cikgu YaTie
jangan lupa pada peranan golongan sekular di negara lain.....
Bincangkan peranan golongan berpendidikan Barat dalam gerakan nasionalisme di Vietnam dan Thailand pada awal abad ke-20

Pendahuluan (3/2m)

Semangat Kebangsaan atau nasionalisme dalam kalangan masyarakat Vietnam lahir apabila Vietnam jatuh ke tangan Perancis dan Maharaja Vietnam dijadikan boneka. Pihak Perancis juga mengetepikan sistem pemerintahan tradisional Vietnam dan berlaku penyingkiran anak-anak tempatan dalam anggota perkhidmatan awam. Nilai-nilai Barat diterap dalam kehidupan masyarakat termasuk sistem pendidikan. Oleh itu, lahir golongan berpendidikan Barat yang menjadi kelas menengah dalam hierarki masyarakat Vietnam ketika itu. Golongan ini terpengaruh dengan tulisan Montesquieu, Voltaire dan Rousseau yang memperjuangkan aliran liberalisme. Kejayaan Revolusi China 1911, menambah azam mereka untuk menurut jejak langkah menyingkirkan penjajah. Di Thailand pula, gerakan nasionalisme bukan bersifat menentang penjajah sebagaimana di Vietnam. Aliran nasionalisme di sini lebih bersifat anti-monarki, anti-Cina dan nasionalisme ekonomi serta kebudayaan. Kebangkitan nasionalisme di Thailand berakar umbi sejak zaman permodenan Thai pada zaman Chulalongkorn mencapai kemuncak apabila berlaku Revolusi Thai 1932.

Isi – (20m)

A. Peranan Golongan berpendidikan Barat di Vietnam Awal Abad ke-20 (10m)

a) Menjelang tahun 1900 perjuangan nasionalisme di Vietnam memasuki fasa kedua. Selepas kegagalan golongan Mandarin atau cendekiawan mengembalikan kedaulatan Vietnam , di bawah pimpinan Raja Muda Ton That Thuyet dan beberapa pemimpin lain seperti Raja Ham Nghi dan Pham Ding Phung.. Perjuangan mereka dikenali sebagai ‘ Can Voung’ yang bermatlamat mengembalikan maruah, kedudukan dan hak raja. Kegagalan ini telah melemahkan pengaruh sekolah aliran Confucius. Mulai saat itu, pengaruh sekolah-sekolah Perancis mulai meningkat. Golongan berpendidikan Barat ini sedar akan nilai-nilai Barat, kebebasan dan pemerintahan sendiri. Mereka berpendapat bahawa menyingkirkan penjajah Perancis akan membolehkan rakyat bebas daripada kesengsaraan.

b) Beberapa orang tokoh muncul dan berperanan besar dalam gerakan nasionalisme di Vietnam, seperti Phan Boi Chau dan Pan Chau Trinh. Kedua-duanya mempelopori aliran perjuangan yang berbeza. Pan Boi Chau memperjuangkan aliran Revolusioner , manakala Pan Chau Trinh mempelopori aliran perjuangan aliran Liberalisme Perancis.

c) Peranan Pan Boi Chau amat besar dalam perjuangan nasionalisme di Vietnam. Beliau masih lagi berjuang untuk mengembalikan kuasa monarki ‘Can Voung’ tetapi bukan monarki yang bersifat tradisional. Sebaliknya beliau menginginkan sistem monarki yang telah dimodenkan sebagaimana di Jepun. Selain itu, beliau juga mengutamakan perjuangan bercirikan golongan menengah atau ‘borjuis’ kerana terpengaruh dengan idea pembaharuan yang dilakukan oleh Kang Yu Wei, iaitu seorang reformis negara China yang muncul pada tahun 1890-an. Golongan ini termasuk Pan Boi Chau sendiri mengetepikan pengaruh Confucius, yang sebelum ini begitu diagungkan oleh golongan Mandarin. Pan Boi Chau beranggapan doktrin Confucius sebagai sempit.

d) Pan Boi Chau menggunakan beberapa cara untuk menentang Perancis. Antaranya melalui tulisan yang menggambarkan kedudukan politik Vietnam. Antara tulisannya, ialah ‘ Vietnam Vong Quoc Su’ (Sejarah Jatuhnya Vietnam) dan ‘ Hau Cau Huyet Le Tan Thu’ ( Buku Seberang Laut Ditulis dengan Darah). Selain menulis beliau juga meminta bantuan China, Jepun dan Filpina untuk menghalau Perancis daripada Vietnam.

