cikgu YaTie
SISTEM SULTAN

Konsep sultan

Institusi sultan dalam kaca mata orang-orang Melayu merupakan satu rujukan kepada kekuasaan dan kekuatan yang ada pada individu yang diiktiraf oleh masyarakat sebagai sultan. Dalam hal ini sultan sering kali ditanggap sebagai seseorang yang mempunyai kuasa yang begitu teguh. Ini sering kali dikaitkan dengan konsep bahawa sultan itu sebagai wakil tuhan. Dengan kepecayaan ini, seseorang individu merasakan menderhaka kepada sultan akan membawa padah yang amat dahsyat. Konsep ketuhanan ini telah berakar umbi sejak masyarakat Melayu dipengaruhi oleh unsur agama Hindu dan seterusnya disenyawakannya dengan unsur-unsur Islam. Dalam hal ini, Sultan dianggap sebagai khalifah atau wakil Allah dalam memimpin masyarakat Islam. Sultan dianggap sebagai imam dalam memimpin rakyat ke arah kesejahteraan.

Selain itu, sultan juga dianggap mempunyai kekuatan dan keajaiban. Sultan dianggap sebagai individu yang perkasa dan boleh mendatangkan kecelakaan kepada mereka yang menentang. Dalam aspek ini konsep daulat, tulah, dan derhaka telah menghantui masyarakat melayu supaya sentiasa patuh dan menuruti kehendak sultan. Dalam konsep daulat, sultan dianggap mempunyai kuasa dan tidak boleh disentuh. Kedaulatan sultan telah dimengertikan melampaui batas kekuasaan sultan dalam politik. Ia melampaui batas-batas kuasa dan sentiasa menganggap sultan sebagai mempunyai kuasa ketuhanan untuk memberi pembalasan terhadap individu yang menderhaka. Dengan kata lain konsep daulat memberi pengertian bahawa sultan merupakan seorang yang terpilih dan diterima oleh tuhan untuk memimpin kesejahteraan masyarakat. Dengan konsep ini sultan dianggap boleh mencelakakan kehidupan orang yang derhaka. Hal ini dapat dilihat daripada peristiwa penderhakaan Laksamana Bentan terhadap Sultan Mahmud. Sumpah sultan terhadap keturunan Laksamana dianggap sebagai satu kuasa dan ia dikaitkan dengan daulat sultan.

Dalam memahami konsep ini, ia juga berkaitan dengan knsep tulah. Tulah bermaksud sumpahan. Seseorang yang terkena tulah sultan dianggap sebagai seorang yang derhaka. Oleh itu, masyarakat melayu menganggap sultan sebagai seorang individu yang istimewa serta sentiasa ingin mendapat rahmatnya untuk memperoleh kehidupan yang terjamin. Jika ia ditulah maka ia akan menerima bencana seperti keturunan Laksaman Bentan Megat Sri Rama. Dalam hal ini rakyat akan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepada sultan. Ini menimbulkan satu konsep kerja raja dijunjung , kerja sendiri dikelek . Sebagai kesan daripada konsep ini, mereka berbangga meninggalkan kerja-kerja mereka semata-mata untuk berbakti serta mengelakkan diri daripada tulahan dan daulat sultan. Hal ini seterusnya menimbulkan satu amalan berkenaan sistem hamba dan kerahan yang dianggap olah sejarawan barat sebagai satu institusi yang melemahkan sistem politik Melayu. Terjadinya sistem kerah, serah dan hamba ini timbul berikutan kehendak rakyat untuk mendapat pengiktirafan sultan sebagai rakyat yang setia. Dalam hal ini maka timbullah kesetiaan dan ketaatan yang membabi buta seperti yang ditonjolkan oleh Hang Tuah yang sanggup membunuh rakannya semata-mata untuk membukti kesetiaannya kepada sultan.

Oleh itu dalam memperkatakan institusi kesultanan ini, konsep daulat memberi ruang kepada sultan untuk meletakkan dirinya berbeza dengan orang lain. Hal ini juga berkaitan dengan unsur ketuhanan atau sebagai wakil tuhan yang dimilik sultan. Ia seterusnya mencerminkan kelebihan-kelebihan yang ada pada sultan serta tidak boleh digunakan oleh orang lain. Hal ini mencetuskan konsep daulat dari segi kehidupan sultan itu sendiri sebagai golongan elit yang tidak boleh dikongsi bersama dengan rakyat. Ini memberikan banyak keistimewaan kepada sultan seperti hanya sultan yang boleh berpakaian kuning, penggunaan bahasa dalam yang sering menggambarkan kehinaan rakyat, penggunaan alat-alat kebesaran , nobat, dan lambang kebesaran dan kemuliaan.

