cikgu YaTie


Struktur Organisasi Masyarakat

Struktur organisasi masyarakat Melayu mewarisi struktur organisasi zaman kesultanan melayu Melaka. Dalam struktur ini ia berbentuk piramid yang berpuncakkan kuasa pada sultan.
Peranan rakyat dalam struktur masyarakat Melayu tradisi lebih menjurus kepada pemberian taat setia kepada golongan bangsawan. Peranan mereka adalah untuk dilindungi dan dinaungi supaya keselamatan dan kehidupan mereka terjamin. Oleh itu, peranan mereka ini dapat disimpulkan seperti yang berikut:

1. Sebagai tenaga kerahan dalam bidang keselamatan, sosial, dan ekonomi.
2. Alat bagi menunjukkan kekuatan dan kekuasaan pembesar dan golongan bangsawan. Mereka sebagai pengikut kepada pembesar dan dikenali dengan istilah kawan.
3. Penyumbang kebangkitan ekonomi dalam bentuk membayar cukai atau menyerahkan hasil daripada usaha yang dibuat. Mereka tidak boleh membantah kerana tanah yang dikerjakannya adalah hasil kurniaan golongan atasan dan boleh ditarik balik.

Peranan yang dimainkan oleh golongan bawahan ini adalah dipengaruhi oleh aspek-aspek yang berikut:

1. Anggapan mereka akan kekuasaan yang dimiliki oleh sultan seperti aspek tulah dan daulat jika derhaka.
2. Memerlukan tanah sebagai tempat untuk mencari sumber pendapatan.
3. Memerlukan perlindungan kerana golongan atasan mempunyai kekuatan ketenteraan.
4. Bagi hamba berhutang, mereka terikat dengan hutang yang tidak mampu dibayar.
5. Pengikut tradisi sejak daripada penghijrahan tempat asal mereka. Sebagai contoh Temenggong Abd Rahman yang menguasai Johor mempunyai pengikut yang terdiri daripada orang laut.
6. Kemampuan pembesar yang boleh memberikan mereka kemewahan dalam kehidupan. Aspek ini bergantung pada kekayaan yang ada pada para pembesar.

Batasan hubungan golongan atasan dan bawahan tertakluk dalam aspek-aspek berikut:

1. Aspek perkahwinan hanya dalam kelas mereka sahaja.
2. Adat berpakaian dan cara hidup dan pergaulan. Sebagai contoh
Rakyat tidak boleh berpakaian berwarna kuning. Sisa rakyat tidak boleh dimakan oleh Sultan - derhaka. Lihat kes isteri Laksamana Bentan dibunuh.

Struktur Masyarakat dalam Era Campur Tangan Inggeris

Campur tangan Inggeris yang bermula pada 1874 mempunyai banyak implikasi terhadap stratifikasi masyarakat Melayu. Keadaan ini mempunyai sedikit perbezaan antara struktur tradisi masyarat yang bercorakkan piramid dan berpaksikan raja kepada pemecahan atau pembahagian kuasa antara Raja dan Residen. Ia akhirnya menyaksikan juga perubahan dalam kepimpinan kebangsawanan yang menghilangkan fungsi-fungsi penting pembesar dalam era tradisi.
Residen Inggeris
(Residen sebagai Penasihat Raja atau Raja sebagai penasihat Residen atau Residen yang menjalankan pemerintahan negara.

Fungsi Pembesar sebagai pemerintah bertukar kepada kakitangan kerajaan yang dibayar upah bulanan. Tarafnya hampir sama dengan rakyat biasa dalam era tradisi.

Fungsi rakyat tidak sahaja sebagai orang suruhan tetapi boleh menjadi pentadbir seperti menjadi Pegawai Daerah.


Adakah bentuk strukutur sosial ini berubah? Ia hanya boleh dikaji melalui perubahan fungsi yang dimainkan oleh setiap lapisan dalam masyarakat dan tindakan-tindakan Inggeris seterusnya seperti perubahan-perubahan pentadbiran dan pemerintahan dengan mewujudkan sistem Persekutuan pada 1896, Dasar Centralisasi dan Desentralisasi, Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Adakah setiap perubahan ini mencirikan konsep kuasa dan kedudukan sebelum campur tangan Inggeris pada 1874? Jika ia tidak mencirikan konsep sebelum tahun 1874 maka struktur lapisan masyarakat juga telah banyak berubah. Hal ini juga mempunyai kaitan dengan aspek struktur dan cara pengaruh dalam organisasi politik Melayu kerana perubahan dalam sudut ini mempuyai kesan terhadap lapisan masyarakat Melayu tradisi.
Struktur dan Cara Pengaruh dalam Organiasi Politik Melayu

