cikgu YaTie
7. Bincangkan hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat di China dan di India sebelum kedatangan Barat.


A. PENGENALAN (3M)

1. Adat bermaksud peraturan yang diamalkan turun-temurun dalam sesebuah masyarakat sehingga dianggap hukum yang harus dipatuh. Ia disampaikan secara lisan daripada satu generasi ke generasi yang lain.
2. Masyarakat Cina tradisional mula mengamalkan adat sejak dilahirkan hinggalah pada hari kematian mereka. Mereka dipengaruhi oleh ajaran Confucius manakala masyarakat India mengamalkan hukum adat yang berkaitan dengan pengaruh agama Hindu.
3. Semua adat ini bertujuan untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan masyarakat.

B. ISI (20M)

I. Adat di China (10 M)

1.1 Adat kowtow
Adat mengadap maharaja China dengan cara meniarap atau berlutut sebanyak sembilan kali di hadapan maharaja. Maharaja dianggap suci dan perlu disembah sedemikian rupa. Adat ini mengangkat darjat raja ke tahap yang paling tinggi sebagai wakil tuhan. Adat ini dipatuhi oleh semua termasuklah duta-duta Barat sewaktu mengadap maharaja China.

1.2 Adat wanita hamil
Diamalkan sejak mula kehamilan hingga ke seratus hari selepas bersalin. Dilarang menyertai majlis perkahwinan dan pengkebumian sehingga 100 hari selepas bersalin.. Perlu berehat dan mengambil makanan yang baik dan mengelakkan makanan yang sejuk kerana dikatakan akan menyebabkan ibu tersebut ditimpa penyakit.

1.3 Adat mementingkan anak lelaki.
Anak lelaki mengekalkan nama keluarga. Anak perempuan yang berumahtangga secara langsung memutuskan hubungan dengan keluarga dan menggunakan nama keluarga suaminya. Bagi bapa yang tidak mempunyai anak lelaki tidak akan mempunyai persembahan yang diletakkan di atas meja pujaan rohnya selepas meninggal kerana dianggap gagal memenuhi tanggungjawabnya.

1.4 Adat mengikat kaki anak gadis.
Kaki anak perempuan yang berumur antara tiga ke lapan tahun diikat/bebat (dibalut dengan kain ketat) supaya kecil dan cantik. Wanita Cina berasa bangga jika mempunyai kaki yang kecil kerana melambangkan status tinggi dan kemuliaan. Saiz kaki besar melambangkan kehinaan dan kemiskinan. kerja-kerja pertanian.

1.5 Adat memuja roh nenek moyang
Nenek moyang dianggap sebagai ketua keluarga. Bapa yang tidak ada anak lelaki tidak akan disembah. Penghormatan ini akan dilakukan terutama pada hari-hari tertentu seperti menyambut Tahun Baru. Adat ini turut dipertanggungjawabkan kepada golongan tua atau majlis orang tua.

1.6 Adat berkenaan bayi atau anak kecil
Bagi masyarakat Cina , ketika bayi itu dilahirkan dia telah berusia satu tahun dan apabila dia berusia satu tahun sebenarnya dia telah pun berusia dua tahun. Masyarakat Cina amat menitikberatkan soal pendidikan sejak kanak-kanak lagi terutamanya menghormati keluarga.

1.7 Adat perkahwinan
Perkahwinan dalam masyarakat Cina diatur sejak kecil kerana ini boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Pihak pengantin perempuan tidak dibenarkan mengadakan majlis perkahwinan kerana ini hanya dilakukan oleh pihak lelaki sahaja. Masyarakat Cina pentingkan perkahwinan kerana dianggap akan melahirkan generasi baru yang akan menggantikan generasi lama.

1.8 Adat tilikan nasib
Masyarakat Cina amat percaya pada tilikan nasib. Sial malang dalam kehidupan akan dapat disingkirkan dengan bantuan tukang tilik yang mahir. Sebelum melakukan sesuatu perkara masyarakat di Asia Timur akan mendapatkan khidmat tukang tilik untuk menentukan tarikh, hari, masa dan ketika yang sesuai memulakan sesuatu upacara.


2. Adat di India (10 M)


2.1 Adat pembunuhan bayi perempuan
Pembunuhan ini dilakukan semasa bayi masih kecil iaitu semasa bayi tersebut masih menyusu. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan ibu bapa daripada menanggung penderitaan seperti pemberian dowri apabila anak itu berkahwin kelak. Ia biasanya dilakukan oleh golongan miskin.

2.2 Adat Suttee
Adat yang melibatkan pembakaran balu dalam upacara pembakaran mayat suami mereka. Adat ini diamalkan oleh masyarakat India sebagai bukti kesetiaan isteri terhadap suami dengan alasan suami isteri tersebut dapat hidup bersama di syurga.



2.3 Adat Thuggee
Merupakan amalan merompak dan pembunuhan di jalan. Amalan ini dijalankan oleh kumpulan agama yang bersenjata menyamar lalu mencekik pengembara jalanan sehingga mati atas nama Dewi Kali.

2.4 Adat bertindik hidung
Amalan ini dilakukan oleh kaum wanita India dengan memakai barang kemas di hidung dikenali sebagai muukkuti. Adat ini menjadikan seseorang wanita itu lembut, mengimbangkan suhu badan dan dianggap membawa kebaikan.



2.5 Adat Pottu
Adat meletakkan tanda di dahi berbentuk bulat yang juga dikenali sebagai taligam. Pottu dianggap sebagai warisan bagi kaum wanita India. Terdapat juga kaum lelaki yang memakai pottu merah atau cendana.

2.6 Amalan sistem kasta
Masyarakat di India dibahagikan mengikut golongan tertentu. Ia bertujuan untuk menjaga keturunan yang dianggap mulia dan dihormati. Sistem kasta dibahagikan mengikut empat kelas masyarakat iaitu Kysatria (perwira, aristokrat), Brahmin (sami) , Vaisya (pedagang) dan Sundra ( rakyat biasa).

2.7 Adat tidak membenarkan perkahwinan semula balu
Balu-balu dilarang daripada berkahwin semula selepas kematian suami mereka. Mereka juga tidak boleh menghias diri dan hanya memakai sari putih sahaja. Mereka juga tidak boleh menghadiri perayaan keluarga dan tidak dibenarkan pulang ke rumah keluarga sendiri.

2.8 Adat khas bagi wanita hamil
Wanita hamil harus menjaga dirinya agar tidak melanggar segala pantang larang kerana perbuatan ini akan mempengaruhi anak dalam kandungan. Wanita hamil tidak boleh mengumpat, bergaduh dan sebagainya untuk melindungi ibu dan anaknya daripada dipengaruhi oleh kuasa jahat.


C. KESIMPULAN (2M)
Hukum adat di China dan India mempengaruhi corak pemerintahan dan kehidupan masyarakatnya. Terdapat beberapa amalan yang mencetuskan kontroversi akibat pertembungan antara dua budaya yang bertenatangan sewaktu kedatangan Barat.


(Terima mana-mana 5 isi bagi setiap negara dan juga jawapan lain yang berkaitan.)

Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...