Berdasarkan kepada keistimewaan ini institusi raja merupakan institusi yang menjadi sanjungan dan sesebuah kerajaan melayu tidak akan lengkap tanpa sultan. Hal ini dapat dilihat bagaimana luak-luak undang di Negeri Sembilan meminta kerabat Sultan di Minangkabau untuk diangkat sebagai sultan bagi mendaulatkan negeri tersebut.



Sistem Pertabalan
Pertabalan dan penggantian sultan berbeza antara satu negeri dan negeri yang lain. Dalam konteks ini ia juga melibatkan sistem undang-undang adat. Negeri-negeri yang beradatkan adat temenggong mempunyai sistem pertabalan yang berbeza dengan negeri yang mengamalkan adat perpatih. Begitu juga dalam sistem adat temenggong penggantian sultan juga terdapat sedikit perbezaan.
Dalam mengkaji sistem ini kita dapati terdapat tiga bentuk sistem pertabalan yang diamalkan di negeri-negeri Melayu. Di Negeri Sembilan sistem penggantian sultan mengikut undang-undang dalam adat perpatih. Dalam adat ini Yang Dipertuan Besar dilantik dan mesti dipersetujui oleh luak-luak undang. Dalam aspek ini sistem yang diamalkan itu seolah-olah memaparkan perlantikan secara demokrasi. Yang Dipertuan Besar tidak akan ditabalkan jika mereka tidak mendapat persetujuan daripada luak undang ini. Dan mengikut adat ini Yang Dipertuan Besar tidak bernegeri dan pemerintahan dibawah Undang Luak. Hanya selepas penguasaan Inggeris setiap Undang dikehendaki menumpahkan taat setia kepada Yang Dipertuan Besar. Walaupun begitu, waris sebagai Yang Dipertuan Besar adalah daripada lingkungan kekeluargaan Yang Dipertua Besar cuma ia perlu mendapat pengesahan daripada Undang Luak (Ismail Hamid:1988).
Hal ini berbeza dengan sistem penggantian dan pertabalan di negeri Perak. Sistem di Perak mengikut peraturan adat temenggong. Ia biasanya meletakkan waris daripada anak lelaki pertama untuk mewarisi takhta .Walaupun begitu ia tertakluk kepada permuafakatan pembesar untuk memilih siapakah yang layak mewarisinya. Sistem penggantian di Perak melibatkan tiga keluarga daripada keturunan atau susur Sultan Ahmadin iaitu waris keluarga Sultan Abdullah ( 1825-1830), Sultan Shahbudin ( 1830-51), dan Sultan Abdullah Muhamad Syah ( 1851-65)( Gullick:1958 ). Dengan tuntutan daripada tiga keluarga ini sistem pertabalan dan penggantian sultan di Perak lebih menjurus pada sistem giliran.. Ini bagi memberi peluang kepada setiap keluarga tersebut untuk ditabalkan menjadi sultan berdasarkan giliran mereka. Cara ini dijalankan bagi menggelakkan berlaku perang saudara dan perebutan kuasa antara keluarga diraja. Pengiliran ini dapat dilihat melalui tahap kedudukan waris raja seperti hiraki berikut: Raja Dihilir, Raja Bendahara, Raja Muda, dan Sultan.( Buyong Adil: 1985,Andaya: 1983, Joginder Singh: 1976). Seperti kata Andaya:1983 ... perbalahan mengenai hak waris telah lama berlarutan. Sistem menggilirkan takhta di antara tiga keturunan diraja yang berlainan yang diasaskan sejak awal kurun itu, dimaksudkan supaya menghalang sebarang pertikaian, tetapi tidak pernah berjalan dengan sempurna. Ketidaksempurnaan kerana ia tertakluk kepada peranan sultan dan pembesar. (Andaya:1983, Joginder Singh: 1976, K.Ratnam: 2001). Maka pada 1874, bermulalah persengketaan tuntutan terhadap takhta Perak yang dituntut oleh waris-waris daripada tiga keluarga ini iaitu Raja Abdulllah, Raja Ismail, dan Raja Yusuf sehingga berlakunya campur tangan Inggeris di Perak dan pengenalan Sistem Residen.
Bagi negeri-negeri lain yang mengamalkan adat temenggong biasanya anak lelaki sulong terus ditabalkan menjadi sultan dan ini boleh dikenali sebagai sistem warisan. Negeri-negeri yang mengamalkan sistem ini adalah seperti Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Trengganu dan Perlis.Walaupun begitu dalam keadaan tertentu ia tidak berlaku. Malahan ia boleh melibatkan adik, cucu dan menantu sultan dalam keluarga diraja (Gullick:1958).
Jika dilihat daripada sistem-sistem yang diamalkan ini kelihatan seolah-olah sistem pepatih mempunyai unsur yang lebih adil dengan memberi hak kepada rakyat untuk menentukan sultan yang berhak ditabalkan melalui peranan Undang Luak. Hal ini kerana luak undang yang dilantik juga mesti melalui cara yang sama. Dengan kata lain rakyat mempunyai hak dan disalurkan melalui luak yang dipilih. Ini bertepatan dengan amalan demokrasi yang memberikan kelebihan kepada rakyat untuk membuat pilihan. Dengan kata lain negeri-negeri yang mengamalkan adat temenggong lebih menjurus pada sistem monarki warisan. Walaupun begitu dalam undang-undang tubuh negeri Johor, rakyat masih boleh engkar dan tidak menumpahkan taat setia kepada sultan jika sultan ttidak mengikut undang-undang tubuh serta nasihat daripada pembesar. Keadaan ini pernah diucapkan oleh Dato Onn semasa pertikaian dalam gagasan Malayan Union 1946.
Selain sistem yang diamalkan pengganti sultan mesti anak gahara ataupun waris benih atau tanah di Perak. Dalam hal ini, anak daripada isteri kedua dan seterusnya dianggap kurang berpeluang untuk menjadi sultan. Peluang itu hanya wujud jika isteri pertama tidak mempunyai anak lelaki dan isteri sultan seterusnya mempunyai anak lelaki dan menjadi pilihan pembesar-pembesar.
Begitu juga dalam perlantikan dan pertabalan, pengganti sultan perlu menghadiri upacara pengkebumian sultan yang mangkat. Jika ini tidak dapat dituruti, maka ia akan digantikan dengan waris lain. Keadaan ini pernah berlaku di Perak, yang menyaksikan Raja Abdullah terlepas daripada ditabalkan menjadi Sultan kerana beliau tidak menghadiri upacara pengkebumian Sultan Ali. Keadaan ini jelas dinyatakan oleh Joginder Singh: 1976, dan Buyong Adil: 1985. Sebagai kesan daripada itu. Raja Ismail yang turut sama menghadiri upacara tersebut telah dilantik menjadi sultan atas permuafakatan para pembesar.
Dalam keadaan-keadaan tertentu, misalannya apabila Sultan tidak mempunyai waris , maka Bendahara boleh dilantik menjadi Sultan dengan persetujuan pembesar dan rakyat. Ini pernah berlaku kepada Bendahara Tun Habab yang menjadi Sultan Johor. Dalam kita mengkaji perlantikan dan pertabalan seseorang Sultan sebenarnya ia lebih bercirikan kesanggupan rakyat untuk menerima seseorang yang berpengaruh dalam sesuatu wilayah. Sebab itu kita dapati Bendahara Tun Habab, Bendahara Wan Ahmad di Pahang dan Keluarga Temenggong Abd. Rahman dapat ditabalkan dan akhirnya diakui sebagai sultan. Dalam hal ini, kita akui bahawa sebagai tradisinya seseorang yang dilantik ke jawatan Sultan itu pada peringkat awalnya ialah waris dan keturunan diraja, tetapi ini sebenarnya tidak menghalang bukan keturunan diraja dilantik dan ditabalkan menjadi sultan jika mereka mendapat sokongan pembesar dan rakyat. Oleh itu, dalam melihat kuasa dan kekuasaan seseorang sultan ialah sejauh manakah ia mendapat sokongan daripada pembesar dan rakyat.

