cikgu YaTie
3. Bincangkan reaksi masyarakat tempatan terhadap pentadbiran keluarga Brooke
di Sarawak pada abad ke-19.

PENDAHULUAN ( 3 Markah )

Sarawak merupakan sebuah wilayah yang kaya dengan hasil buminya seperti hasil hutan, hasil laut, dan galian.
Sarawak adalah sebahagian daripada wilayah Kesultanan Melayu Brunei tetapi telah diserahkan kepada James Brooke setelah beliau berjaya menghapuskan pemberontakan di Sarawak.
Pembaharuan dan pembangunan yang dilakukan oleh pentadbiran keluarga Brooke telah mendapat tentangan daripada penduduk tempatan.

ISI-ISI ( 20 Markah )

Penentangan terhadap pemerintahan Brooke di Sarawak

Penentangan Rentap

a. Rentap ialah ketua orang Iban yang berpengaruh di kawasan Sungai Saribas. Nama sebenarnya ialah Libau. Beliau menunjukkan kecekalannya dalam menentang kemaraan kuasa British di kawasan orang Iban.
b. Rentap menentang pentadbiran Brooke kerana beliau dianggap sebagai ketua lanun. Brooke juga mahu menghapuskan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Skrang kerana dianggap sebagai lanun. Penentangan juga timbul kerana pemerintahan Brooke telah menghapuskan amalan mengayau atau perburuan kepala.
c. Pada 1849, Brooke telah mengalahkan orang Iban di bawah pimpinan Abang Apong dan Linggir Mali Lebu dalam satu pertempuran di Beting Maru. Brooke kemudiannya mara ke Skrang dan mendirikan kubu di Naga Skrang, iaitu pertemuan antara Sungai Skrang dan Sungai Batang Lupar.
d. Kemaraan Brooke membimbangkan Rentap dan sebagai persediaan beliau membina kubu pertahanan di Sungai Lang iaitu cabang Sungai Skrang. Pada 1851 kubu Rentap telah diserang oleh tentera Brooke.
e. Bagi mengukuhkan kedudukannya Brooke telah mendirikan kubu pertahanan di Kuala Sungai Skrang, Kanowit, Lingga, Sarikei, Betong, Bakung, Lubuk Antu, dan Bintulu. Pembinaan kubu ini telah mengganggu kebebasan orang Iban. Akibatnya mereka meneruskan perjuangan menentang pentadbiran Brooke.
f. Pada 1853, Rentap menyerang kubu Brooke di Nanga Skrang dan dapat membunuh seorang pegawai Brooke, iaitu Alan Lee.
g. Pada 1854, Tentera Brooke menyerang kubu Rentap di Sungai Lang. Serangan ini memaksa Rentap berundur ke Bukit Sadok. Rentap terus mengukuhkan kubunya di Bukit Sadok dengan meriam besi yang besar.
h. Tentera Brooke di bawah pimpinan Charles Brooke telah menyerang dua kali kubu tersebut tetapi gagal untuk mengalahkan Rentap.
i. Pada 1863, James Brooke mengetuai sendiri sepasukan tentera telah menyerang Bukit Sadok sekali lagi, Rentap telah kalah dan melarikan diri ke Sungai Entabai dan meninggal dunia beberapa tahun kemudian.

Penentangan pelombong Cina

a. James Brooke telah menggalakkan kemasukan orang Cina ke Sarawak kerana mereka dapat menyumbang dalam pembangunan ekonomi. Ramai orang Cina telah datang ke Sarawak sama ada untuk berniaga di bandar-bandar atau bekerja di lombong antimoni di kawasan Bau.
b. Namun orang Cina menunjukkan sikap tidak suka menerima arahan daripada pentadbiran British di Kuching. Sikap ini telah mendatangkan masalah kepada pentadbiran Brooke.
c. Orang Cina juga tidak puas hati tehadap pentadbiran Brooke kerana, mengawal kegiatan kongsi gelap, mengawal penyeludupan, dan menyekat perdagangan candu.
d. Pada 1857, orang Cina menyerang kediaman James Brooke, bangunan, dan rumah kediaman kakitangan kerajaan di Kuching sehingga berjaya menawan bandar Kuching.
e. Walau bagaimanapun, James Brooke berjaya menewaskan kumpulan pemberontak ini dengan bantuan anak saudaranya, Charles Brooke bersama-sama sekumpulan orang Melayu dan Dayak. Sejak itu kemasukan orang Cina telah dikawal ketat.