e) Kebangkitan Pan Boi Chau amat menggusarkan penjajah Perancis sehingga Pan Boi Chau sendiri terpaksa melarikan diri ke China akibat tekanan yang diterima daripada pihak Perancis. Semasa di China beliau telah menyusun semula gerakan dengan mengambil contoh daripada gerakan Boxer (1900). Semasa di China beliau juga mendalami idea-idea Liberal Demokrasi Barat seperti Voltaire dan Rousseau. Apabila berlaku Perang Rusia-Jepun 1905, beliau menyeludup masuk ke Vietnam untuk meneruskan penentangan.

f) Pan Boi Chau kemudian melarikan diri ke Jepun dan di sana beliau menubuhkan ‘Pan Nam Duy Tan Hoi’ (Persatuan Bagi Memodenkan Vietnam). Kegiatannya turut dibantu oleh kongsi gelap dan aktif di Tonkin. Matlamat pertubuhan ini ialah membebaskan Vietnam daripada penjajahan Perancis dan mengembalikan semula takhta kerajaan Vietnam. Persatuan ini menyelitkan pendidikan moden kepada rakyat dan menyeru mereka meninggalkan amalan tradisional seperti berambut panjang dalam kalangan laki-laki. Gerakan ini dinamakan ‘Pemotong Rambut’ atau Hair Cutter.

g) Seorang lagi pemimpin berpendidikan Barat yang terkenal ialah Pan Chu Trinh. Aliran perjuangan beliau agak berbeza jika dibandingkan dengan Pan Boi Chau. Beliau mahu bekerjasama dengan Perancis untuk memajukan Vietnam. Beliau menolak pemerintahan beraja dan menerima pemerintahan bercorak demokrasi.Walaubagaimanapun, perjuanganya lebih lembut berasaskan liberalisme Perancis. Perjuangan beliau lebih ke arah tuntutan sosio- ekonomi Vietnam yang dianggap masih belum memuaskan. Pan Chu Trinh menuntut pengurangan cukai dan menentang dasar cukai kerajaan.

h) Pada tahun 1908 berlaku krisis politik di Vietnam apabila Perancis melantik Duy Tan yang baru berusia 8 tahun dan menurunkan takhta Raja Thanh Tai . Berikutan itu berlaku penentangan dalam kalangan petani yang dipimpin oleh golongan cendekiawan seperti di Hanoi dan Annam. Tambahan pula pada tahun yang sama berlaku masalah petani di Annam. Mereka menuntut pengurangan cukai dan dasar kerja kerah di lombong arang batu. Selain itu, mereka menentang amalan rasuah pegawai-pegawai kerajaan. Pihak Perancis mengambil tindakan dengan menangkap para pemimpin, termasuk Pan Chu Trinh dan dibuang negeri.


i) Pihak Perancis cuba membetulkan sosio-ekonomi Vietnam selepas itu, iaitu dengan dengan melaksanakan dasar asimilasi di bawah Albert Sarraut. Dasar ini membenarkan kemasukan lebih ramai orang Vietnam ke dalam pentadbiran dan menambah perwakilan dalam Majlis Kolonial. Namun, tindakan ini tidak cukup untuk memuaskan hati orang Vietnam kerana tidak memenuhi harapan mereka.Pada tahun 1913 dengan bantuan kongsi gelap pemimpin reformis meletupkan kawasan hartawan Perancis di Saigon. Pada tahun 1916 mereka mendesak Raja Duy Tan mengetuai rancangan menyingkirkan Perancis, tetapi gagal kerana Perancis melantik Maharaja Khai Dinh menggantikannya. Akhirnya pada tahun 1917 pemberontakan yang dilakukan oleh Pan Boi Chau gagal dan berakhir apabila beliau ditangkap oleh Perancis pada tahun 1925.

j) Dalam tahun-tahun selepas Perang Dunia Pertama gerakan nasionalisme di Vietnam memperlihatkan corak sederhana, iaitu bekerjasama dengan Perancis untuk mencapai kerajaan sendiri. Pada tahun 1923 golongan nasionalis sederhana lain, daripada golongan intelek,pegawai kerajaan dan tuan-tuan tanah telah menubuhkan Parti Perlembagaan. Ia diketuai oleh Bui Quang Chien, sementara pemimpin lain seperti Doung Van Giao dan Nguyen Phan Long. Parti ini menuntut satu perlembagaan Vietnam dan perwakilan Vietnam yang lebih besar dalam Majlis Kolonial. Mereka juga menuntut hak menubuhkan kesatuan dan kebebasan akhbar. Namun demikian, parti ini tidak mendapat sambutan rakyat Vietnam. Ia kemudian bergabung dengan badan-badan lain untuk mewujudkan Parti Rakyat Progresif Vietnam pada tahun 1926, tetapi menemui kegagalan kerana tidak diiktiraf oleh Perancis.

