Sistem Tanaman Paksa atau Sistem Kultur mula dilaksanakan di Jawa pada tahun 1830 oleh Van de Bosch. Beliau merupakan seorang ahli sosioekonomi yang telah berjaya dalam rancangan untuk membantu petani-petani miskin di Belanda. Van de Bosch telah diarahkan oleh Raja Belanda untuk merangka satu rancangan bagaimana Indonesia dapat digunakan untuk membantu ekonomi Belanda. Beliau mengemukakan rancangannya pada tahun 1828 yang dikenali sebagai Sistem Kultur. Bagi memudahkan pelaksanaannya, Van de Bosch telah dilantik sebagai Gabenor Jeneral Jawa pada Januari 1830. Sistem Kultur mempunyai kesamaan dengan Sistem Tanaman Paksa yang dilaksanakan oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada abad ke-18. J.M. Kahim dalam bukunya “Nationalism And Revolution in Indoensia” menegaskan secara menyeluruh, Sistem Kultur dilaksanakan sehingga 1877 dan dihapuskan sama sekali pada tahun 1915.
Sebab-sebabSistem Kultur dilaksanakan dengan tujuan untuk mengatasi masalah ekonomi Belanda yang hampir muflis kerana beberapa sebab:
1. Perang Napoleon
Penglibatan Belanda dalam Perang Napoleon 1795-1815 telah membebankan ekonomi Belanda. Kerajaan Belanda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi menghadapi serangan Perancis. Bila Belanda dikuasai oleh Perancis pada tahun 1795, segala hasil Belanda telah dibolot oleh Perancis. Semasa Perang Napoleon juga, Belanda kehilangan hasil tanah jajahannya yang terpaksa diserahkan kepada British mengikut Surat Kew 1795. Hutang Belanda yang berjumlah 600 juta guilders pada tahun 1815 telah meningkat 900 juta guilders pada tahun 1830. Faedah tahunan ke atas hutang tersebut yang berjumlah 15 juta guilders pada tahun 1815 telah meningkat 25 juta guilders pada tahun 1830.
2. Perang Jawa
Penglibatan Belanda dalam Perang Jawa 1825-1830 membebankan lagi ekonomi Belanda. Peperangan tersebut telah menelan perbelanjaan antara 20-25 juta guilders yang sebahagian besarnya dibiayai oleh pinjaman.
3. Pemberontakan Belgium
Kesatuan Netherlands yang menggabungkan Holand dan Belgium telah hancur akibat pemberontakan Belgium sejak tahun 1830. Belanda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi menghadapi pemberontakan tersebut. Kemerdekaan Belgium pada tahun 1839 telah menyebabkan Belanda kehilangan hasil penting dari Belgium.
4. Kemelesetan ekonomi
Kemelesetan ekonomi 1820-an telah membebankan ekonomi Belanda. Kejatuhan harga kopi pada tahun 1822 menjejaskan pendapatan Belanda yang banyak bergantung kepada hasil kopi dari Jawa.
5. Singapura
Pendudukan British di Singapura sejak tahun 1819 telah menjejaskan ekonomi Belanda kerana Singapura menjadi saingan Betawi. Taraf pelabuhan bebas dan dasar perdagangan bebas yang diamalkan British dapat menarik pedagang-pedagang dari Betawi ke Singapura.
6. Kegagalan rancangan ekonomi
Kegagalan rancangan ekonomi di Jawa telah menjejaskan ekonomi mereka. Kegagalan rancangan ekonomi Van der Capellen telah membangkitkan penentangan rakyat Jawa sehingga meletusnya Perang Jawa 1825-1830.
7. Perjanjian British-Belanda 1824
Perjanjian British-Belanda 1824, sedikit sebanyak telah menjejaskan ekonomi Belanda. Pertukaran Melaka dengan Bengkulan merugikan Belanda kerana Bengkulan terkeluar dari jalan perdagangan Timur-Barat. Mengikut perjanjian tersebut juga, Belanda terpaksa menjelaskan semua hutangnya kepada British.
8. VOC
VOC menjadi muflis dan terpaksa dibubarkan pada tahun 1799. Pembubaran VOC membebankan ekonomi Kerajaan Belanda yang terpaksa menanggung hutang VOC sebanyak 144 juta guilders.
9. Pemberontakan lain
Pemberontakan-pemberontakan lain yang berlaku di Hindia Timur juga menjejaskan ekonomi Belanda. Belanda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bagi menghapuskan pemberontakan-pemberontakan tersebut. Antaranya ialah Pemberontakan Ambun dan Pemberontakan Sumatera.
