cikgu YaTie

Huraikan sistem ekonomi tradisional di India dan China sebelum
kedatangan kuasa Barat.


Pendahuluan (3/2m)

Sektor ekonomi merupakan salah satu faktor penting yang harus diberikan perhatian dalam melihat struktur masyarakat di Asia Selatan dan Asia Timur. Secara umumnya, masyarakat tempatan di India dan di China mengamalkan sistem ekonomi sara diri sebelum kedatangan kuasa Barat. Sistem ekonomi sara diri ini melibatkan kegiatan pertanian sebagai asas ekonomi di samping kegiatan-kegiatan lain seperti penangkapan ikan, pemungutan hasil-hasil hutan dan kegiatan perlombongan serta perdagangan secara kecil-kecilan.

Isi – (20m)

A. Sistem ekonomi tradisional di India (10m)

a) Pertanian sara diri merupakan aktiviti utama dalam sistem ekonomi sara diri di India sebelum kedatangan kuasa Barat. Aktiviti pertanian sara diri di India bersifat milik komunal atau bersama yang dilaksanakan oleh ahli keluarga. Tanah menjadi milik kerajaan tetapi rakyat dibenarkan untuk menjalankan aktiviti mereka dan bersedia untuk berkhidmat kepada pemerintah atau membayar cukai jika diperlukan.

b) Daya pengeluaran pertanian sara diri di India adalah rendah kerana penggunaan sistem tradisional dan kebergantungan petani kepada hujan turut menjejaskan hasilnya. Selain itu, masyarakat petani yang miskin turut mengalami penindasan daripada tuan-tuan tanah (zamindar) yang sering sahaja menekan para petani dengan kadar cukai yang sentiasa berubah. Di samping itu, institusi kasta yang menjadi teras dalam masyarakat India turut dilihat mengikat masyarakat yang menjalankan sistem ekonomi sara diri di India kerana mereka tetap hidup sebagai petani buat selama-lamanya.

c) Secara umumnya, dalam sistem ekonomi sara diri di India terdapat beberapa ciri yang nyata iaitu :

- Sistem ekonomi sara diri adalah berteraskan sektor pertanian. Malah melalui bancian pekerjaan pada tahun 1872, didapati bahawa 68.5% orang lelaki dewasa bekerja sebagai petani. Hal ini bermakna masyarakat petani merupakan kumpulan yang terbanyak dalam masyarakat di India.

- Perkampungan merupakan unit asas ekonomi dan sosial India, iaitu hampir 90% penduduk India tinggal di kawasan ini. Aktiviti pertanian masih lagi bersifat milik bersama sementara hak individu masih lagi asing kepada masyarakat luar bandar.

- Bidang pembuatan di kawasan kampung juga berkembang perlahan dan setiap kampung mempunyai kelas pertukangan mereka sendiri yang bertanggungjawab membuat peralatan pertukangan yang hanya digunakan di kampung tersebut sahaja.


d) Tumpuan utama aktiviti pertanian di India ialah kegiatan penanaman padi yang dijalankan secara meluas. Padi ditanam di kawasan lembah-lembah sungai seperti lembah Sungai Ganges, Sungai Indus dan Sungai Mahanadi. Selain itu, aktiviti ini juga bergantung sepenuhnya kepada hujan. Wilayah Bengal atau Benggala di timur India merupakan kawasan penanaman padi utama. Di samping penanaman padi, penanaman kapas juga merupakan aktiviti penting yang dijalankan oleh petani-petani di India. Kapas menjadi sumber asas terpenting untuk pembuatan kain-kain kapas di India sejak beberapa abad yang lalu. Pedagang India telah menjadikan kain kapas sebagai hasil dagangan mereka dan diperdagangkan hingga ke Asia Tenggara.

e) Terdapat dua jenis kain kapas yang penting di bahagian utara India, iaitu kain calico dan muslin yang dihasilkan di Dacca, Lucknow, Patna dan Mitnapore. Di bahagian barat laut India terdapat kain kapas jenis bafta, muslin, dhoti dan chintz yang dikeluarkan di Surat, Cambay, Ahmadebad dan Poona.

f) Aktiviti penternakan terutama penternakan lembu turut menjadi aktiviti sampingan kepada petani. Binatang ternakan selalunya dibiarkan berkeliaran untuk meragut rumput di sekeliling perkampungan mereka.

B. Sistem ekonomi tradisional di China (10m)

a) Di China aktiviti sara diri turut menjadi sektor ekonomi yang penting sebelum kedatangan kuasa Barat terutama di kawasan yang mempunyai tahap kesuburan tanah yang tinggi seperti di lembah-lembah sungai.

b) Kekerapan berlakunya banjir bukan sahaja membawa kemusnahan kepada masyarakat China malah sebenarnya turut membawa faedah yang besar. Tanah lumpur tinggalan banjir yang telah surut sebenarnya menjadi kawasan lembah sungai sebagai kawasan yang sangat subur. Kesuburan ini membolehkan pelbagai jenis tanaman dapat ditanam dan menjadi sumber utama kepada petani-petani China.

c) Secara umumnya, pada abad ke-19, 80% penduduk Negara China merupakan petani dan sebahagian daripada mereka menjalankan aktiviti pertanian yang bersifat sara diri. Hal ini bermakna bahawa hasil daripada aktiviti pertanian sebenarnya hanyalah sekadar ‘cukup hidup’ sahaja. Bencana alam seperti banjir dan kemarau menjadi musuh utama kepada petani di China kerana akan memusnahkan tanaman mereka.

d) Padi merupakan tanaman sara diri utama di China di sekitar lembah Sungai Yang-tze dan Sungai Hwang-ho terutama di selatan dan tenggara China. Di kawasan Szechwan terdapat tanaman padi yang dijalankan pada musim sejuk dan juga padi huma di bahagian utara China. Selain daripada tanaman padi penanaman sekoi dan kacang soya yang disifatkan sebagai tanaman kering turut dijalankan di bahagian utara dan timur laut China. Seterusnya tanaman gandum dan millet juga diusahakan oleh petani-petani di bahagian tengah Negara China manakala tanaman rumput dijalankan di bahagian sempadan Mongolia yang dikenali sebagai padang rumput Mongolia.

e) Selain itu, masyarakat China juga banyak menanam sayur hingga melahirkan idea ‘vegetable civilization’, iaitu semua tanah kosong termasuklah di halaman atau di belakang rumah dijadikan kawasan menanam sayur seperti kailan, sawi dan kacang panjang. Di samping kegiatan pertanian, kegiatan penternakan juga dijalankan di China. Antara binatang ternakan yang penting termasuklah ayam, itik dan khinzir yang menjadi makanan penting masyarakat di China.

Kesimpulan (2/3m)

Kedatangan kuasa Barat ke Asia Selatan dan ke Asia Timur telah membawa perubahan yang besar dalam sistem ekonomi di India dan di China terutama pada abad ke-20. Sistem ekonomi tradisional yang menjadi amalan masyarakat sebelum ini telah bertukar kepada sistem ekonomi komersial yang telah diperkenalkan oleh kuasa-kuasa Barat yang bertapak di India dan di China. Meskipun sektor pertanian masih dijalankan, tetapi sistem ekonominya telah berubah kepada sistem ekonomi pertanian secara komersial.

Labels: | edit post
Reactions: 
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...