k) Pada tahun 1925 hingga tahun 1930-an gerakan nasionalisme Vietnam yang dipimpin oleh golongan berpendidikan Barat kembali bersifat radikal. Nyuyen Thai Hoc seorang cendekiawan menubuhkan Parti Nasional Vietnam atau Vietnam Quoc Dan Dang (VNQDD). Sebahagian besar ahli gerakan ini terdiri daripada wartawan guru, askar dan pegawai-pegawai rendah. Parti ini memperjuangkan kemerdekaan daripada Perancis melalui kekuatan tentera dan kemudian mewujudkan negara Vietnam yang bersifat Republik Demokratik. Pada tahun 1930 VNQDD menentang Perancis secara terbuka dan kekerasan. Pemberontakan ini dikenali sebagai Yen Bay. Ia berlaku kerana eksploitasi ekonomi dan dasar monopoli Perancis dalam perdagangan candu, garam dan arak. Kemelesetan ekonomi dunia menambah kemarahan rakyat. Pemberontakan ini berjaya dipatahkan dan Nguyen Tai Hoc ditangkap dan dihukum mati.

l) Kejatuhan Parti VNQDD telah membuka peluang kepada kemunculan komunis mengetuai gerakan nasionalisme. Beberapa orang pemimpinnya yang terkenal pernah mendapat pendedahan di Eropah, seperti Ho Chi Minh atau Nguyen Ai Quoc, yang pernah bekerja dan mendalami fahaman sosialis dan komunis di London dan Paris. Beliau juga mampu menguasai bahasa Inggeris dan Perancis serta beberapa bahasa Eropah yang lain. Pemimpin lain ialah Tran Van Giau dan Ta Thu Thau, yang menuntut di Universiti Moscow dan Universiti di Perancis.




m) Perjuangan mereka ialah untuk menubuhkan sebuah kerajaan Demokratik pada peringkat awal tetapi berhasrat untuk mendirikan kerajaan komunis kemudian. Melalui tulisannya “ La Proces de la Colonization’ Ho Chi Minh menterjemahkan ideanya. Kegagalan VNQDD dan kemelesetan ekonomi dunia memberi peluang kepada golongan komunis untuk memenangi hati kaum petani. Akhirnya tunjuk perasaan dan pemogokan secara besar-besaran di ladang-ladang dan di kilang-kilang yang dilakukan oleh para petani hasil perancangan komunis. Pihak Perancis telah mengambil tindakan tegas dengan menangkap pemimpin-pemimpin komunis dan dihukum mati. Ho Chi Minh sempat melarikan diri ke Hong Kong. Malangnya beliau berjaya ditangkap dan dibebaskan beberapa kali oleh pihak berkuasa British di Hong Kong 1931 dan Parti Koumintang di China pada tahun 1940.


B. Peranan Golongan Berpendidikan Barat di Thailand awal Abad ke-20 (10m)

a) Pada abad ke-20 di Eropah telah berlaku perubahan yang pesat dalam perkara menuntut kebebasan dan hak yang sama. Unsur-unsur ini menyerap masuk ke Thai melalui dua cara. Pertama, melalui orang-orang Barat yang masuk ke Thai kerana hubungannya yang luas dengan negara ini. Kedua, melalui pelajar-pelajar Thai yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Raja Mongkut dan Chulalongkorn telahpun memulakan perubahan pendidikan. Ramai golongan bangsawan dihantar ke luar negara dan raja Vajiravuth pula tidak saja menghantar golongan bangsawan malahan rakyat biasa juga. Hasilnya, lahir tokoh-tokoh dalam kalangan bangsawan seperti Putera Damrong, Putera Devawongse,Putera Rabi,dan Putera Bowaradej . Dalam kalangan rakyat pula muncul tokoh-tokoh seperti Nai Pridi Phanomyong, Luang Phibul Songgram, Kuang Apaiwong, Pya Bahol dan Pya Manopakorn.

b) Oleh itu, wujud golongan elit yang mengkaji dan memahami beberapa idea politik seperti fahaman demokrasi, kerajaan berparlimen dan hak kebebasan. Kefahaman terhadap idea demokrasi ini menyebabkan mereka berpendapat pemerintahan beraja mutlak telah menjadi penghalang kepada pembentukan negara Thai moden. Golongan berpendidkan di Thai memperjuangkan gerakan nasionalisme dengan menyebarkan fahaman anti-pemerintahan beraja yang berkuasa mutlak, membebaskan ekonomi negara daripada dimonopoli oleh orang Cina, kapitalis Barat dan golongan bangsawan serta kaum kerabat raja.

