cikgu YaTie

Gerakan Nasionalisme
Pengenalan
Secara umum, dalam konteks Tanah Melayu, nasionalisme bermaksud perasaan cinta dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air dan ingin membebaskan negara dan bangsa daripada penguasaan dan cengkaman kuasa asing. Nasionalisme juga ada kaitan dengan “negara” dan “bangsa”. Nasionalisme pada umumnya bertujuan mewujudkan kebebasan individu dan negara daripada cengkaman dan kongkongan pemerintah dan kuasa asing. Intipati utama nasionalisme ialah mewujudkan kebebasan dan maruah seseorang serta membentuk nasib dan masa depan sesebuah negara dan bangsa. Dengan itu, nasionalisme bergerak ke arah pembentukan satu identiti bangsa yang berbudaya tinggi. Menjelang awal abad ke-20, kebangkitan nasionalisme semakin meluas di kalangan orang Melayu.

Menurut W.R. Roff, proses perkembangan nasionalisme Melayu dibahagikan kepada 3 tahap yang dipimpin oleh 3 golongan yang mempunyai latar belakang pendidikan yang berlainan, iaitu:
Tahap Tahun Pendidikan
Agama 1906 – 1926 Arab
Sosioekonomi 1926 – 1937 Inggeris
Politik 1937 – 1941 Melayu

Faktor yang mendorong kepada nasionalisme
Pengaruh luar
a. Gerakan Pemulihan Islam di Mesir
Gerakan Pemulihan Islam bermula di Mesir sejak tahun 1850. Gerakan ini dipimpin oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Syeikh Muhammad Abduh dilahirkan di Mesir pada tahun 1829 dan mendapat ijazah dari Universiti al-Azhar. Beliau menjadi Mufti Besar dari tahun 1899 hingga beliau meninggal dunia pada tahun 1905. Matlamat-matlamat Gerakan Pemulihan Islam ialah:
ü Memperjuangkan konsep Pan-Islamisme, iaitu penyatuan umat Islam di seluruh dunia.
ü Membebaskan agama Islam daripada kepercayaan kolot dan ortodoks yang tiada kaitannya dengan ajaran Islam yang sebenar.
ü Memulihkan agama Islam mengikut ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran dan Hadith.
ü Mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan sosial mengikut al-Quran dan Hadith.
Membebaskan negara Islam dari pengaruh penjajahan Barat.

Konsep Gerakan Pemulihan Islam telah memberi ilham kepada pelajar-pelajar Melayu yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir untuk berjuang di negara sendiri. Pelajar-pelajar yang berpendidikan Arab dari Mesir pulang ke Tanah Melayu dan menjadi pelopor Gerakan Islah-Islam. Tokoh-tokoh terkenal ialah Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Mohammad Salim al-Kalali dan Haji Abbass bin Mohammad Taha. Mereka menyebarkan idea-idea Islam-Islamiah atau pemulihan agama Islam serta konsep Pan-Islamisme di kalangan kaum Melayu menerusi majalah al-Imam.

Gerakan di Turki

ü Gerakan Pan-Islam
Perkembangan di Turki mempengaruhi umat Islam di Tanah Melayu. Sultan Turki dianggap sebagai Khalifah (pemimpin Islam). Gerakan Pan-Islam ialah gerakan untuk menyatukan umat Islam di dunia di bawah Empayar Turki atau Empayar Uthmaniyah. Gerakan Pan-Islam mahu menentang penjajahan Barat dan menghapuskan kepercayaan kuno yang bertentangan dengan ajaran Islam. Empayar Turki ditubuhkan oleh Usman pada tahun 1300. Ulama Syeikh Haji Wan Ahmad dari Pattani ingin menyatukan Kelantan dan Pattani. Beliau ingin menentang Siam dan menubuhkan Kerajaan Islam di bawah naungan Turki tetapi gagal. Pahang mendapatkan bantuan Turki (1890-an) untuk menghalau British tetapi gagal. Mehemet Kiamil Bey cuba mengembangkan pengaruh Pan-Islam di Johor tetapi gagal. Semasa Perang Dunia Pertama, Turki dan Jerman berpakat menentang kuasa Berikat. Umat Islam di Tanah Melayu sangat menghormati Empayar Turki dan segala perkembangan di Turki mempengaruhi mereka. Turki mengisytiharkan peperangan jihad terhadap kuasa Berikat (Amerika Syarikat, Britain dan Perancis). British cuba menyekat berita dari luar tetapi gagal. Masih ada berita yang sampai ke Tanah Melayu melalui suratkhabar dan surat peribadi pejuang-pejuang Pan-Islam. Pejuang Islam di Singapura, iaitu Kassim Ismail Mansur dan Nur Alam Syah mempengaruhi dasar India yang beragama Islam melancarkan dahagi. Askar-askar India diberikan keyakinan bahawa pakatan Jerman-Turki akan menang dalam Perang Dunia Pertama. Pada bulan Februari, askar India melancarkan dahagi di Singapura, tetapi dapat dihapuskan oleh askar British. Askar-askar India berjaya membunuh lebih 40 orang British dan hampir berjaya menakluki Singapura.
ü Gerakan Khilafat
Pakatan di antara Jerman-Turki tewas dalam Perang Dunia Pertama. British cuba menguasai Turki. Orang Islam di India membentuk Gerakan Khilafat untuk mengekalkan kuasa Turki dan sistem Khilafat. Gerakan Khilafat yang ditubuhkan di Singapura dikawal rapi oleh British.
ü Gerakan Turki Muda
Golongan Turki Muda yang dipimpin oleh Mustapha Kamal Attaturk bergerak untuk memodenkan Turki. Golongan Turki Muda menyebarkan semangat kebangsaan di Turki. Turki diisytiharkan sebagai Republik pada tahun 1923 dan sistem Khilafat dimansuhkan. Abdul Kadir Adabi mengecam gerakan Turki Muda kerana memasuhkan sistem Khilafat. Golongan Turki Muda dikatakan tidak mementingkan agama dan undang-undang Islam dalam perkembangannya. Abdul Kadir Adabi atau Abdul Kadir bin Ahmad adalah seorang penulis dari Kelantan. Akhbar Pengasoh, al-Ikhwan dan Saudara turut menyiarkan tentangan terhadap Turki Muda. Namun demikian, terdapat pandangan yang baik mengenai Turki Muda, iaitu mereka membangkitkan semangat kebangsaan di Turki, ekonomi Turki dikuasai semula oleh orang Turki dan bukan oleh orang Yahudi dan Kerajaan Turki memberikan peluang yang luas kepada rakyat untuk menguasai bidang ekonomi. Kegiatan Turki Muda memberikan perangsang kepada golongan Kaum Muda di Tanah Melayu untuk menentang penguasaan British. Kaum Muda di Tanah Melayu telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1938 untuk bergiat dalam politik.

