cikgu YaTie
ini juga...kalau la cikgu yang buat soalan...tajuk ni mesti keluar punya.......


BINCANGKAN PENGARUH AGAMA ISLAM TERHADAP MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL DI TANAH MELAYU SEBELUM KEDATANGAN
BRITISH.

A) PENGENALAN (2@3 M)

Agama Islam telah dibawa masuk ke Tanah Melayu pada abad ke-15 melalui kerajaaan Kesultanan Melayu Melaka dan seterusnya dikembangkan ke seluruh Tanah Melayu serta dianuti oleh masyarakat Melayu tempatan. Agama Islam telah mempengaruhi setiap aspek kehidupan masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu sebelum kedatangan British pada abad ke-19. Kedatangan Islam telah membawa perubahan kepada masyarakat Melayu di Tanah Melayu dalam bidang politik, perundangan, adat dan kebudayaan, semangat jihad dan pendidikan.

B) ISI (20M)
PENGARUH AGAMA ISLAM TERHADAP MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL

1)Politik
a.Kedatangan agama Islam telah memperkenalkan konsep kesultanan yang berbeza dengan konsep beraja yang dipengaruhi oleh unsur agama Hindu-Buddha. Konsep Dewa Raja yang menganggap Raja sebagai bayangan tuhan di muka bumi telah digantikan dengan Sultan sebagai Khalifah Allah di muka bumi.
b.Agama Islam juga turut memperkukuhkan kedudukan dan taraf raja-raja Melayu. Raja dalam masyarakat Melayu tradisional telah digantikan dengan gelaran Sultan yang menjadi penaung kepada agama Islam dan bertindak sebagai Ketua Agama Islam di Negeri-negeri Melayu.
c.Sementara pemimpin-pemimpin Islam pula telah dilantik sebagai penasihat sultan dalam semua perkara yang berkaitan dengan hukum syarak ataupun mengenai agama Islam. Mereka menerima anugerah daripada Sultan seperti Imam Maharaja, Maharaja Kadi, Dato Mufti dan Seri Utama.
d.Di Terengganu, golongan agama digelar Tokku. Keturunan mereka dikenali sebagai Engku atau Tuan.

2)Perundangan
a.Hukum Syarak telah dijadikan sebagai sistem perundangan di negeri-negeri Melayu tradisional. Hukum syarak telah dijadikan sistem perundangan secara meluas di Perak, Terengganu, Pahang dan Johor.
b.Hukum Syarak yang dilaksanakan di negeri-negeri Melayu pada abad ke-19 termasuklah undang-undang jenayah yang melibatkan hukum bagi kesalahan mencuri, samun, membunuh, berzina dan liwat. Sementara undang-undang muamalat pula melibatkan hukuman bagi kesalahan menjual-beli, hutang-piutang, sewa tanah, hukum berhuma, berladang, menternak dan larangan melakukan kerja-kerja mungkar seperti meminum arak dan tuak.
c.Contohnya, pada abad ke-19, Terengganu melaksanakan hukum Syariah/ Undang-Undang Islam. Hukuman yang dijatuhkan ialah kesalahan mencuri dikudungkan tangan, yang bersalah dipenjarakan, yang membunuh dihukum bunuh dan kesalahan-kesalahan Mal akan didenda.

3)Adat-istiadat
a.Selepas kedatangan Islam beberapa adat dan undang-undang tempatan telah disesuaikan dengan hukum syarak.
b.Contohnya, Adat Perpatih telah dibawa masuk ke Tanah Melayu pada abad ke-17. Selepas kedatangan Islam, Adat Pepatih telah disesuaikan dengan unsur-unsur ajaran Islam. Begitu juga dengan Adat Temenggung. Kedua-dua adat ini telah menggunakan hukum syarak yang berasaskan Mazhab Shafie.
c.Sementara adat-istiadat yang dahulunya dipengaruhi oleh unsur agama Hindu telah digantikan unsur agama Islam seperti adat persandingan, pertabalan, pijak tanah, melenggang perut, berkhatan dan sebagainya.
d.Upacara mengkhatam Al-Quran telah diadakan bagi meraikan kanak-kanak yang tamat mengaji Al-Quran, kenduri arwah dan kesyukuran serta adat berkampung yang mengkehendaki semua penduduk kampung lelaki mengerjakan sembahyang Jumaat adalah merupakan unsur-unsur Islam.
e.Adat bercukur turut diadakan dan dimulakan dengan berzanji dan marhaban iaitu bacaan mengenai kisah-kisah kelahiran dan kebesaran Nabi Muhammad. Adat ini diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebagai mengucap syukur kepada Allah.
f.Sementara upacara pengkebumian pula dilakukan dengan bacaan talkin dan diakhiri dengan doa oleh imam atau orang alim.
g.Kumpulan-kumpulan hadrah dan kompang pula akan mempersembahkan lagu-lagu bagi memuji kebesaran dan kemuliaan Nabi Muhammad pada majlis sambutan maulidul Rasul.
h.Perayaan-perayaan yang diadakan di istana turut dipengaruhi oleh unsur Islam.
i.Adat-istiadat dan perayaan-perayaan di Istana akan dimulakan dan diakhiri dengan bacaan Al-Quran dan doa.
j.Sementara pegawai-pegawai agama seperti Imam memainkan peranan penting dalam setiap Majlis dan perayaan di Istana.
k.Imam adalah orang yang membaca doa dalam setiap majlis dan perayaan di istana.
l.Imam akan duduk di Balairong bersama-sama dengan pembesar. Ini bermakna agama Islam telah diberikan penghormatan dan kemuliaan yang amat tinggi pada
masa ini.

