cikgu YaTie
Jgn abaikan topik2 berkaitan SABAH dan SARAWAK ......................
Bincangkan perubahan-perubahan perlembagaan di Sabah dan Sarawak antara tahun 1840-an hingga merdeka.

Pendahuluan. (3/2m)

Syarikat Borneo Utara British (SBUB) menguasai Sabah pada tahun 1881. Pentadbiran mereka di Sabah dilakukan dengan menggabungkan pentadbiran British dengan institusi-institusi tempatan dalam pentadbiran awam Sabah. Sementara di Sarawak pemerintahan Raja Putih pada tahun 1840an adalah bersifat monarki mutlak. Namun demikian, sistem pemerintahan tradisional juga diteruskan. Selepas berlaku penyerahan pentadbiran kepada kerajaan British pada tahun 1940an pentadbiran di Sabah dan Sarawak mengalami perubahan-perubahan sehingga merdeka.

Isi – (20m)

A. Perubahan Pentadbiran di Sabah, 1881 hingga 1946 (10m)

a) Sabah yang ditadbir oleh SBUB merupakan sebuah syarikat awam yang mempunyai hubungan dengan Kerajaan British melalui ‘ Protectorate Arrangement’.Struktur pentadbirannya terdiri daripada Pengerusi, Pengarah Urusan dan Lembaga Pengarah.Pembesar-pembesar tempatan juga memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri.

i) Gabenor

Gabenor di Sabah dilantik oleh pengarah SBUB dengan persetujuan Kerajaan Inggeris. Gabenor Sabah yang pertama ialah W.H.Treacher . Gabenor dibantu oleh sebuah Majlis Penasihat terdiri daripada pegawai-pegawai kanan syarikat seperti Setiausaha Kerajaan, Bendahari dan Ketua Pasukan Keselamatan. Untuk memudahkan pentadbiran Gabenor Sabah dibahagikan kepada 5 unit pentadbiran yang dikenali sebagai Residensi, antaranya Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan Pedalaman
.
ii) Residen

Ketua Residensi dipanggil Residen. Setiap residensi dibahagikan kepada 7 daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah. Residen bertanggungjawab menjaga keamanan, mengutip cukai dan perbendaharaan serta keadilan disetiap negeri.

iii) Daerah

Setiap daerah diketuai oleh seorang Pegawai Daerah berbangsa Eropah dan dibantu oleh Ketua Pegawai Anak Negeri. Antara tugas-tugas Pegawai Daerah ialah menjalankan tugas-tugas keamanan, mengendalikan keadilan , mengutip cukai, membahagikan tanah dan menguruskan hal pertanian.


iv) Majlis Penasihat Ketua Anak Negeri

a) Pada tahun 1915 sebuah Majlis Penasihat Ketua-Ketua anak Negeri ditubuhkan. Majlis ini berfungsi sebagai orang tengah antara kerajaan dengan rakyat. Tugas lain ialah menjadi pembantu kanan Pegawai Daerah, menentukan pertanian yang seharuskan dijalankan dan menguruskan segala hal yang berkaitan dengan masyarakat tempatan. Di Sabah orang-orang tempatan Islam dan bukan Islam mempunyai ketua-ketua mereka masing-masing.

b) Ini bermakna SBUB memerintah kaum Bumiputera melalui ketua-ketua mereka masing-masing. Ketua-ketua ini mentadbir orang-orang tempatan melalui mahkamah-mahkamah tempatan. Mereka diberi kuasa kehakiman dalam mahkamah-mahkamah tempatan dan dibenarkan mengadili kes-kes jenayah orang-orang tempatan sahaja. Terdapat juga pegawai-pegawai anak negeri yang dilantik sebagai Penolong Residen. Walaupun ketua-ketua Anak Negeri mempunyai kuasa-kuasa tertentu, tetapi kuasa sebenarnya terletak di tangan Residen dan Pegawai-pegawai Daerah.

v) Majlis Orang Tua

a) Di peringkat kampung Orang Tua dilantik oleh SBUB untuk menjaga pentadbiran kampung. Antara tugas-tugas Orang Tua ialah menjadi hakim mahkamah peribumi dan mengadili kes-kes berkaitan dengan warisan dan tanah serta menghadiri Durbar yang diadakan di Sandakan pada tahun 1887.

