cikgu YaTie
2. Huraikan peluasan kuasa British di Negeri-negeri Melayu Utara antara
tahun 1826 hingga tahun 1909.

A. PENDAHULUAN ( 3 M )

1. Proses peluasan kuasa Barat melibatkan tiga cara iaitu perjanjian, peperangan dan pengilhakan. British menggunakan cara perjanjian untuk meluaskan kuasanya terhadap Negeri-negeri Melayu Utara pada abad ke-19 sehingga awal abad ke- 20.

2. Negeri-negeri Melayu Utara terdiri daripada Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang pada ketika itu berada di bawah naungan Siam.

3. Peluasan kuasa British di negeri-negeri Melayu Utara bermula dan bertambah kukuh dengan mengadakan beberapa siri perjanjian dengan Siam antara tahun 1826 hingga tahun 1909..

B. ISI-ISI (20M)

Perjanjian-perjanjian antara tahun 1826 hingga 1909.


1. Perjanjian Burney 1826.

Henry Burney telah dihantar ke Siam untuk berunding tentang takhta sultan, kemerdekaan Perak dan Selangor serta menghilangkan rasa curiga Siam terhadap British. British sebenarnya meminta Siam melepaskan Negeri-negeri Melayu Utara
( NMU ) kerana British berminat menguasai negeri-negeri tersebut dan mempunyai kepentingan ekonomi dan politik dalam jangka masa panjang.

Dalam perjanjian ini, Kedah diisytiharkan sebagai tanah jajahan Siam. Kemerdekaan Perak dan Selangor dijamin oleh Siam. Kedua-dua pihak iaitu Siam dan British tidak boleh menghantar utusan ke Perak dan Selangor manakala Siam tidak akan mengganggu perdagangan British di Terengganu dan Kelantan tetapi British tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal negeri tersebut.

Perjanjian ini telah membendung kuasa Siam di NMU dan menjaga kepentingan British di negeri-negeri tersebut. Ia merupakan usaha British untuk mengaut keuntungan dan mengikat Siam dari menyerahkan mana-mana wilayah utara pada kuasa Barat yang lain.


2. Perjanjian Sulit Inggeris – Siam 1897.

Antara tahun 1850 hingga 1890-an, British berasa terdesak untuk menguasai sepenuhnya negeri Utara Tanah Melayu apabila Perancis dan Jerman semakin giat meluaskan pengaruhnya. British cuba mengawal kuasa-kuasa Barat lain daripada menguasai negeri-negeri Melayu khususnya NMU. Untuk tujuan tersebut, British telah mengadakan Perjanjian Sulit Inggeris – Siam 1897. Siam berjanji tidak akan menyerahkan sebarang kawasan ke Selatan 11°U kepada kuasa asing lain tanpa persetujuan British, dan British berjanji akan membantu Siam jika Siam diserang kuasa asing. Perjanjian ini telah menandakan bermulanya usaha British untuk menguasai negeri-negeri Melayu Utara.


3. Perisytiharan Inggerís – Siam 1902

Perisytiharan ini ditandatangani supaya NMU tidak jatuh ke tangan kuasa Barat yang lain seperti Jerman, Amerika Syarikat dan Rusia yang pada waktu itu cuba mendapatkan wilayah-wilayah di Utara untuk dijadikan pengkalan mereka. Dalam tahun 1899 – 1900, R.W. Duff mendesak agar British segera meluaskan pengaruhnya demi kepentingan syarikat perdagangannya. Dasar Siam yang tegas dalam penguatkuasaannya terhadap Negeri Melayu Utara menyebabkan pemerintah Pattani dan Kelantan meminta British.

Akhirnya Siam terpaksa akur dan memeterai perjanjian pada tahun 1902. Melalui perisytiharan ini Inggerís telah melantik penasihat mereka untuk menasihati Sultan Terengganu dan Kelantan supaya tidak menyerahkan wilayah mereka kepada kuasa Barat lain. Pada 1903 W.A. Graham dilantik sebagai Penasihat British di Kelantan dan Meadows Frost sebagai penasihat kewangan di Kedah. Perisytiharan ini membolehkan Inggerís menguasai Terengganu dan Kelantan tetapi mereka tidak berpuas hati kerana tidak menguasai sepenuhnya NMU yang membawa kepada Perjanjian Bangkok pada tahun 1909.

4. Perjanjian Bangkok 1909.

Pada tahun 1904 British telah mengambil langkah berdamai dengan Perancis di Eropah apabila termeterainya Pakatan Inggerís - Perancis 1904. Siam mula bimbang jika diserang, kemungkinan besar British tidak akan menolong mereka. Tambahan pula, negeri Melayu Utara tidak menguntungkan ekonomi Siam dan sememangnya pada ketika itu Siam menghadapi masalah kewangan. Inggerís pula bimbang NMU akan jatuh ke tangan bangsa Eropah lain jika mereka tidak terlebih dahulu campur tangan. Jerman telah mendapatkan persetujuan Siam untuk membina jalan keretapi di Selatan Siam pada tahun 1906 dan hak wilayah yang diberi Siam kepada British juga dimansuhkan.

Maka atas kepentingan bersama, British menandatangani Perjanjian Bangkok dengan Siam pada 9 Julai 1909. Perjanjian ini menandakan jatuhnya NMU kepada British apabila Siam menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada British. Perjanjian ini memantapkan kuasa British di Tanah Melayu apabila akhirnya NMU menerima Sistem Penasihat Inggeris yang bermula di Kelantan (1910), Trengganu (1919), Kedah (1923) dan Perlis (1930) di samping Johor pada tahun 1914.


KESIMPULAN. ( 2 M )

Perjanjian-perjanjian ini merupakan satu bentuk peluasan kuasa yang akhirnya menyebabkan kejatuhan negeri-negeri Melayu di tangan British. Pada tahun 1930 semua negeri di Tanah Melayu menerima penasihat dan residen British secara rasmi dan sekaligus menamatkan pengaruh Siam dan kuasa lain secara keseluruhannya. Penguasaan ekonomi dan juga politik oleh British ini menimbulkan penentangan daripada masyarakat tempatan.


Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...