cikgu YaTie
ini juga.......

JELASKAN PERLUASAN KUASA BRITISH DI NEGERI-NEGERI MELAYU UTARA ANTARA TAHUN 1897 SEHINGGA TAHUN 1909.

A) PENGENALAN (2 @ 3 M)

Hubungan antara British dengan Siam pada abad ke 19 keseluruhannya ditentukan oleh perjanjian Burney pada tahun 1826. Melalui perjanjian ini, British telah mengakui Kedah sebagai jajahan takluk Siam, manakala kedudukan Kelantan dan Terengganu tidak dinyatakan dengan terang. Pada akhir abad ke 19, kerajaan British ingin meneruskan hubungan baik dengan Siam untuk melindungi kepentingan perdagangannya di Siam. Pada masa yang sama, Perancis yang menduduki Indo-China cuba memperluas pengaruhnya di Siam. Persaingan antara Inggeris – Perancis telah berkurangan pada akhir ke 19, dengan termaktubnya Pengisytiharan Inggeris – Perancis pada 15 Januari 1896. Pengisytiharan ini telah menjamin kemerdekaan Lembah Menam Chao Phraya dan secara tidak langsung telah melindungi kepentingan British di Siam dan Tanah Melayu. Ini bermakna selepas Pengisytiharan Inggeris- Perancis, British boleh memberi perhatian terhadap Negeri-negeri Melayu Utara (NMU).

B) ISI (20 M)

1. Perjanjian Rahsia atau Sulit Inggeris – Siam 1897 ( 4 M)
a. Pada 6 April British telah menandatangani Perjanjian Rahsia dengan Siam. British menandatangani perjanjian tersebut bagi memastikan tidak ada kuasa Eropah yang lain terutama Jerman dapat menguasai NMU.
b. Melalui perjanjian ini, secara tidak langsung Siam telah mengakui peranan dan kedudukan British di NMU. Inggeris seolah-olah diakui oleh Siam mempunyai kuasa di negeri-negeri tersebut.
c. Ini disebabkan Siam bersetuju tidak akan menyerahkan sebarang kawasan di selatan Siam termasuk NMU kepada mana-mana kuasa asing tanpa keizinan British. Melalui perjanjian ini pihak British akan membantu Siam sekiranya kawasan-kawasan tersebut diancam oleh kuasa-kuasa asing.
d. Perjanjian ini merupakan tahap permulaan bagi dasar British yang aktif terhadap NMU.

2. Pengisytiharan Inggeris – Siam 1902 (8 M)
Sebab- sebab:
a.Kebimbingan terhadap kuasa barat yang lain:
i.Pada tahun-tahun 1880an beberapa buah kuasa Eropah berlumba-lumba untuk mendapatkan kawasan di Asia Tenggara. Kemungkinan campur
tangan kuasa asing yang lain terutamanya Jerman di NMU amat membimbangkan British.
ii.selepas penyatuannya oleh Bismark, Jerman telah muncul sebagai sebuah kuasa besar dan cuba menyaingi Britain, tetapi Jerman tidak mempunyai sebarang penempatan di Asia Tenggara.
iii.Antara tahun 1899 –1900. Jerman dikatakan telah membuat beberapa percubaan untuk mendapatkan Pulau Langkawi daripada kerajaan Siam.
iv.Sementara Rusia pula sedang mengenakan tekanan ke atas Bangkok supaya menyerahkan Teluk Siam dan Ujong Salang kepadanya untuk dijadikan pengkalan arang batu.
v.Pada tahun 1901 Amerika Syarikat sedang berusaha untuk mendapatkan konsesi kawasan perlombongan bijih timah di pulau-pulau di sekitar perairan Terengganu.
vi.Inggeris tentu sekali tidak sanggup membiarkan mana-mana kawasan di NMU jatuh ke tangan kuasa-kuasa Eropah yang lain.

b. Rusuhan di Negeri-negeri Melayu Utara.
i.Semenjak peringkat awal lagi, sultan-sultan NMU tidak suka berada di bawah naungan Siam. Mulai abad ke 19, Siam telah menjalankan dasar mengetatkan kekuasaannya ke atas NMU yang telah mengakibatkan tercetusnya rusuhan di NMU.
ii.Raja Abdul Kadir dari Patani dan Sultan Muhammad ke IV dari Kelantan telah meminta bantuan British. Sekiranya British tidak membantu pemerintah-pemerintah tersebut, terdapat kemungkinan mereka akan mendapatkan bantuan daripada kuasa-kuasa Eropah yang lain.

c.Kegiatan R. W. Duff di Kelantan.
i.Pada tahun 1900, R.W. Duff, seorang bekas anggota polis di NMU telah berjaya mendapatkan kawasan seluasa kira-kira 7770 km persegi daripada Sultan Kelantan untuk dimajukan.
ii.Beliau telah menubuhkan Perkongsian Pembangunan Duff yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Siam. Kerajaan Siam mendakwa mempunyai hak ke atas Kelantan dan tidak membenarkan Duff melaksankan projek-projeknya.
iii.Tindakan ini telah mendorong Duff meminta sokongan kerajaan British untuk menentang bantahan Siam. Duff mengugut sekiranya British tidak menyokong permintaanya, maka beliau akan mendapatkan bantuan daripada kuasa Eropah yang lain seperti
Perancis dan Jerman.

