cikgu YaTie
8. Bincangkan dasar pengilhakan kuasa-kuasa Barat di India dan di Indocina pada
abad ke-19.

PENGENALAN (3 Markah )

Perkembangan dalam bidang perdagangan dan perindustrian telah mendorong kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba meluaskan pengaruh mereka di seluruh dunia.

Pada abad ke-19 kuasa-kuasa Barat berusaha meluaskan pengaruh politik dan ekonomi serta membentuk empayar yang luas di Asia kerana kaya dengan bahan mentah yang diperlukan di kilang-kilang mereka. Negara-negara di Asia juga menyediakan pasaran yang lebih luas bagi lebihan barangan hasil keluaran kilang-kilang mereka.

Negara-negara Barat menggunakan berbagai-bagai cara untuk menguasai negara-negara Asia seperti peperangan, perjajian, ataupun pengilhakan. Antara negara-negara Asia yang terlibat dengan perluasan kuasa Barat melalui kaedah pengilhakan ialah India oleh British dan Indocina oleh Perancis.

Di India dan Indocina walaupun cara campur tangannya adalah sama iaitu dengan kaedah pengilhakan, namun proses perlaksanaannya adalah berbeza. Perluasan kuasa melalui kaedah pengilhakan melibatkan cara kekerasan seperti peperangan, ugutan, perjanjian, dan sebagainya.

ISI-ISI ( 20 Markah )

Proses pengilhakan kuasa-kuasa Barat di India dan Indocina pada abad ke-19

Pengilhakan British di India ( 10 markah )

Dasar pengilhakan Lord William Bentick ( 1824-1835 )
i. Semasa menjadi Gabenor Jeneral di India beliau telah mengilhakan beberapa kawasan. Beliau menggunakan alasan penyalahtadbiran untuk mengilhakan Cachar, Coorg, dan Mysore.
ii. Raja Cachar telah mangkat tanpa meninggalkan waris. Bentick telah mengilhakan kawasan tersebut atas permintaan penduduk tempatan.
iii. Di wilayah Coorg dan Mysore, Bentick mengilhakan kawasan ini atas alasan pemimpin tempatan telah menyalahgunakan kuasa mereka dalam pentadbiran. Penduduk tempatan menyokong tindakan Bentick kerana mereka mahukan pentadbiaran yang adil dan saksama.

Dasar pengilhakan Lord Ellenborough ( 1836-1846 )
i. Lord Ellenborough telah mengilhakan Sind dan Gwalior.
ii. British telah menjalinkan hubungan dengan Sind sejak tahun 1809. Pada tahun 1823 British telah menandatangani perjanjian dengan Sind dan Gwalior untuk menyekat kemaraan kuasa Perancis di kedua-dua kawasan tersebut. Melalui perjanjian ini pedagang-pedagang British dibenar menggunakan sungai dan jalan-jalan raya yang ada.
iii. Perjanjian ini telah dicabuli oleh Lord Auckland yang telah mengarahkan tenteranya berbaris melalui Sind.
iv. Lord Ellanborough ingin merampas Sind dengan membuat beberapa tuduhan. Charles Napier telah dihantar untuk menyiasat. Beliau mengadakan perjanjian baru dengan Amir Sind. Amir-amir dipaksa menyerahkan bahagian yang lebih besar di wilayah mereka serta melepaskan hak mereka untuk membuat wang mereka sendiri. Hanya mata wang British yang diakui sebagai mata wang yang sah.
v. Tindakan itu menyebabkan Amir marah dan bertindak menyerang residensi British. Amir telah ditewaskan dalam peperangan di Miani dan Dabo. Sind telah dirampas dan diletakkan dalam empayar British di India.
vi. Ellanborough juga telah mengilhakan wilayah Gwalior dan Paniar setelah kematian Daulat Rao Sindhia, ketua puak Maratha yang digeruni.

Dasar pengilhakan Lord Dalhousie ( 1846-1856 )
i. Lord Dalhousie melaksanakan dasar pengilhakan melalui tiga kaedah iaitu hak menakluki kuasa agung oleh Syarikat Hindia Timur British ( SHTI ), “ Doctrin of Lapse ” ( Undang-Undang Lesap Waris ), dan keinginan untuk melanjutkan kebaikan-kebaikan tanpa faedah yang dibawa oleh pemerintah British ke atas wilayah-wilayah yang dibelenggu masalah penyelewengan atau penyelewengan pemerintah tempatan.
ii. Melalui kaedah hak menakluki kuasa agung, beliau telah menakluk Punjab dengan mengisytiharkan perang ke atas kaum Sikh dan mengalahkan mereka di Gujerat. Punjab berjaya diilhakan.
iii. Kaedah Doctrin of Lap paling kerap digunakan oleh Lord Dalhousie. Menurut doktrin ini mana-mana pemerintah yang tidak meninggalkan waris untuk meneruskan pemerintahan selepas mereka mangkat, maka negeri atau wilayah itu akan jatuh ke bawah kuasa agung dengan sendirinya. Beliau tidak mengiktiraf hak seseorang pemerintah untuk melantik seorang waris yang bukan daripada keturunannya. Contohnya di Jhansi, perlantikan anak angkat sebagai pewaris dianggap tidak sah oleh British. Wilayah-wilayah lain yang diilhakan cara ini ialah Satara, Jaitpur, Baghat, dan Samalpur.
iv. Kaedah kebaikan untuk diperintah berlaku atas alasan penganiayaan, kezaliman, dan ketidakadilan politik dalam sesebuah negeri. Misalnya Qudh telah diletakkan di bawah naungan SHTI. Pentadbiran Qudh dikuasai oleh Nawab Khan dalam keadaan huru-hara dan amalan rasuah berleluasa. Dalhousie mengadakan perjanjian dengan Qudh. Dalam perjanjian itu, SHTI akan mengambil alih Qudh, manakala Nawab akan dibenarkan mengekalkan gelaran dan dibayar 15 juta rupee. Apabila Nawab enggan menandatangani perjanjian tersebut Dalhousie telah mengambil keputusan menjalankan dasar pengilhakan atas alasan penyelewengan pemerintah tempatan.



