cikgu YaTie
Berdasarkan pengalaman cikgu semak kertas ni....rata2 calon STPM elak untuk jawab soalan 6 ( tema 4 )..kalau jawabpun markah cikit aje..soalan 6 ni aras sukar so calon kena pandai wat inferens terhadap oreintasi soalan..kalau tak..salam..Jadi fikir dulu sebelum nak pilih soalan...
Huraikan rancangan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan dari tahun 1957 hingga tahun 1963.

Pendahuluan (3/2m)

Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, perbezaan jurang ekonomi antara kaum Melayu dengan kaum-kaum lain masih berterusan. Justeru, kerajaan telah memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi luar bandar dengan matlamat untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi agar dapat dinikmati oleh seluruh penduduk di Tanah Melayu. Rancangan pembangunan ekonomi dari tahun 1957 hingga tahun 1963 adalah untuk mengatasi masalah sosioekonomi seperti kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi yang telah wujud akibat dasar kolonial British. Pada keseluruhannya, terdapat dua fasa penting rancangan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan iaitu Rancangan Malaya Pertama (1956 – 1960) dan Rancangan Malaya Kedua (1961 – 1965).

Isi – (20m)

A. Rancangan Malaya Pertama 1956 – 1960 (10m)

a) Rancangan Malaya Pertama ialah rancangan pembangunan ekonomi yang pertama dilaksanakan selepas negara kita mencapai kemerdekaan. Matlamat utama rancangan ini adalah untuk membangunkan sektor ekonomi di luar bandar bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar. Selain itu, rancangan ini juga bermatlamat untuk mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar. Kerajaan memperuntukkan lebih daripada $1000 juta untuk mencapai matlamat rancangan tersebut.

b) Di bawah Rancangan Malaya Pertama bidang-bidang yang diberi tumpuan ialah sektor ekonomi sebanyak 60%, sektor perkhidmatan sosial sebanyak 30% dan sektor awam sebanyak 10%. Dengan tumpuan ini adalah diharapkan bahawa ketidakseimbangan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

c) Dalam sektor ekonomi perkara-perkara yang diutamakan ialah :

-Penanaman semula getah di ladang dan kebun kecil.
-Pembukaan tanah baru untuk pertanian.
- Kepelbagaian keluaran petani dan nelayan.
- Peluasan perusahaan perlombongan.
- Galakan terhadap pembangunan perusahaan.
- Pembentukan dasar penggunaan tanah yang sesuai.

d) Sektor perkhidmatan sosial pula mengutamakan kemajuan kesihatan, pendidikan, perumahan, pembaikan dan pemodenan dalam sistem perhubungan yang ada serta pembangunan majlis perbandaran dalam jangka masa 10 tahun. Seterusnya, dalam sektor awam diutamakan perkhidmatan yang bercorak ketenteraan dan keselamatan serta pembinaan balai polis, pejabat pos, mahkamah dan rumah kerajaan.

e) Rancangan ini juga bertujuan mempelbagaikan kegiatan ekonomi supaya negara kita tidak terlalu bergantung kepada pengeluaran komoditi getah dan bijih timah sahaja, menambahkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat luar bandar, mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara kawasan luar bandar dan bandar, meningkatkan sumber pendapatan negara dan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan perumahan bagi penduduk luar bandar.

f) Untuk menjayakan Rancangan Malaya Pertama , dua agensi kerajaan telah ditubuhkan iaitu Rural Development Industrial Authority (RIDA) atau Lembaga Pembangunan Industri Luar Bandar dan Federal Land Development Authority (FELDA) atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan. RIDA ditubuhkan sejak tahun 1953 bermatlamat untuk membangunkan dan memajukan penduduk luar bandar melalui pembangunan ekonomi, sosial dan kemudahan kepada penduduk. Antara peranan RIDA yang kemudiannya dikenali sebagai Majlis Amanah Rakyat (MARA) ialah :

- Menggalakkan, membimbing dan melatih orang Melayu dalam sektor perdagangan dan perindustrian.

- Memberi pinjaman kepada usahawan Melayu yang ingin memulakan perniagaan.

- Menggalakkan orang Melayu mengusahakan perusahaan kecil di luar bandar berasaskan kegiatan tradisional seperti kilang padi, perusahaan kampung pemprosesan makanan dan buah-buahan.

- Memperkenalkan program latihan bagi meningkatkan kemahiran dalam kalangan penduduk luar bandar, terutamanya golongan belia.

- Menyediakan bantuan modal teknikal bagi kaum Bumiputera untuk menceburi bidang perusahaan dan perniagaan.

g) FELDA pula ditubuhkan pada tahun 1956 sebagai badan berkanun yang bertangggungjawab melaksanakan pembangunan tanah dan petempatan di luar bandar. Pada amnya, FELDA dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perkara-perkara berikut :

- Membuka tanah-tanah baru untuk penanaman getah dan kelapa sawit.

- Menempatkan penduduk luar bandar dalam skim FELDA yang disediakan kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, jalan raya, klinik dan sekolah.

- Memberikan tanah kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah atau tidak cukup tanah.

