cikgu YaTie
11. Jelaskan peranan golongan Thakin di Myanmar dan Gerakan 4 Mei 1919 di
China dalam usaha membangkitkan kesedaran nasionalisma di negara masing-
masing.

A.PENGENALAN ( 2/3 markah )

Gerakan 4 Mei merupakan peristiwa demonstrasi, pemogokan serta tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar maktab dan universiti-universiti di China.Gerakan yang tercetus di Peking ini dianggap sebagai revolusi intelektual di China sehingga 1927.Gerakan bermatlamat memulihkan maruah China sebagai sebuah kerajaan bertamadun. Di Myanmar pula wujud golongan pelajar yang menggelarkan diri mereka Thakin atau " tuan ” telah memainkan peranan penting dalam merancakkan nasionalisma Myanmar bermula dari tahun 1936 dengan penubuhan Dobama Asiayone ( Pertubuhan Kita Orang Myanmar ) Golongan Thakin bertekad untuk mendapatkan kemerdekaan sepenuhnya daripada British dengan mendakwa bahawa orang Myanmar ialah "tuan" sebenar Myanmar dan bukannya British.

B. ISI ( 20 markah )

China ( 10 markah )

Peranan Pelajar dalam Peristiwa Gerakan 4 Mei 1919

1. Membangkitkan semangat kebangsaan

a) Golongan pelajar memainkan peranan penting dalam menganjurkan semangat nasionalisma dalam kalangan rakyat China.Ia tidak terhad kepada pelajar sahaja sebaliknya merangkumi pelbagai lapisan masyarakat. Demonstrasi yang dilakukan oleh golongan pelajar mengakibatkan berlakunya demonstrasi-demonstrasi dan pemogokan-pemogokan lain di seluruh China

2. Menyemarakkan Sentimen Anti-Jepun

a) Golongan pelajar di China menganggap Tuntutan 21 Perkara yang dibuat pada 21 Januari 1915 oleh pihak Jepun dan Perjanjian China-Jepun pada Mei 1915 merupakan satu penghinaan terhadap negara China.Tindakan Yuan Shih Kai yang mengalah dianggap menyeleweng dan menimbulkan kegelisahan golongan pelajar serta pensyarah pusat-pusat pengajian tinggi.

b) Mereka mendesak kerajaan China menolak sama sekali Tuntutan 21 Perkara Jepun serta menghukum tiga orang ahli politik China yang pro Jepun dan bertanggungjawab menerima tuntutan-tuntutan tersebut bagi pihak China. Golongan pelajar telah mengadakan kempen memulaukan barangan Jepun di China.Gerakan ini telah menyebabkan sentimen anti-Jepun meningkat dalam kalangan rakyat China.

3. Mengembalikan Hak China di Shangtung

a) Melalui Perjanjian Versailles 1919,hak-hak konsesi Jerman di Shangtung telah diserahkan kepada Jepun.Oleh itu golongan pelajar bersama-sama rakyat China lain sama ada dalam atau luar negara menentang hebat perjanjian ini. Mereka mendesak wakil China supaya tidak menandatangani perjanjian yang berat sebelah itu.

b) Atas desakan hebat itu wakil China enggan menandatangani perjanjian tersebut, manakala tiga ahli politik China yang bertanggungjawab menerima Tuntutan 21 Perkara oleh Jepun dipaksa meletak jawatan.

4. Merintis Penubuhan Kerajaan Kebangsaan China ( KMT ) di Nangking ( 1928 )

a) Kegiatan pelajar dalam Gerakan 4 Mei telah mengurangkan pengaruh dan kedudukan panglima-panglima tentera yang menguasai kerajaan China di Peking menyebabkan kerajaan hulubalang yang ditegakkan atas kekuatan tentera dan tradisional kurang popular. Golongan pelajar menyalahkan mereka atas kegagalan negara China menjaga kepentingan negara dalam Persidangan Versailles.

b) Keadaan ini memberi kesan positif dan inisiatif dalam membaiki dan memperkukuhkan Koumintang ( KMT ) yang dipimpin oleh Dr Sun Yat Sen.KMT dapat disusun lebih kemas dan muncul sebagai satu organisasi terpenting di China yang berjaya menyatukan negara China.

5. Merintis Jalan Perkembangan Ideologi Komunis di China

a) Ideologi barat menarik minat para intelek dan pelajar China.Ramai daripada mereka terpengaruh dengan perkembangan ideologi Karl Marx ( Marxist ) dan Bolshevik yang tersebar melalui makalah-makalah dan majalah yang diterbitkan oleh golongan pelajar yang revolusioner.
Pada tahun 1918,Li Ta Chao menubuhkan Society for the Study of Marxism di Universiti Peking ( PEITA ).Chen Tu Hsiu yang menganut fahaman Marxist Lenin telah menubuhkan Socialist Youth Corps pada tahun 1920 di Shanghai.

b) Pada tahun 1921,Li Ta Chaao dan Chen Tu Hsiu telah menubuhkan Parti Komunis China.Kerjasama PKC dengan KMT memberi peluang kepada perkembangan fahaman komunis dan merintis jalan terbuka ke arah pembentukan Republik China Komunis pada tahun 1943.