Pengilhakan Indocina oleh Perancis ( 10 markah )

Pengilhakan Kemboja
i. Kemboja sering menjadi rebutan antara Vietnam dan Thailand sejak abad ke-19 sehinggakan Kemboja terpaksa menghantar ufti kepada Vietnam dan Thailand untuk menjamin kemerdekaannya.
ii. Pada masa yang sama Perancis juga berminat untuk menguasai Kemboja kerana bimbang akan dikuasai oleh British ataupun Thailand disamping Perancis hendak menjadikan Kemboja sebagai negeri penampan.
iii. Perebutan kuasa semasa pemerintahan Raja Norodom menjadi sebab Perancis campur tangan tetapi dibantah oleh Thailand.
iv. Keadaan ini menyebabkan satu perjanjian ditandatangani antara Perancis dan Thailand dan perjanjian ini menetapkan bahawa Kemboja menjadi negeri naungan Perancis. Ini disebabkan Thailand juga turut menuntut Kemboja berada dibawah naungan Thailand.
v. Perjanjian ini telah menamatkan persaingan antara Perancis dan Thailand berhubungan dengan isu Kemboja.
vi. Sikap tolak ansur Thailand ini menyebabkan Perancis membalasnya dengan mengiktiraf kedaulatan Thailand ke atas Battambang dan Siamreap.
vii. Namun pada tahun 1962, Laksamana Bonnard telah melawat Raja Norodom dan meminta Kemboja menghantar ufti kepada Perancis dan bukannya kepada Vietnam.
viii. Pada 1863, Perancis memaksa Raja Norodom menandatangani perjanjian untuk berhenti menghantar ufti sama ada kepada Thailand dan Vietnam.


Pengilhakan Tourane dan Saigon
i. Perancis menjalinkan hubungan baik dengan Vietnam semasa pemerintahan Maharaja Gia Long.
ii. Pengganti-pengganti Gia Long kemudiannya tidak menjalinkan hubungan baik dengan Perancis. Mereka bertindak melakukan kekejaman terhadap mubaligh-mubaligh Kristian dan menggubal undang-undang yang melarang kemasukan mubaligh-mubaligh Kristian ke Vietnam.
iii. Permusuhan Perancis dan Vietnam telah memuncak semasa pemerintahan Maharaja Tu Duc. Pada masa ini kegiatan anti-Kristian dan kejadian pembunuhan mubaligh Kristian semakin bertambah.
iv. Kegiatan ini menyebabkan Raja Perancis Napoleon III telah mengambil tindakan menakluki Vietnam dengan menggunakan peristiwa pembunuhan Bishop Diaz, seorang paderi Sepanyol di Tongking, sebagai alasan menyerang Vietnam.
v. Pada 31 Ogos 1858, Perancis telah menyerang Tourane bersama bersama angkatan tentera Sepanyol di bawah pimpinan Rigault ge Genouilly dan pada 2 September 1858 Tourane jatuh ke tangan Perancis. Seterusnya Perancis menyerang Saigon yang merupakan kawasan tanaman dan pusat pengumpulan padi yang utama di Vietnam. Saigon telah jatuh ke tangan Perancis pada 17 Februari 1859.
vi. Peristiwa ini menyebabkan seluruh selatan Vietnam jatuh ke tangan Perancis. Tu Duc akhirnya mengaku kalah dan menandatangani perjajanjian dengan Perancis pada Jun 1862.

Pengilhakan Tongking
i. Tongking penting kepada Perancis dari segi ekonomi kerana menjadi jalan perniagaannya ke China melalui Sungai Merah. Perancis bimbang dengan persaingan kuasa Barat yang lain seperti Jerman, Itali, dan AmerikaSyarikat. Penindasan Maharaja Tu Duc juga memaksa Perancis menakluki Tongking.
ii. Sewaktu Perancis bertapak di Cochin-China, keadaan huru-hara telah tercetus di Tongking kerana kamasukan orang-orang pelarian.
iii. Perdana Menteri Perancis telah memutuskan untuk menamatkan keadaan huru-hara di Vietnam dan menjadikan Vietnam sebagai naungan Perancis.
iv. Pada April 1882, angkatan laut Perancis tiba di Hanoi dan menakluki Tongking pada tahun 1883.

KESIMPULAN( 2 Markah )

Perancis dan British telah berjaya menggunakan kaedah pengilhakan untuk meluaskan kuasa di Vietnam dan India.
Campur tangan Perancis dan British telah menyebabkan perubahan-perubahan berlaku dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial di Vietnam dan India.
Perluasan kuasa melalui kaedah pengilhakan telah menyebabkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat tempatan yang membawa kepada berlakunya penentangan seperti peristiwa Dahagi India 1857.



Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...