Peranan Sultan

Dalam membicarakan peranan-peranan sultan dalam sistem politik tradisional Melayu kita harus meneliti aspek kuasa dan kekuasaan yang ada pada seseorang sultan. Apakah kuasa yang ada pada seseorang dan bagaimanakah kuasa ini boleh menentukan kekuasaannya. Dalam memngkaji kuasa seseorang sultan kita boleh perhatikan dari sudut kuasa fizikal, dan kuasa rohani. Dalam kuasa fizikal kita boleh tentukan bahawa seseorang sultan itu mempunyai kekuatan tenaga yang kuat seperti handal bermain senjata, kebal daripada senjata, boleh mempengaruhi rakyat dengan renungan, dan mempunyai ilmu persilatan yang tinggi. Dalam kuasa rohani kita disogokkan dengan kekuatan yang ada pada sultan seperti kuasa daulat dan tulah. Ia juga mempunyai kaitan dengan unsur ketuhanan dan sultan dianggap sebagai orang yang terpilih oleh tuhan dan wakil tuhan. Dengan ini sultan dianggap mempunyai kekusaan yang luar biasa. Untuk mengketengahkan unsur ini dicipta pelbagai mitos mengenai kekuasaan rohani sultan ini. Maka timbullah sultan ialah daripada keturunan Nabi Sulaiman, dan berketurunan buluh bentung. Ini semua bagi mendapatkan ketaatsetiaaan rakyat agar tidak memberontak dan dihubungkan dengan kepercayaan masyarakat Melayu lama. Melalui kuasa inilah sultan dapat menentukan kekuasaan dan peranannya dalam politik masyarakat Melayu.

