cikgu YaTie
Pengenalan
Adat secara umumnya merupakan kebiasaan yang diamalkan oleh satu-satu masyarakat dan sesiapa yang keluar daripada norma tersebut akan dianggap sebagai melanggar adat. Kebanyakan aspek peradatan ini adalh diwarisi secara turun-temurun. Di Tanah Melayu, sebenarnya tidak banyak bezanya. Apa yang jelas dilihat hanya dua sistem iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Selain itu, terdapat juga adat-adat khusus lain seperti adat perkahwinan, adat pertabalan raja, adat bersalin dan sebagainya.

Adat Perpatih
1. Latar belakang
Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau. Adat Perpatih dibawa oleh orang Minangkabau dari Tanah Tinggi Padang, Sumatera ke Negeri Sembilan pada abad ke-17. Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang dari Sumatera dengan nyanyian “Asal Usul Adat Perpatih”. Semua undang-undang Adat Perpatih kecuali undang-undang Sungai Ujong diwarisi secara turun-temurun.
2. Ciri-ciri
a. Lebih mengutamakan golongan perempuan
Adat Perpatih lebih mengutamakan golongan perempuan. Hal ini dapat dilihat dalam soal-soal pembahagian harta benda dan jurai keturunan. Ini bukan bermakna lelaki lebih rendah tarafnya daripada perempuan tetapi mereka lebih suka mengembara atau merantau untuk mencari penghidupan baru yang lebih baik. Maka, golongan wanita mesti dibekalkan dengan harta benda sebagai nafkah. Selain itu, selepas berkahwin, orang lelaki mesti meninggalkan kaumnya dan mengikut kaum isterinya. Walaupun adat ini mengutamakan golongan perempuan, tetapi dari segi pentadbiran, lelaki merupakan pemegang tampuk pemerintah tertinggi seperti jawatan Yamtuan Besar.
b. Undang-undang bersifat pemulihan
Undang-undang tidak disimpan atau dimaktubkan dalam bentuk rekod bertulis tetapi berbentuk bidalan, peribahasa, pantun dan sebagainya. Dari segi sifatnya, undang-undang jenayah adalah lebihbertimbang rasa, berperikemanusiaan dan bersifat pemulihan. Seorang yang membuat kesalahan akan didenda mengikut kesalahannya. Mangsa akan diberi ganti rugi. Contohnya, jika seseorang itu dilukakan dia akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada besarnya luka itu. Adat ini percaya bahawa orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai mereka.
c. Mempunyai unsur-unsur demokrasi
Adat Perpatih adalah bercorak demokrasi, iaitu orang ramai dilindungi oleh undang-undang dan pemerintah sendiri juga mesti mengikut undang-undang dan tidak boleh berbuat sesuka hati. Dalam bidang pentadbiran, kuasa pemerintah dibahagikan di antara pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Ini bermaksud, orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan Besar.

Adat Temenggung
1. Latar belakang
Adat Temenggung diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung disusun oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu abang tiri Datuk Perpatih Nan Sebatang di Palembang. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15. Dari Melaka, Adat Temenggung disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan perkembangan Empayar Melaka.
2. Ciri-ciri
a. Lebih mementingkan lelaki
Adat Temenggung mengiktirafkan lelaki menjadi ketua keluarga. Maka, adat ini dikatakan lebih mementingkan pihak lelaki. Dalam hal perwarisan harta, lelaki yang mewarisi harta iaitu dari ayah kepada anak lelaki. Adat Temenggung juga mengkehendaki seseorang isteri tinggal bersama dengan keluarga suaminya. Selain itu, Adat Temenggung menganggap kedua-dua pihak keluarga sama penting. Perkahwinan di antara dua orang sepupu dibenarkan asalkan kedua-dua orang tua tidak mempunyai pertalian darah.
b. Undang-undang bersifat kekerasan
Sama seperti Adat Perpatih, undang-undang Adat Temenggung berbentuk peribahasa, bidalan dan sebagainya. Tetapi undang-undangnya bersifat kekerasan. Setiap orang yang melakukan kesalahan, dia akan di hokum dengan hukuman berat. Sebagai contoh, seseorang yang membunuh akan dijatuhkan hukuman mati. Mereka percaya bahawa hanya menggunakan kekerasan sahaja dapat mengurangkan niat seseorang untuk melakukan kesalahan.
c. Mempunyai unsur autokratik
Adat Temenggung mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Ia bukan sahaja memberi kuasa kepada pemerintah tetapi juga kepada para pembesar. Oleh itu, golongan pemerintah mempunyai kuasa berlebihan. Dengan itu, adat ini dikatakan bersifat autokrasi dimana semua kuasa adalah terletak dalam tangan pemerintah dan pembesar.

Adat lain/khusus
1. Adat melenggan perut
Adat ini dilakukan oleh seseorang ibu yang sedang mengandung dan biasanya dibantu oleh mereka yang mahir dalam perbidanan. Adat ini bertujuan untuk membuang bencana yang mungkin menimpa ibu yang bakal melahirkan anak.
2. Adat mengadap raja
Seseorang yang diperkenan mengadap raja harus membuat persiapan-persiapan tertentu termasuklah peraturan pakaian, cara duduk dan sebagainya. Selain itu, bahasa yang digunakan sewaktu bertutur dengan raja adalah berbeza dengan bahasa yang dituturkan semasa bercakap dengan orang kebanyakan. Seseorang itu haruslah berpakaian tertib dan sopan dengan bertanjak, berpancung dan berkeris di hadapan.
3. Adat menjunjung duli
Adat menjunjung duli dilaksanakan oleh pembesar untuk menunjukkan kedaulatan sultan dan taat setia pembesar terhadap sultan. Semasa upacara dijalankan, terdapat paluan nobat dan bedilan meriam. Antara lagu nobat yang dimain ialah Raja Berangkat, Nobat Talal dan Nobat Raja.
4. Adat berserumah tangga
Adat ini menyentuh tentang kelakuan kanak-kanak di rumah. Sebagai seorang anak, ia dikehendaki sentiasa menghormati ibu bapa mereka dan bersopan-santun apabila bercakap dengan orang tua. Kita juga harus berbaik-baik dengan jiran kita dan melayan tetamu dengan baik-baik.
5. Adat kampung
Adat ini menentukan tingkah laku seseorang dalam masyarakat dan kampung. Kita haruslah mengadakan hubungan baik dengan penghulu dan sering melawatnya. Kita haruslah mengamalkan semangat bergotong-royong agar perpaduan dapat dicapai.

Hukum Adat di Sabah dan Sarawak
1. Di Sarawak, masyarakat di situ mengamalkan
a. Adat Dusun Tunggu
b. Undang-undang Mahkamah Melayu
Undang-undang Mahkamah Melayu merupakan campuran adat Melayu dengan undang-undang Islam. Ia mempunyai 3 orang hakim iaitu Pengeran Temenggung (wakil Sultan Brunei) dan 2 orang ketua yang mewakili suku-suku yang terlibat. Di peringkat kampung, ia diketuai oleh ketua kampung.
2. Di Sabah, masyarakat di situ mengamalkan
a. Adat Dusun
b. Adat Timogun
c. Adat Tenom
Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...