c) Peranan golongan ini dalam gerakan nasionalisme di Thai mula jelas pada zaman Raja Prajadhipok. Tindakan baginda yang awal ialah memecat pegawai-pegawai yang dipilih atas dasar pilih kasih semasa pemerintahan Vajiravudh. Kemelesetan ekonomi dunia ( 1929-1932) menyebabkan raja mengambil langkah berjimat cermat dengan memotong gaji, penyekatan kenaikan pangkat dan memperkenalkan cukai baru. Tambahan pula baginda memperkukuhkan kedudukan golongan diraja dengan melantik mereka dalam pentadbiran sebagaimana yang berlaku pada zaman Chulalongkorn. Golongan Menengah ( Khunnang), berasa mereka kehilangan banyak kuasa dan kerugian dengan dasar yang dilaksanakan oleh raja.

d) Pada Oktober 1931, berlaku pertikaian antara Menteri Pertahanan,iaitu Putera Bowaradej dengan Menteri Perdagangan, Putera Purachtra mengenai masalah ekonomi. Krisis ini menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan. Oleh itu, pada 24 Jun 1932 berlaku peristiwa rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah. Tokoh –tokoh yang merancang rampasan kuasa ini ialah Nai Pridi Phanomyong, Pya Manopakorn, Pibul Songgram dan Pya Bahol. Mereka telah membentuk Parti Rakyat yang mengecam keborosan raja, ketidakcekapan dalam pentadbiran kemelaratan rakyat dan masalah pengangguran.

e) Revolusi 1932 ini dkenali juga sebagai revolusi kelas menengah, kerana dia dipimpin oleh dua kumpulan yang berpendidikan Barat. Kumpulan Tua di pimpin oleh Pya Manopakorn dan Pya Bahol yang mendapat pendidikan di Jerman dan Perancis. Manakala Kumpulan Muda dipimpin oleh golongan awam terutamanya bekas pelajar Barat termasuk pegawai-pegawai muda tentera seperti Nai Pridi Phanomyong,seorang peguam dan pensyarah di Universiti Chulalongkorn dan Pibul Songgram seorang pegawai tentera.

f) Revolusi ini berlaku pada subuh 24 Jun 1932, apabila Pridi Phanomyong mengepung istana raja. Raja diberi kata dua semasa raja berehat di istananya di Hua Hin ,di pantai Barat Teluk Siam ,sama ada menerima kerajaan berperlembagaan atau baginda akan digantikan. Untuk mengelakkan pertumpahan darah raja menerima tuntutan golongan revolusioner tersebut kerana jaminan keselamatan. Pridi kemudian menyerahkan pucuk pimpinan kepada Kumpulan Tua yang diwakili oleh Pya Manopakorn.

f) Pada 10 Disember 1932, Perlembagaan Tetap diisytiharkan oleh Phrajadiphok. Perlembagaan ini menamatkan kuasa mutlak raja. Pya Manopakorn dilantik menjadi Perdana Menteri dengan nasihat Dewan Perhimpunan Kebangsaan.

Kesimpulan (2/3m)

Perjuangan nasionalisme di Vietnam sejak akhir abad ke-19 hingga awal abad ke -20 memperlihatkan perjuangan bercorak revolusioner. Namun gagal mencapai hasrat untuk merdeka daripada tangan pihak berkuasa Perancis. Namun demikian pada tahun 10 Mac 1945, Jepun menawan Vietnam daripada Perancis. Pihak Jepun telah berpakat dengan Maharaja Bao Dai untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Jepun pula tewas pada 1945 menyebabkan kemerdekaan Vietnam ini tidak diiktiraf oleh Vietnam Utara di bawah pimpinan Ho Chi Minh. Pada 25 September tidak lama selepas Bao Dai meletak jawatan Ho Chi Minh telah mengisytiharkan “ Republik Demokratik Vietnam” dan dia menjadi Presidennya yang pertama. Selepas berakhirnya Revolusi Thai 1932 membawa banyak perubahan dalam sistem politik Thai. Kerabat diraja kehilangan banyak jawatan dan kedudukan mereka. Selain itu, perlembagaan Baru 1932 membawa banyak perubahan tentang kedudukan raja, rakyat dan pemilihan anggota Dewan Undangan. Perubahan juga berlaku dari segi kebebasan akhbar,pelajaran dan cukai pendapatan . Nasionalisme Thai juga menjadi lehih aktif ketika Phibun Songgram menjadi Perdana Menteri.
Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...