibaw untuk mewujudkan hubungan dengan kuasa Perancis. Satu perjanjian perdagangan Myanmar-Perancis telah dimeterai pada 1885 di Paris. Peristiwa tersebut telah mengejutkan British dan lebih membimbangkan ialah tersebarnya berita bahawa Perancis diberi kebenaran mengambil alih monopoli diraja, menguasai sistem pos, mengendalikan kapal-kapal wap di sepanjang Sungai Irrawady dan membuka perdagangan daratan di Tonking. Bagi British, peperangan dengan negara Myanmar sudah tidak dapat dielakkan lagi. Gabenor Jeneral India iaitu Lord Dufferin berazam untuk melancarkan serangan ke atas Myanmar sebagai membalas tindakan dan kedegilan negara itu.


Masalah Syarikat Perdagangan Bombay Burma

a) Syarikat Perdagangan Bombay Burma merupakan sebuah syarikat pembalakan kayu jati di Myanmar. Syarikat yang dimiliki oleh Inggeris ini telah diberikan kontrak oleh pemerintah Myanmar untuk menjalankan operasi pembalakan dan perdagangan kayu jati di Ninyan, Toungoo dan Myanmar Hulu. Pada bulan Ogos 1885, Raja Thibaw telah menuduh syarikat ini menjalankan kegiatan pembalakan melebihi jumlah yang dihadkan dan membalak di luar kawasan yang ditetapkan. Di samping itu, Inggeris juga dituduh memberikan rasuah kepada pegawai-pegawai Myanmar dan gagal membayar gaji pekerja Myanmar. Disebalik tuduhan itu sememangnya Myanmar berhasrat untuk menamatkan kontrak syarikat itu dan diberikan kepada Perancis.

b) Syarikat itu telah dibicarakan Hlutdaw dan didapati bersalah. Syarikat tersebut dikehendaki menjelaskan denda sebanyak 23 juta rupee kepada Raja Thibaw dan hak membalak di Ninyan dirampas. Keputusan ini dibantah oleh Syarikat dan memohon diadakan rundingan bagi menyelesaikan masalah tersebut tetapi ditolak. Tindakan Raja Thibaw ini menyebabkan hubungan Inggeris Myanmar semakin meruncing. Pihak Inggeris telah memberi kata dua kepada Raja Thibaw pada 6 Oktober 1885 iaitu masalah berhubung dengan Syarikat Perdagangan Bombay Burma harus diselesaikan oleh duta Inggeris dan dasar luar Myanmar diletakkan di bawah kekuasaan Inggeris. Raja Thibaw diberi tempoh sehingga 10 November 1885. Sementara menunggu jawapan daripada Raja Thibaw, Inggeris telah menghantar 10 ribu orang tentera ke Ranggoon dan akan menyerang jika jawapan yang akan diberikan itu tidak memuaskan. Jawapan yang diberikan oleh Thibaw tidak memuaskan hati pihak Inggeris. Akibatnya Inggeris telah memutuskan untuk menyerang Myanmar Hulu dan akhirnya Myanmar Hulu telah berjaya dikuasai dan dijadikan sebagai tanah Jajahan Inggeris.


Kesimpulan (2/3m)

Kesimpulannya, jelaslah menunjukkan pertembungan nilai antara Barat dan Timur telah menjadi pencetus kepada berlakunya Perang Candu 1 dan Perang Inggeris Myanmar III. Akibat peperangan ini, Inggeris telah dapat menamatkan dasar tutup pintu China dengan termeterainya perjanjian Nanking 1842 yang mana beberapa pelabuhan China telah dibuka kepada Inggeris. Manakala dalam Perang Inggeris Myanmar III, Inggeris telah berjaya menguasai seluruh negara Myanmar dan ia telah diletakkan di bawah pentadbiran British di India. Dengan ini, Inggeris telah berjaya menamatkan pemerintahan Dinasti Konbaung di Myanmar.


Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...