cikgu YaTie

                Masyarakat di Jepun terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan pemerintah yang terdiri daripada maharaja, shogun, daimyo, dan samurai. Golongan diperintah ialah petani dan tukang-tukang mahir, artisan, saudagar, dan pedagang. Struktur masyarakat feudal di Jepun amat jelas pada zaman pemerintahan Keshogunan Tokugawa. Dalam masyarakat feudal Jepun, mobiliti sosial tidak berlaku dan status sosialnya diwarisi.


                Maharaja menduduki heirarki tertinggi dalam susun lapis masyarakat feudal di Jepun. Maharaja menjadi pemerintah rohani dan jasmani pada teorinya. Maharaja dianggap sebagai Ameritsu atau Anak Tuhan Matahari, tetapi maharaja tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran. Maharaja tinggal terpencil di Kyoto bersama-sama pegawai istana.
                Heirarki kedua dalam struktur masyarakat Jepun ialah Shogun. Shogun memegang kuasa mutlak pemerintahan Jepun. Shogun memerintah atas nama maharaja. Pada tahun 1615, Peraturan Bagi Istana dikeluarkan sebagai satu ordinan yang menyekat kuasa maharaja dan golongan bangsawan.
                Lapisan seterusnya ialah golongan Daimyo. Daimyo memiliki tanah dan diberikan daerah untuk ditadbir. Daimyo terbahagi kepada tiga iaitu Daimyo Fudai, membantu shogun dan  diberikan tanah di bahagian tengah dan utara Honshu. Daimyo Shimpan, mempunyai hubungan dengan keluarga shogun dan mengawal Daimyo Tozama yang sering menentang pemerintahan shogun.
                Golongan samurai menduduki lapisan akhir golongan pemerintah. Samurai merupakan pahlawan yang mengawal kedudukan pembesar dan mempertahankan negara (Gilbert Khoo dan Dorothy Lo). Tidak berlaku mobiliti sosial dalam  institusi samurai.
                Dalam kalangan golongan yang diperintah, petani menduduki lapisan tertinggi kerana mereka membekalkan beras untuk golongan atasan dan juga membayar sebahagian besar cukai. Golongan tukang dihormati kerana diperlukan untuk membuat alat-alat pedang berbanding golongan pedagang dan saudagar yang dianggap tidak memberikan sumbangan kepada masyarakat. Golongan yang dikenali sebagai chonin ini menduduki heirarki paling bawah dalam struktur feudal masyarakat di Jepun kerana kegiatan ekonomi perdagangan berhubungan dengan orang-orang asing yang dianggap tidak bertamadun oleh masyarakat feudal Jepun.
                Sistem feudal di Jepun merupakan satu cara hidup yang meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial. Sistem feudal ini berubah apabila maharaja Meiji memperkenalkan dasar pemodenan Jepun secara menyeluruh dengan penghapusan pengaruh golongan daimyo dan samurai.

 SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN :


  1. Huraikan sistem sosial masyarakat feudal di Jepun pada abad ke-16 dan abad ke-17M.
  2. bincangkan ciri-ciri masyarakat feudal di Jepun pada abad ke-16 hingga abad ke-17M.






0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...