cikgu YaTie
agak-agak keluar tak dalam exam tahun ni.......baca la....

BINCANGKAN SISTEM POLITIK DI NEGERI-NEGERI MELAYU SEBELUM CAMPUR TANGAN BRITISH PADA TAHUN 1874.

A) PENGENALAN (2@3M)
1. Semua Negeri-Negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan mempunyai sistem politik yang sama. Sistem politik di Negeri-Negeri Melayu adalah berasaskan kepada sistem politik Kesultanan Melayu Melaka.
2. Sebelum campur tangan British, sistem politik di Negeri-Negeri Melayu boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Negeri, Daerah atau Jajahan dan Kampung. Sementara sistem politik di Negeri Sembilan pula berasaskan Adat Pepatih.


B) ISI (20 M)
1. Peringkat Negeri (10m)
a. Dalam sistem politik Melayu tradisional, unit politik yang paling besar ialah Negeri. Pada abad ke-19, perkataan Negeri dirujuk kepada satu kawasan yang merdeka di bawah pemerintahan sendiri. Sesebuah Negeri terletak di kawasan muara sungai. Kedudukan yang strategik ini amat berguna untuk membolehkan seseorang pemerintah mengawal setiap pergerakan keluar-masuk penduduk ataupun pedagang luar.
b. Pentadbiran Negeri Melayu diketuai oleh Sultan, Raja ataupun Yang DiPertuan Besar. Sultan atau Raja merupakan pemegang kuasa politik tertinggi dalam pentadbiran sesebuah Negeri.
c. Bagi melaksanakan pentadbiran Negeri, Sultan dan Raja dibantu oleh pembesar. Pembesar menjadi tulang belakang pentadbiran sesebuah Negeri Melayu kerana mereka menolong Raja / Sultan mentadbir Negeri masing-masing. Gelaran pembesar bagi setiap Negeri Melayu adalah berbeza.
d. Contohnya di Perak, Sultan di bantu oleh pembesar 4 yang terdiri daripada Raja Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung Paduka Raja dan Menteri Paduka Tuan. Di Pahang pula Sultan di bantu oleh pembesar 4 yang terdiri daripada Orang Besar Indera Maharaja Perba Jelai, Orang Kaya Indera Segara Temerloh, Orang Kaya Indera Pahlawan Chenor dan Orang Kaya Indera Syahbandar. Di Kelantan Sultan Kelantan dibantu oleh pembesar yang terdiri daripada Raja Bendahara, Raja Temenggung, Perdana Menteri dan Engku Besar Jeram. Di Kedah pula Sultan Kedah di bantu oleh Seri Paduka Maha Menteri, Seri Paduka Laksamana, Paduka Maharaja Temenggung Anggota Besar, dan Seri Maharaja Putra Dewa.
e. Sementara sistem politik di Negeri Sembilan pula berasaskan kepada Adat Pepatih. Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dibantu oleh Undang 4 bagi melaksanakan pentadbiran Negeri yang terdiri daripada Undang Johol, Jelebu, Rembau, dan Sungai Ujong.
f. Bagi mengukuhkan kedudukan Sultan atau Raja dalam pentadbiran Negeri, Sultan atau Raja seringkali dikaitkan dengan konsep Daulat. Kedaulatan seseorang Sultan diperkukuhkan melalui penggunaan bahasa dalam, warna kuning dan peralatan kebesaran seperti cop mohor, nobat, serunai, nafiri, tombak, keris dan lain-lain.
g. Pelantikan seseorang Sultan atau Raja bagi meneruskan pentadbiran negeri di semua Negeri Melayu kecuali Perak dilakukan berasaskan sistem warisan atau keturunan. Menurut sistem warisan, apabila seseorang Sultan atau Raja mangkat, putera sulong Sultan daripada Permaisuri berdarah Raja ataupun adik lelakinya sekiranya baginda tidak mempunyai waris akan berhak mewarisi takhta kerajaan. Bakal pengganti Sultan digelar Raja Muda ataupun Tengku Mahkota. Mereka akan dilantik sebagai Sultan sebelum jenazah Sultan dimakamkan.
h. Sementara di Perak, perlantikan seorang Sultan atau Raja bagi mentadbir negeri dilakukan melalui sistem giliran. Melalui sistem ini bakal Sultan hendaklah terlebih dahulu memegang jawatan Raja DiHilir, Raja Bendahara dan Raja Muda. Perlantikan yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pula dilakukan oleh Undang 4 di kalangan putera Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan.
