cikgu YaTie
4.Jelaskan faktor-faktor yang menyumbang kepada kesedaran sosial dan politik masyarakat peribumi di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua.

A. PENDAHULUAN ( 2/3 markah )

Pada tahun 1900 hingga 1941 terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kesedaran penduduk Tanah Melayu yang kemudiannya melahirkan gerakan Islah Islamiyah,kemunculan pertubuhan dan parti politik awal.Awal kurun ke 20 lahir gerakan pemulihan yang berdasarkan Al Quran dan hadis untuk membawa kemajuan kepada umat Islam yang dikenali sebagai Kaum Muda.Pertubuhan dan parti politik awal yang muncul antaranya ialah Kesatuan Melayu Singapura ( 1926 ), Kelab Putera (Kelantan ) 1926, Persaudaraan Sahabat Pena 1934, Persatuan Melayu Perak 1937, Persatuan Melayu Pahang, Persatuan Melayu Negeri Sembilan 1938, dan Kesatuan Melayu Muda 1938.

B. ISI ( 20 markah )

Faktor-faktor Penyumbang

1. Agama

a) Menuntut masyarakat Islam kembali kepada ajaran Islam sebenar berdasarkan Al Quran dan hadis.Di antara mereka yang giat ialah Syed Sheikh Al-Hadi,Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abas bin Mohd Taha.

b) Kaum Muda mendakwa kemunduran orang Melayu dalam bidang ekonomi dan sosial adalah kerana tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.Mereka berpendapat orang Melayu telah mencampuradukkan agama Islam dengan adat resam dan kepercayaan lama sehingga bercanggah dengan ajaran Islam.

c) Mereka menggesa orang Melayu kembali kepada ajaran Islam sebenar dan membebaskan bangsa dan negara dari belenggu penjajahan.Pandangan dan pendapat Kaum Muda ini ditentang oleh Kaum Tua

2. Bahasa dan Kesusasteraan

a) Bahasa dan kesusasteraan menjadi penghubung kepada masyarakat.Tulisan yang dimuatkan dalam akhbar,majalah,dan novel memberi semangat kesedaran dalam bidang sosial dan politik.Tulisan dimuatkan dalam akhbar al-Imam, al-Ikhwan, Seruan Azhar, Saudara, Lidah Benar, Suara Benar, Panduan, Semangat Islam, Idaran Zaman, Neracha, dan Utusan Melayu memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat.

b) Novel Hikayat Faridah Hanum menggesa memberi kebebasan dan pendidikan kepada kaum wanita.Iakah Salmah oleh Abdul Rashid Talu pula menyuarakan tentang emansipasi wanita.Cerpen Pergaulan Hidup di dunia oleh Shamsuddin Salleh mengkritik sistem pemerintahan Inggeris yang menjadikan raja-raja Melayu sebagai boneka dan menyeru agar maruah bangsa dikembalikan.


c) Puisi-puisi oleh Harun Aminurrashid seperti Mesti Ingat, Semenanjung Tenaga Kaumku, Seloka Harapan, Rayuan Bangsaku dan Perwira Melayu cuba menyedarkan orang Melayu supaya bangun dan berusaha mengejar kemajuan dan kekayaan ekonomi dan bersatu padu mencapai kejayaan.

3. Kewartawanan

a) Mereka yang menulis dalam pelbagai penerbitan memberi kesedaran sama ada sosial dan politik kepada masyarakat pembaca atau yang menerima maklumat.Penerbitan akhbar dan majalah membuka minda orang Melayu agar memperjuangkan hak-hak mereka dalam pelbagai bidang.

b) Antara akhbar dan majalah yang membincangkan politik orang Melayu Majlis, Saudara, Warta Malaya, Idaran Zaman, Lembaga Malaya, Utusan Melayu, Majalah Guru dan Warta Negara.

c) Majlis merupakan akhbar kebangsaan pertama memainkan peranan penting dalam membangkitkan kesedaran dan mendesak orang Melayu agar bergiat cergas dalam pergerakan politik.Abdul Rahim Kajai seorang wartawan Melayu yang terkenal pernah menjadi Ketua Pengarang Majlis yang pertama.

d) Golongan wartawan telah memberi pendapat,menyebarkan idea-idea nasionalisme dan menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan mengukuhkan semangat nasionalisma masing-masing.Antara tokoh-tokoh wartawan yang aktif termasuklah Ibrahim Haji Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam.