Sultan dikaitkan dengan kemampuannya untuk menarik minat rakyat bagi memeluk sesuatu agama. Dengan peranan ini juga ia dilantik secara tidak langsungnya sebagai ketua agama bagi sesebuah negeri. Kemampuan sultan dalam mempengaruhi rakyatnya memeluk agama baru dapat dibuktikan melalui pengislaman sultan Melaka, iaiatu Parameswara Dewa Syah. Dengan pemulukan Islam oleh baginda seluruh rakyat Melaka mengikuti sama memeluk agama Islam. Hal ini kerana, sebelumnya sultan dianggap sebagai wakil kepada tuhan. Ini diterima pakai semasaa Melaka dibawah pengaruh Hindu. Bagi rakyat, dengan sultan sebagai wakil tuhan telah memeluk Islam, mereka mesti sama-sama memeluknya agar tidak ditulah dengan daulat sultan. Dalam sistem kesultanan masa kini sultan setiap negeri mempunyai kuasa dalam hal ehwal agama. Setiap perundangan yang hendak digubal dan dipinda perlu mendapat perkenan sultan. Malahan bagi kes-kes perkahwinan yang tidak mempunyai wali sultan dianggap sebagai wali kepada peihak perempuan.

Peranan kedua yang dimainkan oleh sultan ialah baginda dilambangkan sebagai lambang perpaduan bagi kesejahteraan negara. Dalam sistem politik Melayu yang berteraskan sistem feudal, para pembesar menguasai wilayah-wilayah tertentu. Para pembesar ini mempunyai hak istimewa untuk memungut dan mengenakan cukai kepada para pengikutnya. Seringkali juga para pembesar ini berselisih faham mengenai hak dan kekuasaan mereka. Ini selalunya menimbulkan kekacauan. Bagi mencari jalan penyelesaian tuntutan mereka sultan diangap sebagai orang tengah yang terbaik. Oleh itu, setiap pembesar dalam membuat tindakan akan berusaha untuk mendapatkan perkenan dan restu Sultan. Jika tidak mereka dianggap derhaka dan akan diperangi oleh sultan dan pembersar-pembesar yang menyokong sultan. Keadaan ini dapat juga dilihat bagaimana Dato Maharajalela bermuafakat dengan Sultan Abdullah untuk membunuh JWW Birch. Jika Sultan Abdullah tidak memberikan perkenan maka Maharajalela tidak akan membunuh Birch. Dalam sistem sultan masa kini Yang Dipertuan Agong mempunyai peranan sebagai lambang perpadua masyarakat yang berbilang kaum. Ini terbukti apabila dalam salah satu prinsip Rukunegara yaang meletakkan Kesetiaan kepada Raja dan Negara sebagai satu perlambangan peranan Sultan ini.

Aspek ketiga dalam peranan sultan dapat dilihat fungsi sultan dalam bidang kehakiman. Dalam aspek ini sultan mempunyai kuasa dalam menentukan hukuman yang akan dikenakan oleh pesalah terutama hukuman mati. Selalunya hukuman yang dikeluarkan oleh mulut sultan merupakan hukuman yang muktamad dan tiadak ada rayuan yang boleh dilakukan. Keadaan seperti ini pernah berlaku seperti peristiwa Laksamana Hang Tuah yang dijatuhi hukuman mati. Selain itu, sultan juga boleh menurunkan kuasanya kepada pembesar daerah dalam menjatuhkan hukuman. Walau bagaimanapun hukuman tersebut hanya hukuman ringan dan jika terdapat hukuman berat hendaklah ia dihadapkan kepada sultan. Walaupun begitu, ada sesetengah pembesar yang tidak mengendahkan peraturan ini kerana mereka beranggapan bahawa mereka berkuasa di dalam wilayah jajahan mereka. Keadaan ini menunjukkan bahawa sultan adakalanya tidak mempunyai kuasa. Kekuasaan yang ada pada sultan dilihat sebagai sebahagian daripada kekuasaan berdasarkan kepercayaan masyarakat melayu lama iaitu sultan merupakan individu yang mempunyai kekuasaan ketuhanan yang didasarkan pada konsep daulat dan tulah. Dengan konsep inilah sultan diibaratkan sebagai seorang yang tidak mungkin melakukan kesalahan dan ia boleh laksanakan hukuman berdasarkan budibicaranya sendiri.