Kekuasaan yang dimiliki oleh setiap tahap kedudukan pembesar dapat dilihat berdasarkan pengaruh dan hubungan pembesar dengan sultan dan rakyat. Dalam aspek ini kekuasaan sesebuah negara terletak pada Sultan. Hal ini difahami kerana sultan mempunyai keistimewaan yang tidak dipunyai oleh orang lain. Antara keistimewaan yang ada pada sultan ialah sifat ketuhanan, kewujudan sistem-sistem seperti kerah dan serah, durhaka dan daulat, tulah yang mempunyai hubung kait dengan keprcayaan dan amalan dalam adat melayu. Ini membolehkan sultan menggunakan kedudukannya bagi memanipulasikan pengikut-pengikutnya dengan memasukkan doktrinasi keajaiban dan kemuliaan sultan. Maka wujud kepercayaan yang memperlihatkan sultan mempunyai daulat, iaitu satu kepercayaan yang membolehkan sultan mengenakan kesialan terhadap orang yang mengengkari perintahnya. Unsur-unsur ini yang ada pada sultan akan diwarisi oleh mereka yang dilantiknya sebagai pembesar. Kepercayaan masyarakat melayu tentang penurunan kuasa ini dapat dijelaskan lagi dengan hadiah-hadiah iringan yang akan diberikan oleh sultan kepada para pembesarnya. Hadiah-hadiah dan pelambangan yang berunsurkan kekuasaan sultan seperti cop mohor membolehkan penerimanya menjalankan kuasa sultan . Keadaan ini seterusnya akan diterima oleh penghulu. Seperti keadaan yang dinikmati oleh para pembesar, penghulu sebagai pembesar desa juga akan dapat menikmati kuasa yang sama. Walaupun begitu setiap peringkat pembesar tersebut diberikan had-had kuasa yang tertentu bagi menghalangkan mereka mewujudkan persamaan dengan sultan.

Keadaan penurunan dan pemilikan kuasa seperti ini telah mewujudkan kumpulan-kumpulan pengikut tertentu. Ia bergantung pada siapakah yang menjadi ketua mereka. Kebiasaannya pembesar A akan mempunyai kumpulan pembesar desa tertentu yang menumpahkan taat setianya kepada pembesar A sahaja dan pembesar desa itu pula mempunyai pengikutnya . Oleh yang demikian, setiap pembesar perlu mempunyai dan mencari sebanyak mungkin pengikut. Banyaknya pengikut akan membolehkan mereka bertambah kuat, kaya, dan berpengaruh dalam istana. Walaupun kesetiaan setiap pengikut diberikan kepada pembesar yang menjadi ketua kepada mereka kepatuhan dan daulat sultan tetap terpelihara. Hal ini kerana, daulat sultan mengatasi kuasa yang ada pada setiap pembesar yang telah dilantik. Oleh itu, setiap pembesar perlu patuh dan taat kepada sultan, jika tidak ia akan ditulah. Ini memungkinkan mereka kehilangan status dan taraf sebagai pembesar dan membolehkan rakyat mengengkari perintah. Keadaan ini boleh menyebabkan pembesar yang disihkan itu tidak diterima dalam sistem pembesar masyarakat melayu. Ini juga boleh menyebabkan mereka kehilangan kekayaan dan pengikut.

Persoalannya dalam mengkaji aspek ini ialah bagaimanakah mereka dapat mempastikan kedudukan mereka. Keadaan ini hanya akan wujud jika mereka dapat mencapai satu tahap kekayaan yang besar. Dengan kekayaan ini para pembesar boleh menyara pengikut mereka. Disamping itu, mereka juga boleh mendapatkan perhatian sultan jika mereka dapat menghadiahkan atau memperoleh cukai yang tinggi kepada sultan. Dalam mendapatkan cukai ini, semakin luas kawasan atau wilayah yang dikuasai, maka sebagai ramai pengikutnya yang boleh dikerahkan atau meminta mereka menyerahkan hasil-hasil yang didapati untuk dipersembahkan atas nama sultan. Kebolehan mereka menguasai ekonomi wilayah mereka bukan setakat menjadikan mereka bertambah kaya, tetapi berpengaruh dalam istana. Oleh itu, setiap pembesar akan bersaing bukan setakat mendapatkan wilayah yang luas, tetapi juga bersaing untuk mendapatkan perhatian dan kepercayaan sultan. Hal ini membolehkan mereka diberi anugerah melebihi daripada pembesar lain.

Kegagalan mereka menguasai aspek pengaruh ini, sebenarnya menyebabkan mereka gagal dalam persaingan mencari pengaruh dan boleh menyebabkan mereka kehilangan pengikut dan kuasa. Keadaan ini akhirnya wujud apabila struktur kuasa dalam lapisan masyarakat melayu telah diubah oleh Inggeris selepas 1874. Ini menyaksikan penentangan oleh para pembesar kerana kedudukan dan taraf mereka telah diperlecehkan dan mereka akhirnya sama seperti rakyat kebanyakan sewaktu sistem pemerintahan dan lapisan masyarakat melayu tradisi masih utuh.
Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...