b) Majlis Orang Tua merupakan satu badan penting di bawah SBUB yang merupakan perjumpaan tahunan antara Ketua-ketua Anak Negeri . Majlis ini merupakan penghubung antara SBUB dengan rakyat. Ahli-ahlinya terdiri daripada Gabenor, Setiausaha Gabenor, Residen Pantai Barat Sabah, semua ketua tempatan gred 1 dan sembilan ketua tempatan.

vi) Mahkamah Anak Negeri

a) Diwujudkan secara tradisional dalam kalangan penduduk peribumi Sabah. Ia dikekalkan semasa pentadbiran SBUB. Jawatan ini dikekalkan untuk membolehkan pihak SBUB mendapat sokongan pemimpin-pemimpin tempatan. Mahkamah ini diketuai oleh seorang Ketua Anak Negeri yang bertindak sebagai hakim tempatan . Mahkamah ini megendalikan kes-kes yang berkaitan dengan hukum adat dan syariah.

v) Majlis Mesyuarat Undangan

a) Ia ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Penasihat . Fungsi majlis ini ialah untuk memperoleh pandangan pelbagai kaum dalam penggubalan undang-undang. Ia dianggotai 7 ahli rasmi dan 4 orang ahli tidak rasmi. Ahli tidak rasmi diwakili oleh kaum Cina dan kaum peladang di Pantai Timur dan Pantai Barat.



Perubahan Pentadbiran British di Sabah 1946 hingga 1963

a) Pada 15 Julai 1946, Sabah diserahkan kepada kerajaan British. Sebab penyerahan ini disebabkan KBBU tidak mempunyai keupayaan dan sumber kewangan yang mencukupi untuk mentadbir Sabah semasa Perang Dunia ke-2. Pentadbiran British di Sabah diketuai oleh seorang Gabenor dengan dibantu sebuah Majlis Penasihat.

b) Pada Oktober 1950 Perlembagaan baru telah diperkenalkan . Mengikut perlembagaan ini, Gabenor dibantu oleh Majlis Eksekutif dan Majlis Undangan Negeri. Majlis Eksekutif mempunyai 9 orang ahli yang bertugas menasihatkan Gabenor atas hal-hal pentadbiran dan dasar kerajaan yang penting. Majlis Mesyuarat Undangan mempunyai 22 orang ahli, sementara 4 orang ahli terdiri daripada penduduk tempatan. Ahli-ahli Majlis adalah dilantik oleh Gabenor.

c) Pada tahun 1952 sebuah Majlis Tempatan telah ditubuhkan. Majlis Tempatan yang pertama diasaskan di Daerah Kota Belud, Sipitang 1955, Papar 1956. Tujuan Majlis Tempatan ditubuhkan ialah memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran kawasan masing-masing. Majlis ini bertanggungjawab dalam hal-hal seperti kewangan, pendidikan,kesihatan,bekalan elektrik serta pertanian dan penternakan. Majlis Tempatan kemudian diubah kepada Majlis Daerah.


B. Pentadbiran Sarawak 1841hingga 1946 (10m)

i) Pentadbiran James Brooke

a) Sarawak adalah di bawah pemerintahan Raja Putih yang mengamalkan pemerintahan monarki. Pentadbiran beliau telah mengubahsuai sistem Barat dengan menggabungkannya dengan unsur tempatan. James Brooke mengekalkan jawatan ketua Melayu Sarawak sebagai penasihat kanan dalam pentadbirannya seperti Dato’ Patinggi, Dato’ Temenggung, Dato’ Bandar dan Dato’ Imam. Pembesar-pembesar ini dibenarkan memungut cukai di kawasan masing-masing tetapi dikehendaki menyerahkan sebahagian daripada hasil yang mereka pungut itu kepada pentadbiran Brooke.

b) Pada tahun 1855 James Brooke telah menubuhkan Majlis Tertinggi. Majlis ini bertujuan membuat dasar pentadbiran Sarawak. Majlis ini memberi peluang kepada pegawai dan pembesar dari kawasan baru untuk membuat dasar-dasar pentadbiran. Majlis ini bersidang sebulan sekali dengan James Brooke sebagai presidennya dan anggotanya terdiri daripada orang Eropah dan orang Melayu. James Brooke telah mengenakan cukai ke atas barangan yang dibawa dari luar untuk mengatasi masalah kewangan di Sarawak.