6. Perkembangan Intelektual Melalui Gerakan Kebudayaan Baru

a) Aktiviti intelektual telah berkembang pesat hasil Gerakan Kebudayaan Baru.Golongan pelajar telah menghasilkan dan menyebarluaskan bahan-bahan bacaan sama ada terjemahan dari barat atau dihasilkan sendiri oleh tenaga-tenaga intelek China.Beratus-ratus majalah dan akhbar telah diterbitkan ke arah menyumbang dan mewujudkan masyarakat China baru. Antaranya
ialah :

i) Pemuda Baru ( New Youth ),Aliran Baru ( New Tide )
ii) Pembidas Mingguan ( Weekly Critic )

b) Kesannya idea dan pemikiran pensyarah-pensyarah PEITA berkembang ke seluruh negara China.Mereka menyokong pembentukan negara China yang moden berasaskan sains dan idea-idea baru.





7. Membantu Meningkatkan Kedudukan Wanita .

a) Dalam Gerakan 4 Mei,pelajar-pelajar wanita melibatkan diri dengan mengambil bahagian secara aktif dan berani dalam demonstrasi-demonstrasi yang diadakan.Ini telah meletakkan golongan wanita ke tempat yang lebih baik dalam gerakan kebangsaan China.

Myanmar ( 10 markah )

Peranan Pelajar dalam Perjuangan Golongan Thakin di Myanmar

1. Melancarkan Pemogokan

a) Pada tahun 1936, pelajar-pelajar Universiti Rangoon melancarkan satu pemogokan bagi membantah tindakan disiplin yang dikenakan terhadap Thakin U Nu dan Thakin Aung San iaitu pemimpin pelajar Universiti Rangoon yang mengkritik sistem pentadbiran universiti dan memburukkan nama pensyarah.

b) Pemimpin-pemimpin Thakin dan pelajar-pelajar Universiti Rangoon menuntut agar pindaan-pindaan dibuat lepada Akta Universiti 1920.Populariti golongan Thakin semakin meningkat apabila perjuangan mereka untuk meminda Akta Universiti telah diluluskan.

2. Penglibatan dalam Pilihan Raya

a) Golongan Thakin juga melibatkan diri dalam politik bagi memperjuangkan masalah ekonomi dan melakukan usaha-usaha gerakan kebangsaan dengan lebih bertenaga untuk mencapai kemerdekaan. Pada Disember 1936,golongan Thakin mengambil bahagian dalam pilihanraya pertama melalui Parti Komin-Kochin,namun hanya memenangi tiga kerusi sahaja.Dr Ba Maw, pemimpin Parti Sinyetha mewujudkan kerajaan campuran dan menjadi Perdana Menteri Myanmar yang pertama pada 1 Ogos 1943.

3. Merancang Penubuhan Persatuan-Persatuan

a) Untuk mendapatkan sokongan dan bantuan petani serta pekerja-pekerja am, golongan Thakin telah merancang dan menggalakkan penubuhan beberapa persatuan lain. Pada tahun 1936, Pertubuhan Petani-petani Burma dan All Burma Cultivators League ditubuhkan.

b) Pada tahun 1940,All Burma Trades Union Congress ditubuhkan untuk menyelaraskan kegiatan pertubuhan-pertubuhan buruh sekali gus menentang penjajahan British .

4. Menubuhkan Blok Pembebasan

a) Pada tahun 1939,golongan Thakin bekerjasama dengan Dr Ba Maw menubuhkan Blok Pembebasan. Ia bertujuan menggunakan situasi Perang Dunia Kedua untuk mendapatkan konsesi-konsesi daripada British dengan penyertaan Myanmar dalam perang tersebut. Perjuangan mereka mendapat sokongan daripada masyarakat termasuk golongan pongyi ( sami-sami Buddha )


b) Corak perjuangan golongan Thakin ini telah membimbangkan kerajaan kerana kecenderungannya mengadakan hubungan dengan gerakan kebangsaan pelbagai ideologi di negara-negara lain seperti dengan Kongres Kebangsaan India,KMT,dan PKC di China.

c) Penghujung tahun 1940,kerajaan U Pu dijatuhkan dan U Saw mengetuai kerajaan Myanmar.Tindakan segeranya ialah mengharamkan Blok Pembebasan.Pemimpin-pemimpin Thakin dan Dr Ba Maw ditangkap.Ini menyebabkan Thakin Aung San dan 30 Thakin yang lain melarikan diri ke negara China

5. Mengadakan Pakatan Dengan Jepun

a) Pada tahun 1941,Thakin Aung San membuat pakatan dengan Jepun.Mereka bersetuju mambantu Jepun menawan Myanmar daripada British.Jepun pula berjanji akan memberikan kemerdekaan kepada Myanmar.

b) Untuk itu ramai Thakin dihantar ke Jepun menjalani latihan ketenteraan.Mereka kemudiannya menubuhkan Tentera Kemerdekaan Myanmar yang terdiri daripada 30,000 orang ahli pada tahun 1941.Pada 1 0gos 1943,Jepun memberi kemerdekaan kepada Myanmar,namun kuasa pemerintahan di tangan Jepun.Ini menyebabkan para nasionalis mengadakan pakatan sulit dengan komunis untuk menentang Jepun pula.

C. KESIMPULAN ( 2/3 markah )

Penglibatan pelajar dalam Gerakan 4 Mei 1919 telah membawa erti yang besar kepada zaman pembaharuan China.Gerakan yang bertujuan untuk memberi kesedaran dan mewujudkan kebudayaan moden serta merangsang golongan muda ke arah nasionalisma ini telah berjaya memupuk keyakinan pelajar menyebabkan mereka bertindakbalas terhadap imperialisma asing.Perasaan anti British sentiasa tertanam di hati rakyat Myanmar.Akibat pendudukan British Myanmar kehilangan maruah,keagungan dan kebudayaan tempatannya.Di Myanmar penglibatan pelajar dalam memperjuangkan kemerdekaan Myanmar sangat penting.Atas usaha mereka masyarakat Myanmar disatukan




Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...