cikgu YaTie
SULTAN SEBELUM DAN SELEPAS BRITISH....
Jelaskan perubahan peranan raja atau sultan sebelum dan semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu.

Pendahuluan. (3/2m)

Raja atau sultan memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan di Tanah Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, sultan memainkan peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Namun penguasaan penjajah British ke atas Tanah Melayu menyebabkan kuasa sultan mulai terhakis. Sebaliknya British mula memainkan peranan dalam politik, ekonomi dan sosial. Walaupun kuasa sultan kian terhakis pada zaman penjajahan British namun sultan tetap menjadi unsur penting dalam sistem pemerintahan di Tanah Melayu.

Isi – (20m)

A. Peranan sultan sebelum penjajahan British (10m)

i. Politik

a. Sultan sebagai ketua kerajaan

Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah

b. Peranan sultan melantik pembesar

Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.

c. Sultan menentukan hubungan diplomatik

Sebagai ketua negara, sultan bertanggungjawab mengetuai rundingan dengan ketua-ketua negara asing. Sebarang tindakan hal ehwal luar tidak sah jika dilakukan oleh pembesar tanpa kehadiran sultan. Semua perjanjian atau persetiaan dengan pihak luar tidak sah tanpa pengesahan sultan. Persetiaan dengan pihak luar perlu ditandatangani oleh 12 orang atau lebih pembesar serta ditandatangani oleh sultan



d. Sultan berperanan sebagai ketua tentera.

Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain.

ii. Ekonomi

a) Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Contohnya Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) dari Kelang daripada Raja Mahdi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di Muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para pembesar negeri.

b) Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contoh di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

iii. Sosial

a) Sultan merupakan lambang perpaduan, dan simbol penyatuan negara dan rakyat. Seseorang sultan sangat memerlukan sokongan dan kesetiaan rakyatnya bagi membolehkannya memerintah dengan berkesan. Kewibawaan seseorang sultan bergantung kepada kemakmuran hidup rakyatnya. Bagi mewujudkan kesetiaan rakyat terhadap sultan maka seseorang sultan itu dilambangkan dengan kuasa sakti dan mempunyai darah putih. Hak ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

b) Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu


B. Perubahan peranan sultan akibat penjajahan (10m)

a) Selepas campur tangan British, British telah memperkenalkan sistem Residen. Di bawah sistem Residen, Residen merupakan kuasa yang tertinggi dalam pemerintahan di negeri-negeri Melayu. British memperkenalkan pentadbiran berbentuk birokrasi, iaitu ditadbir oleh sekumpulan pegawai. Sultan telah kehilangan kuasa mentadbir yang dinikmati sebelum ini.

b) Sultan kehilangan kuasa mutlak. British memperkenalkan sistem perundangan baru. Baginda tidak lagi berkuasa menjatuhkan hukuman. British memperkenalkan sistem perundangan yang lebih teratur dengan melantik hakim-hakim untuk melaksanakan sistem kehakiman.

c) Majlis Sultan diganti dengan Majlis Negeri. Walaupun sultan menjadi Residen Majlis Negeri tetapi semua keputusan Majlis Negeri dibuat oleh residen. Sultan kehilangan kuasa sebagai ketua pentadbir. Walaupun sultan masih menjadi ketua negara, namun kuasa mentadbir berada di tangan residen.

d) Sultan kehilangan kekuasaan terhadap ekonomi kepada Residen British. Urusan percukaian, import-eksport tidak lagi berada di bawah kekuasaan sultan tetapi di tangan British.British secara beransur-ansur memperkembangkan ekonomi kapitalis dan secara beransur-ansur ekonomi tradisional terhakis.

e) Pada zaman penjajahan British sultan juga tidak dibenarkan mempunyai tentera sendiri. Pentadbir British telah membentuk pasukan polis dan askarnya sendiri. Hal ini bermakna bidang keselamatan terlepas daripada kekuasaan sultan. Sultan hanya memainkan peranan dalam upacara kerajaan negeri sahaja.

f) Pengenalan Persekutuan pada tahun 1896 menyebabkan sultan kehilangan kuasa. Kuasa berpusat di tangan Residen Jeneral. Raja-raja Melayu hanya berkuasa dalam soal agama dan adat istiadat orang Melayu sahaja. Kekuasaan sultan semakin tergugat apabila British memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946. Walaupun kuasa sultan dipulihkan semula dengan pengenalan Persekutuan 1948 tetapi kuasa sebenar masih di tangan British.

Kesimpulan (2/3m)

Dari perbincangan di atas adalah jelas bahawa sultan memainkan pernan yang cukup besar sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Namun kedatangan penjajah British telah merubah sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu. Peranan sultan yang lebih luas dan berwibawa sebelum kedatangan penjajah telah terhakis dengan kedatangan penjajah. Kedatangan penjajah dan penguasaannya ke atas Tanah Melayu menyebabkan pengenalan sistem pentadbiran dan perekonomian baru yang menjadikan sultan kehilangan kuasa dan hanya sekadar lambang kekuasaan, kuasa sebenar di tangan Residen.
Labels: | edit post
Reactions: 
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...