Peranan keempat yang dimainkan oleh sultan ialah sultan merupakan seorang ketua negara dan ketua kerajaan. Sultan dianggap sebagai empunya tanah di wilayah jajahan takluknya. Dengan fungsinya seperti ini sultan boleh melakukan apa-apa sahaja serta berkuasa dalam membuat perlantikan terhadap pembesar negara. Dalam soal tanah sultan berkuasa dalam mengkurniakan tanah kepada rakyatnya. Dengan pengkurniaan inilah rakyat dapat bercucuk tanam dan menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi. Sebagai ketua negara dan kerajaan sultan menentukan dasar-daar negara dengan dinasihati oleh para pembesar terutamanya oleh Bendahara. Sering kali dalam memberikan nasihat ini Bendahara mempunyai pengaruh yang amat penting. Walaupun begitu disebabkan institusi kesultanan lebih berfokuskan kepada sultan maka berlakulah aktiviti mendapatkan sokongan sultan. Keadaan inilah yang sering menyebabkan berlakunya fitnah seperti yang berlaku kepada keluarga Tun Mutahir, Bendahara Melaka yang difitnah oleh Raja Mendaliar. Berlakunya fitnah ini disebabkan oleh tiadanya kuasa pengimbang yang boleh membela Tun Mutahir kerana kesemua kuasa terletak pada sultan. Ini dilemahkan lagi apabila penasihat sultan iaiatu Bendahara sendiri yang didakwa melakukan kesalahan.

Peranan kelima kita dapati sultan diibarat sebagai seorang individu yang mempunyai kuasa keramat. Dengan kuasa ini sultan dilambangkan sebagai manusia yang berlainan daripada individu lain. Malahan individu yang menjadi sultan juga dilihat sebagai seorang yang berlainan sebelum ia dittabalkan sebagai sultan. Peranan kekeramatan ini dapat dilihat apabila seseuatu anugerah sultan dilihat sebagai ada sakti dan orang yang menggunakannya akan menjadi handal atau kebal. Dengan sifat ini sultan dianggap mempunyai kesucian dan kemuliaan. Ia ditambahkan lagi dengan adanya alat-alat seperti alat muzik, senjata dan beberapa alatan pertabalan dan lambang jawatan sebagai mempunyai kuasa seiring dengan kuasa sultan. Sebagai contoh nobat, sebagai alat muzik tradisi Melayu dianggap hanya boleh digunakan dan dimainkan jika mendapat kebenaran sultan. Jika ia tidak mendapat kebenaran maka si pemainnya akan mendapat kecelakaan. Dengan sifat inilah sultan dapat menggerakkan rakyatnya gara tunduk dan memberikan tumpah taat setia. Keadaan ini termasuklah para pembesar. Inilah yang dikaitkan dengan daulat. Kepada mereka yang derhaka maka kekeramatan dan kesucian sultan ini akan mendatangkan tulah kepada penderhaka. Inilah yang berlaku kepada Hang Jebat dan Megat Sri Rama Laksamana Bentan yang tewas dengan keperkasaan pahlawan yang mendapat restu sultan. Malahan dalam kes Megat Sri Rama orang Melayu berkepercayaan bahawa keluarga Laksamana telah disumpah selama tujuh keturunan dan tidak boleh menyeberangi sungai Kota Tinggi. Jika ini dilanggar maka ia akan muntah darah. Dengan peranan kekeramatan ini sultan dapat menjaga keharmonian negara dan menerima ketaatan daripada rakyat.

Sebagai kesimpulan daripada peranan-peranan yang dimainkan oleh sultan, ia sebenarnya mempunyai sifat-sifat pro dan kontra. Dalam satu segi ia kelihatan baik bagi mendapatkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, tetapi bagi sultan yang zalim institusi ini mendatangkan banyak masalah. Oleh sebab itu, selepas kedatangan dan dalam zaman penjajahan British konsep sultan serta peranan mereka dalam sistem pentadbiran Melayu lama ini telah diubah agar ia mencerminkan kewibawaan untuk melindungi rakyat dan membawa kesejahteraan negara. Maka setelah wujudnya perlembagaan Persekuuan Tanah Melayu 1948 peranan sultan telah banyak berubah serta kekuasaan sultan mesti mengikut perlembagaan yang diluluskan oleh parlimen.
Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...