10. Pedagang Bugis dan Cina
Dasar liberal Stamford Raffles semasa mentadbir Jawa 1811-1816 telah menyebabkan orang-orang Bugis dan Cina muncul sebagai pedagang-pdagang penting di Hindia Timur. Apabila Belanda kembali memerintah Jawa sejak tahun 1816, mereka terpaksa menghadapi saingan pedagang-pedagang Bugis dan Cina.
Ciri-ciri Sistem Kultur
1. Petani-petani dkehendaki memperuntukkan 1/5 daripada tanah mereka untuk tanaman eksport yang ditetapkan oleh kerajaan seperti tebu, kopi, tembakau, cengkih, kayu manis, teh, kina, nila dan sebagainya.
2. Tanah yang diperuntukkan untuk tanaman eksport dikecualikan dari cukai.
3. Sekiranya tanaman eksport musnah disebabkan oleh bencana alam seperti banjir dan kemarau dan bukannya kecuaian petani, maka kerugiannya akan ditanggung kerajaan.
4. Tanaman padi mesti diutamakan. Petani-petani akan mengerjakan tanaman eksport selepas selesai mengerjakan tanaman padi.
5. Masa yang ditetapkan untuk tanaman eksport ialah 66 hari setahun.
6. Petani-petani akan bekerja di arah arahan pembesar-pembesar tempatan yang diawasi oleh penyelia-penyelia Belanda. Pembesar dan penyelia Belanda akan dibayar komisen berdasarkan sistem peratus daripada hasil pengeluaran kawasan masing-masing.
7. Pengkhususan kerja akan dilaksanakan di mana petani-petani ditetapkan sama ada untuk membajak, menanam, menjaga tanaman, menuai, memungut hasil dan sebagainya.
8. Tugas mengeksport hasil pertanian menjadi tanggungjawab Belanda. Syarikat perkapalan Belanda yang ditubuhkan pada tahun 1824 diberi monopoli untuk membeli, mengangkut dan menjual hasil pertanian Jawa di pasaran Eropah.
9. Semua hasil tanaman eksport akan dihantar ke pusat pengumpul. Sekiranya ditafsirkan lebih, maka lebihan hasil akan dipulangkan kepada petani.
10. Petani-petani yang tidak mempunyai tanah dikehendaki bekerja untuk tanaman eksport 66 hari setahun.
11. Sebuah badan pelindung akan ditubuhkan untuk menjaga kebajikan petani-petani di Jawa.12. Dari segi teorinya, semua pihak, iaitu Kerajaan Belanda dan petani Jawa akan menikmati faedah dari sistem perlaksanaan Kultur.
Kesan-kesan
1. Ekonomi.
A.Menguntungkan Belanda
Sistem Kultur menguntungkan Belanda dari segi ekonomi. Keuntungan tahunan dianggarkan 20 juta guilders. Antara tahun 1830-1877, Belanda memperolehi keuntungan 832.4 juta guilders. Keuntungan ini dapat digunakan oleh Belanda untuk mengatasi masalah ekonominya seperti menjelaskan hutang, menggantikan wang yang digunakan dalam Pemberontakan Belgium, membangunkan Belanda dengan membina jalan raya, jalan keretapi, membiayai pusat dan sebagainya. J.S. Fainival dalam bukunya “Netherlands India: A Study of Plural Economy” menegaskan Sistem Kultur sebagai “life belt which kept Netherlands of loat”.
B. Meruntuhkan sistem ekonomi sara diri
Sistem Kultur meruntuhkan sistem ekonomi sara diri. Belanda telah memperkenalkan tanaman jualan seperti tebu, kopi, tembakau, cengkih, kayu manis dan sebagainya. Akibat tumpuan yang lebih dalam tanaman eksport menyebabkan tanaman sara diri khususnya padi mengalami kemerosotan.