- Meninggikan taraf hidup penduduk luar bandar yang kebanyakannya menyara hidup sebagai petani.

h) Secara keseluruhannya, skim FELDA telah ditanam dengan kelapa sawit sebanyak 59.6 % dan getah sebanyak 40.4 %. Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar ditubuhkan pada tahun 1959 yang diketuai oleh Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. Kementerian ini bertanggungjawab menjalankan tugas menyelaras, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan di kawasan luar bandar. Agensi RIDA dan FELDA telah diletakkan di bawah kementerian ini untuk menggiatkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.

i) Pada keseluruhannya, Rancangan Malaya Pertama kurang mencapai matlamatnya kerana pada masa itu negara masih menghadapi ancaman komunis. Sebanyak 54.5% daripada peruntukan rancangan ini terpaksa digunakan untuk keselamatan negara bagi menghadapi ancaman komunis. Pada masa yang sama, negara menghadapi masalah kewangan akibat kejatuhan harga getah dan bijih timah sedangkan kedua-dua komoditi ini merupakan sumber pandapatan utama bagi kerajaan.

B. Rancangan Malaya Kedua 1961 – 1965 (10m)

a) Rancangan Malaya Kedua dilaksanakan dengan tujuan untuk meneruskan objektif-objektif Rancangan Malaya Pertama seperti penyediaan lebih banyak kemudahan asas dan menggalakkan kepelbagaian ekonomi di kawasan luar bandar. Selain itu, beberapa matlamat baru diperkenalkan setelah menyedari kepincangan Rancangan Malaya Pertama dan beberapa masalah yang perlu diberi pertimbangan.
b) Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak $3,180 juta untuk menjayakan Rancangan Malaya Kedua. Antara tujuan-tujuan baru yang ada ialah usaha mempelbagaikan ekonomi dan pertanian supaya tidak terlalu bergantung kepada getah dan bijih timah, memesatkan lagi perusahaan pembuatan supaya dapat mengatasi masalah pengangguran dalam negara dan meninggikan pengeluaran bahan-bahan makanan.

c) Di bawah Rancangan Malaya Kedua, FELDA telah memainkan peranan penting dalam mempergiatkan rancangan pembukaan tanah dan petempatan wilayah untuk memberikan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar. Antara tahun-tahun 1956 hingga 1963, FELDA telah membuka kawasan-kawasan tanah yang luas. Setiap skim FELDA meliputi kawasan seluas 1600 – 2000 hektar. Getah ataupun kelapa sawit telah ditanam, sementara perumahan dan kemudahan-kemudahan lain juga disediakan.

d) Masalah besar yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil ialah pemasaran hasil tanaman mereka. Untuk mangatasi masalah ini Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah ditubuhkan oleh kerajaan.FAMA ditubuhkan dengan tujuan untuk memperbaiki dan mempertingkat sistem penyimpanan dan pemasaran hasil pertanian, terutama yang dihasilkan oleh petani di luar bandar.

e) Seterusnya, objektif-objektif lain penubuhan FAMA ialah :

- Menjamin pasaran hasil pertanian seperti getah, kelapa sawit, kelapa dan
koko.

- Mengurangkan monopoli orang tengah.

- Menentukan harga yang berpatutan kepada petani.

- Memberi dorongan kepada petani supaya menambahkan pengeluaran.

f) Dua strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam melaksanakan Rancangan Malaya Kedua ialah :

- Penyertaan dan penglibatan rakyat dalam proses perancangan dan pelaksanaan.

- Perancangan program oleh kerajaan berdasarkan permintaan rakyat setempat.

g) Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah menubuhkan Bilik Gerakan Negara yang berpusat di Kuala Lumpur untuk membuat rancangan pembangunan ekonomi. Bilik Gerakan ini juga ditubuhkan di setiap pejabat daerah seluruh negara. Pegawai Daerah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program pembangunan di daerah masing-masing.Bilik Gerakan Negara mengadakan kawalan rapi terhadap pembangunan ekonomi dengan mengumpulkan segala perangkaan, peta dan carta yang menunjukkan kemajuan setiap kawasan.

h) Maklumat-maklumat yang dikumpulkan dimuatkan dalam Buku Merah yang mengandungi peta, carta dan butir-butir kemajuan tentang projek-projek pembangunan luar bandar yang sedang dijalankan. Selain itu, jentera pentadbiran di peringkat negeri, daerah dan mukim telah ditubuhkan untuk menggerak, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan.

Kesimpulan (2/3m)

Jelaslah di sini menunjukkan bahawa kerajaan memang mengambil langkah yang positif dalam usaha meninggikan taraf hidup masyarakat luar bandar, dan menghapuskan atau merapatkan jurang ekonomi antara penduduk peribumi di kawasan luar bandar dengan penduduk di bandar. Walaupun usaha yang dilakukan oleh kerajaan tidak berjaya sepenuhnya, namun setidak-tidaknya usaha dan inisiatif kerajaan adalah berhasil mencapai tujuan dan matlamatnya. Perkembangan ekonomi luar bandar lebih menampakkan kejayaan dalam Rancangan Malaya Kedua kerana dengan penubuhan FAMA membolehkan petani menjual hasil pertanian mereka dan menambahkan pendapatan.





Labels: | edit post
Reactions: 
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...