ii) Pentadbiran Charles Brooke

a) Semasa pemerintahan Charles Brooke 1868-1917 beliau meneruskan sistem pemerintahan tradisional James Brooke masih diteruskan.Terdapat juga perubahan dilakukan dalam pentadbiran iaitu dengan menubuhkan sebuah Majlis Negeri pada tahun 1865. Majlis ini dianggotai oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tempatan. Majlis ini boleh meluluskan undang-undang serta membuat dasar pentadbiran Sarawak, tetapi tidak boleh menggubal undang-undang.

b) Sarawak pula dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu setiap bahagian ditadbir oleh seorang Residen Eropah yang dibantu oleh Pegawai Anak Negeri, pegawai rendah dan ketua-ketua suku. Residen bertanggungjawab dalam pentadbiran umum dan berperanan sebagai Presiden mahkamah.

c) Di peringkat kampung telah dilantik ketua Melayu dan Cina untuk mentadbir kampung mereka. Mereka ini bertanggungjawab memelihara keamanan dan memungut cukai.

Pentadbiran Charles Vyner Brooke

a) Pada tahun 1941 Charles Vyner Brooke telah menubuhkan sebuah perlembagaan baru . Perlembagaan ini menyerahkan kuasa mutlak Charles Vyner Brooke kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri. Majlis Tertinggi akan berfungsi sebagai Majlis Eksekutif sementara Majlis Negeri sebagai Majlis Tertinggi. Majlis Tertinggi akan mempunyai lima orang ahli. Manakala Majlis Negeri 25 orang ahli.Raja Brooke melantik sendiri ahli ke dua-dua majlis tersebut. Sarawak pula dijanjikan kemerdekaan.Perlembagaan Sarawak tidak dapat dilaksanakan kerana serangan Jepun pada tahun 1941.

b) Pada 1 Julai 1946, Sarawak menjadi tanah jajahan British. Perlembagaan 1941 dikekalkan selama 10 tahun yang pertama.Pada tahun 1948, Majlis Tempatan ditubuhkan untuk memberi latihan kepada penduduk peribumi dalam pemerintahan. Majlis ini berkuasa menguruskan pelajaran, kesihatan, bekalan air dan elektrik, jalan raya dan pungutan cukai.Pada tahun 1956, perlembagaan baru diluluskan. Pilihan raya tempatan mula diperkenalkan buat pertama kali pada bulan November 1957 untuk memilih Ahli Majlis Perbandaran Kuching.

c) Mengikut perlembagaan 1956, Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri terus wujud untuk membantu Gabenor Sarawak.Ahli Majlis Tertinggi sebanyak 10 orang dan Majlis Negeri 44 orang yang terdiri daripada 22 dipilih oleh rakyat secara tidak langsung dari Majlis Daerah ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri.

d) Pada tahun 1959 pilihanraya untuk Majlis Tempatan diadakan. Ahli Majlis Daerah memilih wakil-wakil ke Majlis Bahagian dan mereka pula akan memilih wakil-wakil ke Majlis Mesyuarat Negeri. Pilihan raya untuk memilih Majlis Tempatan ini terus dikekalkan sehingga Sarawak menyertai Malaysia.





Kesimpulan (2/3m)

Perubahan-perubahan pentadbiran yang berlaku di Sabah dan Sarawak telah memberi impak kepada masyarakat tempatan dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Perubahan politik di Sarawak, umpamanya telah menyebabkan kuasa pembesar-pembesar peribumi semakin terhakis. Oleh itu ,timbul beberapa pemberontakan seperti peristiwa penentangan Syarif Masahor, Rentap, Abdul Ghafur, dan Banting. Manakala, di Sabah berlaku kebangkitan Mat Salleh dan Antanum. Mereka kebanyakannya kehilangan pengaruh dan kuasa ke atas sumber ekonomi dan politik. Semuanya telah diambil alih oleh pemerintah Barat yang memperkenalkan undang-undang dan perlembagaan baru. Kuasa diserahkan kepada golongan pegawai-pegawai yang dilantik oleh kerajaan.




Labels: | edit post
Reactions: 
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...