Penentangan Sharif Masahor

a. Tindakan James Brooke meluaskan kawasan pentadbirannya dengan mengambil beberapa daerah di bawah Kesultanan Brunei telah mengancam kedudukan beberapa pemimpin tempatan sehingga membangkitkan penentangan mereka.
b. Sharif Masahor telah dilantik menjadi Gabenor Sarikei di Sungai Rajang oleh Sultan Brunei pada tahun 1849. Beliau amat berpengaruh di kalangan orang Melanau di Sungai Rajang dan orang Iban di Sungai Skrang dan Saribas.
c. Beliau menentang pemerintahan Brooke kerana mengambil alih pentadbiran di Sungai Rajang dan mendirikan kubu di Konawit dan diletakkan di bawah jagaan seorang British Henry Steel. Sharif Masahor juga telah dipecat oleh Brooke apabila dituduh campur tangan dalam pertelingkahan di Mukah yang berada dalam kuasa pentadbiran Brooke.
d. Sharif Masahor telah berpakat dengan Datu Patinggi Abdul Ghafur yang dipecat kerana mengenakan cukai yang tinggi ke atas penduduk Kuching.
e. Pada 1859, mereka telah menyerang Konawit dan berjaya membunuh pegawai British Charles Fox dan Henry Steele.
f. Pada 1860, merancang menyerang Kuching tetapi diketahui oleh Charles Brooke lalu menyerang pasukan Sharif Masahor menyebabkan beliau melarikan diri ke Mukah dan diberi perlindungan oleh iparnya Pangeran Nipa.
g. Charles Brooke menghadap Sultan Brunei, Sultan Abdul Mukmin bagi mendapatkan kebenaran mengamankan Mukah. Sharif Masahor telah dibuang negeri ke Singapura pada tahun 1861.

Penentangan Banting

a. Banting merupakan ketua orang Iban di Ulu Sungai Batang Lupar. Beliau dan pengikut-pengikutnya telah mendirikan rumah panjang di Sungai Batang Lupar. Brooke telah mengarahkan rumah panjang Banting dirobohkan. Banting dan pengikut-pengikutnya terpaksa tinggal di sempadan Sarawak – Kalimantan.
b. Banting telah menjalankan perniagaan tetapi telah dituduh tidak membayar cukai kepada kerajaan Brooke. Beliau telah didakwa dan dikenakan denda $ 7.20 dan barang-barangnya dirampas. Sejak itu beliau memusuhi pentadbiran keluarga Brooke.
c. Pada 1896, Residen Bailey mengarahkan satu pasukan orang Iban menyerang Banting. Pertempuran ini menambahkan kemarahan Banting kerana anak saudaranya terkorban dalam serangan tersebut.
d. Pada 1897, Charles Brooke pergi ke Simanggang untuk berunding dengan Banting tetapi gagal. Apabila Banting menolak rundingan ini berlaku satu lagi pertempuran yang menyebabkan anaknya pula yang terkorban.
e. Charles Brooke meneruskan serangan pada 1897, 1900, 1902, dan 1904. Pada 1907 Banting telah berdamai dengan Charles Brooke.
f. Banting dan pengikut-pengikutnya telah berpindah ke Sungai Delok sehinggalah beliau mati di situ.

KESIMPULAN ( 2 markah )

Pembaharuan dan perubahan yang dilakukan oleh pentadbiran keluarga Brooke mendapat tentangan daripada masyarakat tempatan.
Tentangan yang timbul berjaya dihadapi oleh pentadbiran Brooke sehinggalah Sarawak diserahkan kepada British pada tahun 1941.








Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...