4. Pendidikan

a) Penubuhan sekolah telah menyebabkan ramai yang boleh membaca dan merasai kegelisahan yang disuarakan oleh akhbar.pada tahun 1920 terdapat kira-kira 757 buah sekolah Melayu di Tanah Melayu dan ada sekolah Inggeris,Arab dan pondok.

b) Pada tahun 1922, Maktab Perguruan Sultan Idris ditubuhkan di Tanjung Malim,Perak.
Kemudian lahir golongan rakyat yang menjadi pemimpin,mengambil alih beberapa peranan yang sebelum ini dipegang oleh golongan bangsawan.

c) Muncul lepasan sekolah Melayu, Arab dan Inggeris yang mana ramai di antara mereka menjadi pendidik.Kegiatan mereka ini melahirkan Persatuan Guru-guru Melayu Selangor,
Persatuan Guru-guru Melayu Melaka dan Persatuan Guru-guru Melayu Negeri Sembilan.Seterusnya lahir Majalah Guru yang kandungannya banyak menanam semangat mencapai kemajuan ekonomi dan sosial di kalangan masyarakat Melayu.


5.Golongan Intelektual

a) Perkembangan pendidikan melahirkan golongan intelektual yang seterusnya bergiat dalam penulisan dan pertubuhan menanam semangat kesedaran sosial dan politik di kalangan orang Melayu.Misalnya Kaum Tua dan Kaum Muda,masing-masing berperanan memberi pengetahuan kepada masyarakat.

b) Juga peranan yang dimainkan oleh Kadir Adabi di Kelantan yang membawa kepada penubuhan Kelab Putera ( 1929 ) dan Setiawan Belia ( 1931 ).Tengku Ahmad,Persatuan Melayu Pahang,Tengku Ismail,Persatuan Melayu Selangor.Golongan intelektual Melayu menonjolkan isu tentang kesedaran orang Melayu untuk memperbaiki taraf hidup mereka setanding dengan bangsa lain.

Pengaruh Luar

1. Gerakan Pemulihan Islam

a) Dipelopori oleh Syed Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir.Pelajar Melayu yang menuntut di Universiti Al-Azhar terpengruh dengan gerakan ini.Matlamat perjuangan ialah menyatukan dunia Islam untuk menentang Barat, membebaskan umat Islam daripada kepercayaan kolot, memulihkan kesucian Islam dan kembali kepada ajaran agama yang berlandaskan al-Quran dan Hadis.

b) Gerakan Pan-Islamisme memperjuangkan penyatuan umat Islam di bawah naungan empayar Turki.Di Tanah Melayu pengaruh ini terdapat di Kelantan,Pahang dan Johor.Di Singapura, askar India yang beragama Islam bangkit menentang Bitish.

c) Gerakan Turki Muda yang muncul di bawah pimpinan Mustapha Kamal Attartuk yang bertujuan untuk memodenkan Turki mendapat kecaman daripada Abdul Kadir Adabi di Kelantan.Mendapat sambutan daripada golongan muda yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakob dan lepasan penuntut maktab Perguruan Sultan Idris.

2. Pengaruh Jepun

a) Kebangkitan kuasa Jepun yang menjadi kuat di bawah Maharaja Mutsuhito,berjaya menewaskan Rusia pada tahun 1907 menggalakkan penduduk Asia mencabar penjajah.Kemenangan Jepun memberi semangat dan kekuatan kepada bangsa Asia untuk mencabar barat. Kemunculan Jepun yang meniru teknologi barat membuktikan bahawa rakyat Asia juga bijak dan berkebolehan. Orang Asia sedar bahawa negara maju dalam bidang pendidikan dan teknologi serta bersatu padu seperti Jepun dapat menjadi kuat untuk menentang barat.

3. Indonesia

a) Pengaruh dari Indonesia juga turut mempengaruhi kesedaran sosial dan politik.Indonesia mempunyai hubungan yang rapat dengan Tanah Melayu dari segi agama, bahasa dan satu keturunan darah.Terdapat persamaan dari segi ekonomi dan politik kedua-dua buah negara.
Perkembangan di Indonesia mempengaruhi pemikiran politik awal di Tanah Melayu.

4. China

a) Perkembangan di China turut mempengaruhi kesedaran politk penduduk Tanah Melayu.Pada tahun 1911 Dr Sun Yat Sen telah memimpin Revolusi China untuk menumbangkan kerajaan Manchu dan kejayaan beliau menubuhkan sebuah republik China. Sun Yat Sen menyebarkan idea-idea nasionalisma,demokrasi dan sosialisme.Kejayaan Revolusi China membangkitkan kesedaran menentang British.




5. Filipina

a) Di Filipina Jose Rizal telah memimpin perjuangan rakyat Filipina menentang Sepanyol. Beliau telah menubuhkan Liga Filipina untuk memajukan orang Filipina.
Perjuangan menuntut penjajah Sepanyol memberi layanan yang adil kepada rakyat


C.KESIMPULAN ( 2/3markah )

Gabungan pelbagai faktor telah menimbulkan kesedaran sosial dan politik yang membuktikan menjelang Perang Dunia Kedua telah wujud kesedaran kebangsaan di kalangan orang Melayu.
Melalui pendidikan penduduk terdedah kepada idea dan pandangan baru. Pengaruh kebangkitan Islam di Timur Tengah dan negara-negara Asia lain turut menyumbang kepada kesedaran sosial dalam kalangan masyarakat tempatan
















Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...