d.Peranan Frank Swettenham:
i.Frank Swettenham yang memainkan peranan mempengaruhi keputusan kerajaan British untuk melaksanakan dasar yang lebih aktif terhadap NMU.
ii.Beliau telah memberitahu pejabat luar negeri British bahawa Siam tidak berupaya menguruskan hal-ehwal luar NMU yang berkemungkinan besar akan cuba mendapatkan bantuan kuasa-kuasa Eropah yang lain.
iii.Frank Swettenham berpendapat British harus memperluas pengaruhnya di negeri Kelantan dan Terengganu yang kaya dengan sumber-sumber bahan galian. Malahan hampir kesemua perdagangan di kedua-dua negeri tersebut dijalankan dengan Singapura.
iv.Beliau mencadangkan bahawa kepentingan British harus dipelihara sama ada melalui rundingan dengan negeri-negeri berkenaan bagi mendapatkan hak-hak menguruskan hal-ehwal luar negeri mereka atau pun rundingan dengan pihak Siam untuk melantik pegawai-pegawai British di NMU.

Syarat-syarat Pengisytiharan Inggeris – Siam 1902.

a. Pengisytiharan Inggeris –Siam ditandatangani pada 5 Oktober 1902.

b. Syarat-syarat Pengisytiharan:-
i.Siam akan mengawal hubungan luar negeri Kelantan dan Terengganu.
ii.Seorang penasihat berbangsa Inggeris akan dilantik oleh Siam bagi membantu Sultan dalam semua hal pentadbiran kecuali mengenai soal agama dan adat resam Melayu
iii.Kelantan dan Terengganu tidak boleh menyerahkan konsesi kepada kuasa asing tanpa izin Siam
iv.British mengakui ketuanan Siam ke atas Terengganu dan Kelantan.
c. Pengisytiharan ini merupakan langkah penting dalam proses perluasan kuasa British ke atas NMU. Sultan Kelantan menerima perlantikan penasihat British pada tahun 1903, manakala Kedah pada tahun 1905, tetapi Sultan Terengganu tidak bersetuju berbuat demikian.

3. Perjanjian Bangkok 1909 (8 M)

Sebab-sebab perjanjian:

a. Pakatan Inggeris – Perancis 1904
i.Pada April 1904, Inggeris telah menandatangani perjanjian pakatan Inggeris – Perancis, Pakatan ini telah menamatkan persaingan antara Inggeris dan Perancis.
ii.Pakatan ini memberi implikasi secara tidak langsung terhadap dasar Inggeris di NMU. Pakatan ini telah menamatkan kebimbingan British terhadap perluasan pengaruh Perancis di NMU yang akan menjejaskan kepentingan British di Siam

b.Keputusan untuk membina landasan kereta api
i.Pada awal abad ke 20, Siam telah mengambil keputusan untuk membina landasan kereta api yang akan menghubungkan Bangkok dan Kedah dengan bantuan buruh dan modal dari Jerman.
ii.British bimbang langkah tersebut akan mengakibatkan campur tangan Jerman di Kedah.

c.NMU tidak menguntungkan Siam.
i.Menjelang tahun 1904, Siam telah menyedari bahawa NMU tidak menguntungkannya. Pada tahun 1904 Kedah menghadapi masalah kewangan selepas mengadakan majlis perkahwinan diraja secara besar-besaran. Siam terpaksa memberi pinjaman sejumlah RM 2 juta kepada Kedah.

d.Pemerintahan Siam di NMU tidak diterima oleh pemerintah dan rakyat tempatan.

i.Pihak Siam juga mendapati adalah terlalu sukar untuk mengendalikan NMU. Mulai abad ke 19, pemerintahan Siam di NMU tidak diterima oleh pemerintah dan rakyat tempatan.
ii.Sultan-sultan di NMU berusaha bersungguh-sungguh untuk membebaskan negeri mereka dari naungan Siam. Contohnya Sultan Terengganu enggan menerima penasihat yang dilantik oleh kerajaan Siam sebagai memenuhi pengisytiharan Inggeris – Siam 1902.
iii.Siam juga bersedia menyerahkan NMU kepada Inggeris sekiranya Inggeris bersedia menyerahkan kembali hak wilayah asingannya di Siam.

e.Kepentingan perdagangan dan pelabuhan British;

i.British juga bersedia mengambil alih NMU, memandangkan NMU mempunyai potensi bagi perkembangan perdagangan dan pelabuhan British.
Syarat-syarat Perjanjian Bangkok ( 9 Julai 1909 ).
a. Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu diserahkan kepada British.
b. British pula menyerahkan kembali hak wilayah asingan di Siam.
c. Kerajaan British di Tanah Melayu akam memberi pinjaman sebanyak 4 juta kepada Siam untuk membina landasan kereta api dari sempadan Tanah Melayu ke Bangkok.
d. British juga akan menanggung semua hutang keempat-empat negeri Melayu berkenaan.

C) KESIMPULAN ( 2 @ 3 M)
1. Dengan termaktubnya perjanjian Bangkok dan penerimaan penasihat British oleh Johor pada tahun 1914. maka tamatlah proses perluasan kuasa British di Tanah Melayu.
2. Perjanjian Bangkok 1909 juga merupakan satu peristiwa sejarah yang menentukan sempadan antara Tanah Melayu dan Siam.
Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...