C. Kedudukan ekonomi rakyat Jawa
Perlaksanaan Sistem Kultur telah menyebabkan kedudukan ekonomi rakyat Jawa terutamanya di Jawa Tengah seperti Tegal, Cheribon dan Priangan mengalami kemerosotan akibat penyelewengan dalam perlaksanaan sistem tersebut sejak tahun 1836. Petani-petani telah dipaksa untuk bekerja lebih dari 66 hari setahun untuk tanaman eksport. Mengikut Van de Kolf, terdapat petani-petani yang dipaksa bekerja untuk tanaman eksport sehingga 240 hari setahun. Selain itu, petani-petani juga dipaksa memperuntukkan lebih 1/5 tanah mereka untuk tanaman eksport. Mengikut Van de Kolf, terdapat petani-petani yang dipaksa memperuntukkan ¼, 1/3, ½, ¾ dan sebagainya untuk tanaman eksport. Malah terdapat petani-petani di beberapa kawasan Jawa Tengah yang dipaksa memperuntukkan semua tanah mereka untuk tanaman eksport. Keadaan bertambah buruk kerana adanya komisen berdasar sistem peratus yang dibayar kepada pembesar dan penyewa Belanda. Hal ini menyebabkan pembesar dan penyelia Belanda memaksa petani-petani memperuntukkan lebih masa dan tanah bagi menanam tanaman eksport untuk menambahkan pengeluaran supaya mereka mendapat komisen yang lebih. Petani-petani juga dipaksa melakukan kerja-kerja lain seperti membina jalan raya, jambatan, terusan dan sebagainya. Pada tahun 1830-an, arahan telah dikeluarkan oleh Kerajaan Belanda supaya petani-petani Jawa menjual hasil tanaman mereka kepada Kerajaan Belanda dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran sebagai sumbangan kepada rakyat Jawa untuk membantu ekonomi Belanda. Sebagai contoh, pada tahun 1833, rakyat Jawa dipaksa menjual hasil kopi mereka kepada kerajaan dengan harga yang lebih rendah dari pasaran. Pelbagai penyelewengan telah berlaku dalam perlaksanaan Sistem Kultur. Tanah yang diperuntukkan untuk tanaman eksport juga dikenakan cukai. Pengkhususan kerja tidak dilaksanakan menyebabkan petani-petani terpaksa bekerja untuk tanaman eksport sepanjang tahun. Badan pelindung yang diharapkan dapat menjaga kebajikan petani tidak pernah ditubuhkan oleh Belanda. J.S. Farnival dalam bukunya “Netherlands India: A Study of Plural Economy” menegaskan Sistem Kultur tidak memberi peluang pada wujudnya kelas perdagangan tempatan. Fungsi ekonomi rakyat Jawa hanya sebagai buruh pertanian kepada Kerajaan Belanda. Mereka tidak mempunyai pengalaman perdagangan dan terputus dari pasaran antarabangsa.
D. Keuntungan terhad
Sistem Kultur memberi keuntungan terhad kepada Jawa. Sistem ini hanya menguntungkan petani-petani di Probolingo, Passoren dan daerah-daerah lain di Jawa Timur kerana di kawasan ini Sistem Kultur dilaksanakan sebagaimana yang dirancang oleh Van de Bosch. Pembesar-pembesar dan penyelia-penyelia Belanda di kawasan ini lebih mengutamakan kebajikan petani. Di kawasan ini, tanaman padi tidak diabaikan. Untuk memudahkan pengakutan hasil pertanian dan kawasan pengeluaran pelaburan, banyak jalan raya telah dibina di Jawa. Akibatnya, seluruh Jawa dapat dihubungi kerana adanya sistem jalan raya yang baik. Lebih banyak tanah dibuka untuk pertanian menyebabkan Jawa muncul sebagai negeri pertanian dan lebih maju daripada pulau-pulau luar. Dalam melaksanakan Sistem Kultur, Belanda telah mempelbagainya pertanian. Dalam jangka masa panjang, ianya memberi manfaat ekonomi yang berorientasikan pertanian eksport.
E. Sistem ekonomi bebas
Sistem Kultur meruntuhkan sistem ekonomi bebas kerana sistem ini merupakan monopoli kerajaan dalam kegiatan ekonomi di Jawa. Kapitalis-kapitalis tidak berpeluang untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Jawa.
F. Betawi
Perlaksanaan Sistem Kultur telah menyebabkan Betawi muncul sebagai pelabuhan penting pengeksport hasil pertanian Jawa.
G. Negeri Belanda
Negeri Belanda telah menjadi pasaran penting di Eropah yang menjual hasil pertanian Jawa.
H. Syarikat Perkapalan Belanda
Syarikat Perkapalan Belanda yang ditubuhkan pada tahun 1824 telah muncul sebagai syarikat perkapalan yang ke-3 terbesar di Eropah. Syarikat ini telah diberi monopoli untuk membeli, mengangkut dan menjual hasil pertanian Jawa di pasaran Eropah.