2. Peringkat Daerah (6m)
a. Bagi melicinkan pentadbiran, setiap negeri dipecahkan pula kepada beberapa Daerah atau Jajahan.
b. Pentadbiran Daerah atau Jajahan diketuai oleh Pembesar Daerah ataupun Ketua Jajahan. Mereka di gelar Orang Besar-Besar.
c. Pembesar Daerah atau Ketua Jajahan dilantik oleh Sultan melalui surat tauliah yang mempunyai cop mohor. Mereka akan melaksanakan tugas dan mempunyai kuasa penuh dalam Daerah/Jajahan pentadbiran masing-masing. Kawasan pentadbiran mereka bergantung kepada kawasan yang diperuntukan dalam surat tauliah yang dikurniakan oleh Sultan atau Raja. Pembesar Daerah atau Jajahan bertanggungjawab kepada Sultan/Raja.
d. Dalam sistem politik masyarakat Melayu tradisional, kedudukan pembesar Daerah adalah sangat penting. Ini disebabkan oleh pembesar Daerah sangat rapat dengan rakyat. Oleh yang demikian, mereka sangat berkuasa dan penting sebagai perantaraan antara Sultan dan rakyat. Justeru itu terdapat kes-kes di mana pembesar Daerah lebih kaya dan berkuasa daripada Sultan. Contohnya di Perak, pembesar Daerah berhak memilih bakal Sultan dan berkuasa menyingkirkan Sultan yang mereka tidak sukai.
e. Pembesar Daerah di benarkan memungut cukai di daerah yang diperuntukan kepada mereka sebagai pendapatan mereka. Sebahagian kecil daripada cukai tersebut akan diserahkan kepada Sultan sebagai tanda taat setia. Contohnya, Sultan Perak akan diberikan sebanyak RM6.00 bagi tiap-tiap bahara bijih timah yang dieksport dari mana-mana daerah di Perak oleh pembesar Daerah.
f. Kekuasaan dan pengaruh pembesar Daerah adalah berdasarkan kepada jumlah pengikutnya.
g. Antara Pembesar Daerah ialah Long Jaafar dan Ngah Ibrahim di Larut, Dato Maharaja Lela di Pasir Salak, Dato Sagor di Kampung Gajah, Raja Jumaat di Lukut, Raja Abdullah di Kelang, Dato Bahaman di Semantan dan sebagainya.
3. Peringkat Kampung (4m)
a. Kampung merupakan unit politik yang paling kecil dalam sistem politik masyarakat Melayu tradisional.
b. Pentadbiran kampung diketuai oleh penghulu atau Tok Kweng di Kelantan.
c. Mengikut adat, penghulu dipilih berdasarkan keturunan. Mereka yang dipilih akan dilantik oleh Sultan dengan cara menganugerahkan surat tauliah.
d. Penghulu akan menjadi perantara antara pembesar Daerah dengan penduduk kampung.
e. Penghulu tidak dibayar gaji, tetapi memperolehi pendapatan daripada hasil cukai yang dipungut daripada penduduk kampung.
f. Sementara di Terangganu semasa pemerintahan Sultan Omar pada abad ke- 19 penghulu bertanggungjawab terus kepada baginda.

C) KESIMPULAN (2@3M)

1. Sistem politik Melayu tradisional yang berasaskan kepada kerajaan Kesultanan Melayu Melaka telah memberikan Sultan dan Raja kuasa mutlak untuk mentadbir sesebuah Negeri Melayu. Bagi melicinkan pentadbiran, Negeri telah dipecahkan kepada beberapa daerah yang diketuai oleh pembesar-pembesar Daerah dan Kampung yang diketui oleh penghulu.
2. Namun selepas campur tangan British, sistem politik di Negeri Melayu telah dibahagikan kepada empat peringkat iaitu Negeri, Daerah/Jajahan, Mukim dan Kampung.
3. Sultan tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran negeri. Peranan Sultan telah diambil alih oleh Residen British. Sementara pentadbiran Daerah pula diambil alih oleh pegawai Daerah British. Pentadbiran peringkat Mukim dan Kampung pula di ketuai oleh pembesar Melayu yang sanggup berkerjasama dengan British.
Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...