Pengaruh dari Jepun

Sejak tahun 1868, Jepun muncul sebagai negara yang moden dan kuat. Pemimpin-pemimpin Meiji seperti Maharaja Mutsushito telah memodenkan negara Jepun. Jepun mengubahsuai teknologi Barat untuk kegunaannya. Jepun berjaya menewaskan negara China dalam Perang China-Jepun pada 1894-1895. Pada tahun 1905, Jepun menewaskan Rusia dalam Perang Rusia-Jepun. Kejayaan Jepun menjadikannya kuasa baru yang kuat di dunia. Kejayaan tersebut membuktikan bahawa orang Barat dapat ditewaskan oleh orang Asia. Kejayaan Jepun menjadi pendorong kepada penduduk Tanah Melayu untuk menentang penjajahan.

Pengaruh di Indonesia

ü Sarekat Islam
Sarekat Dagang Islam diasaskan oleh Raden Mas Tirtoadisoeryo pada tahun 1909. Nama Sarekat Dagang Islam ditukar kepada Sarekat Islam pada tahun 1912. Sarekat Islam ialah parti politik yang pertama di Indonesia. Pemimpin Sarekat Islam yang terkenal ialah Omar Said Tjokroaminoto dan Agus Salim. Agama Islam menjadi faktor utama menyatukan orang Islam di Indonesia supaya menentang penjajah Belanda. Cawangan Sarekat Islam di Johor ditubuhkan oleh Haji Ibrahim bin Sidin dari Singapura. Cawangan Sarekat Islam di Johor tidak mendapat sambutan yang memuaskan. Penentangan terhadap British di Terengganu (1928) dimulakan oleh Syarikatul Islam yang diketuai oleh Sayid Muhammad dari Johor. Pertubuhan sulit ini berpengaruh kuat di Beserah hingga ke Kemaman. Sayid Muhammad dipercayai ingin meluaskan cawangan Sarekat Islam di Terengganu. Pengaruh Sarekat Islam tersebar ke Tanah Melayu pada 1920-an melalui ceramah dan kelas agama oleh guru-guru agama dari Sumatera. Akhbar Sinaran Zaman dan Idaran Zaman yang diterbitkan oleh Syed Syeikh al-Hadi menceritakan perjuangan Sarekat Islam. Syed Syeikh al-Hadi mengambil Mohammad Yunus bin Abdul Hamid menjadi pengarang di akhbarnya. Mohammad Yunus adalah ahli Sarekat Islam dan penerbit akhbar Sinaran Zaman di Sumatera.
ü Parti Komunis Indonesia (PKI)
PKI diasaskan oleh Semaun, Tan Malaka dan Darsono pada tahun 1920. Kebanyakan orang Melayu tidak menyertai PKI kerana ajaran komunis yang bertentangan dengan agama Islam. Ahli-ahli PKI termasuk Tan Malaka cuba menyebarkan fahaman komunis di Singapura tetapi tidak berhasil. Tan Malaka berpendapat bahawa orang Melayu sukar dipengaruhi kerana mereka berfahaman konservatif. Sutan Jenin dari Sumatera dapat mengembangkan pengaruh Komunis di Tanah Melayu pada tahun 1930-an.
ü Parti Nasional Indonesia (PNI)
PNI diasaskan oleh Sukarno dan Sartono pada tahun 1927. Pemuda-pemuda Indonesia memperjuangkan kebebasan mereka melalui tulisan, pergerakan sosial dan kebudayaan. Pelajar MPSI dipengaruhi oleh perjuangan PNI yang mengamalkan dasar tidak bekerjasama dengan penjajah. Dasar tidak bekerjasama ini telah diamalkan oleh pejuang nasionalis di India yang diketuai oleh Mahatma Gandhi. PNI mengamalkan ideology yang menganjurkan revolusi untuk menggulingkan kerajaan Belanda. Pengaruh dari luar yang tersebar melalui majalah dan akhbar dapat membangkitkan semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu. Mereka berjuang untuk memajukan bidang sosial, ekonomi dan politik orang Melayu. Penduduk Tanah Melayu menguatkan semangat dan bersatu padu untuk melepaskan diri daripada kuasa penjajah.

Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...