I. Jawa
Sistem Kultur hanya dilaksanakan di Jawa sedangkan pulau-pulau luar diabaikan. Selain itu, di bawah Sistem Kultur, kegiatan ekonomi hanya tertumpu dalam bidang pertanian sedangkan ekonomi lain tidak dijalankan.
2. Sosial.
A.Pertambahan penduduk
Perlaksanaan Sistem Kultur telah mengakibatkan berlakunya pertambaha penduduk di Jawa. Penduduk Jawa telah meningkat 50% semasa perlaksanaan Sistem Kultur pada tahun 1830-1877. Buktinya: penduduk Jawa yang berjumlah 6 juta pada tahun 1830 telah meningkat 9.5 juta pada tahun 1877. Pertambahan berlaku kerana wujudnya keamanan semasa perlaksanaan Sistem Kultur. Belanda telah mengambil langkah untuk menjamin wujudnya keamanan bagi menjayakan Sistem Kultur.
B. Kebuluran
Perlaksanaan Sistem Kultur telah mengakibatkan berlakunya kebuluran di Jawa Tengah, terutamanya di Tegal, Cheribon dan Priangan, pada tahun 1840-an, terutamanya antara 1843-1850. Kebuluran I berlaku di Cheribon pada tahun 1843. Kebuluran yang dashyat berlaku di Jawa Tengah pada tahun 1849-1850 di mana 300 ribu orang terkorban. Punca utama berlakunya kebuluran disebabkan kurangnya pengeluaran tanaman makanan iaitu padi akibat tumpuan yang lebih dalam tanaman eksport. Petani-petani telah dipaksa untuk memperuntukkan lebih masa dan tanah untuk tanaman eksport.
C. Merenggang hubungan petani-pembesar
Sistem Kultur merenggangkan hubungan antara petani dengan pembesar kerana pembesar telah bekerjasama dengan Belanda dalam menjayakan Sistem Kultur. Rakyat Jawa tidak lagi menganggap pembesar sebagai pelindung kerana mereka bersama-sama dengan Belanda telah menindas rakyat semasa perlaksanaan Sistem Kultur.
D. Mengukuhkan kuasa pembesar
Sistem Kultur telah mengukuhkan kuasa pembesar-pembesar kerana mereka diperlukan oleh Belanda bagi menjayakan Sistem Kultur. Untuk mendapat sokongan, mereka telah diberi geran tanah dan jawatan-jawatan mereka dijadikan turun-temurun. Malah mereka juga dianggap sebagai pemangku raja. Selain itu, pembesar-pembesar juga dibayar komisen dalam perlaksanaan Sistem Kultur.
E. Penghijrahan
C.L.M. Penders dalam bukunya “Indonesia: Selected Documents on Colonialism and Nationalism 1830-1942” menegaskan perlaksanaan Sistem Kultur telah mengakibatkan penghijrahan rakyat Jawa ke pulau-pulau luar. Rakyat Jawa berhijrah dengan tujuan untuk mengelakkan penindasan dan kerja paksa di bawah Sistem Kultur.
F. Sistem perhubungan
Semasa perlaksanaan Sistem Kultur, banyak jalan raya telah dibina di Jawa. Langkah tersebut sedikit sebanyak telah memberi kemudahan perhubungan kepada rakyat Jawa. Walau bagaimanapun, sistem perhubungan diwujudkan untuk kepentingan ekonomi khususnya untuk mengangkut hasil pertanian dari kawasan pengeluaran ke pelabuhan.
Kesimpulan
Sistem Kultur telah membawa pelbagai penderitaan kepada rakyat Jawa. Akibatnya, sistem ini bukan sahaja ditentang oleh rakyat Jawa tetapi juga orang-orang Belanda, terutamanya golongan liberal di negeri Belanda. Mereka mendakwa Sistem Kultur merupakan sistem pemerasan dan ½ perhambaan. Mereka mendesak Belanda melaksanakan dasar yang lebih bertanggungjawab yang dapat menjaga kebajikan rakyat Jawa. Penentangan terhadap Sistem Kultur semakin hebat selepas terbitnya novel “Max Havelaar” oleh Douwes Dehken dan risalah Regulation of Sugar Contracts in Java oleh Van de Dutte. Apabila Parti Liberal memerintah Belanda sejak tahun 1863, Dasar Liberal mula dilaksanakan di Hindia Timur bagi menggantikan Sistem Kultur.
Catat Ulasan