4)Kepercayaan
a.Agama Islam juga turut memperkenalkan konsep tauhid iaitu menafikan kewujudan banyak tuhan. Ia bermula dengan keesaan tuhan dan konsep ibadat yang luas. Faktor ini telah berjaya menarik minat penduduk-penduduk tempatan terhadap agama Islam.
b.Agama Islam juga turut memberi penekanan kepada fahaman akliah/rasional. Fahaman ini telah berjaya mengubah pemikiran masyarakat Melayu daripada mempercayai unsur-unsur tahyul kepada kepercayaan yang bersifat akliah atau rasional.
c.Selepas kedatangan Islam, pandangan masyarakat Melayu juga telah berubah daripada tokoh-tokoh Hindu, ahli sihir dan bomoh kepada tokoh-tokoh Islam
.

5)Pendidikan
a.Kedatangan Islam juga turut mempengaruhi perkembangan pendidikan di Tanah Melayu.
b.Kanak-kanak Melayu dikehendaki mempelajari bahasa Arab, membaca Al-Quran, belajar sembahyang dan fardu ain. Guru-guru agama biasanya keturunan Arab yang digelar Sayid ataupun Syeikh.
c.Kelas-kelas agama akan diadakan di rumah guru agama pada waktu malam. Dari sini lahirlah sistem pendidikan pondok.
d.Sekolah-sekolah pondok ini akan mengajar mata pelajaran Tauhid, Fekah, Tafsir Al-Quran, Ilmu Mantik, Tasawwuf, Akhlak, Sejarah Islam dan sebagainya.
e.Tujuan penubuhan sekolah-sekolah pondok ialah untuk melahirkan pelajar yang berakhlak tinggi, berpengetahuan Islam dan beribadat dengan betul. Pengajian di sekolah-sekolah pondok ini adalah merupakan pendidikan yang tertinggi di negeri-negeri Melayu sehingga tahun 1850-an.

6)Kesenian
a.Pengaruh Islam juga dapat dilihat dalam bidang kesenian melalui ukiran-ukiran di dinding-dinding masjid, kubah masjid, menara azan, tempat berwuduk, madrasah, batu nisan dan sebagainya.
b.Terdapat juga tulisan dan ukiran yang bercorak bunga geometri dan ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang menghiasi rumah dan bangunan.

7)Bahasa dan Kesusasteraan
a.Kedatangan agama Islam turut menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan.
b.Bahasa kuno yang menggunakan huruf-huruf dari India telah digantikan dengan tulisan Arab iaitu Jawi.
c.Dengan adanya tulisan jawi, ilmu pengetahuan dan Kesusasteraan Melayu telah mengalami perkembangan pesat. Banyak buku-buku telah dihasilkan dengan menggunakan tulisan Jawi.
d.Melalui pengaruh Islam, Bahasa Melayu telah berkembang maju dengan pelbagai istilah yang dipinjamkan dari Arab dan Parsi.

8) Konsep Jihad
a.Konsep Jihad yang muncul selepas kedatangan Islam telah memainkan peranan penting dalam membina tenaga dan menggerakkan tindakan terhadap Imperialisme.
b.Contohnya di Kedah, selepas Kedah ditakluki Siam, usaha-usaha telah dilakukan oleh Sultan Ahmad Tajuddin dan puteranya untuk mengambil semula Kedah daripada kerajaan Siam yang telah dilakukan melalui Perang Jihad terhadap musuh yang bukan Melayu atau kafir. Selama hampir dua dekad putera-putera Sultan Kedah serta alim ulama menyertai penentangan terhadap Siam. Saudagar Islam di NNS turut memberi sokongan secara diam-diam.

9. Ekonomi
a.Islam juga mempengaruhi sistem ekonomi masyarakat Melayu tradisional.
b.Baitulmal telah diperkenalkan yang berfungsi sebagai perbendaharaan Negara dan hasilnya diperoleh daripada zakat dan sedekah.
c.Islam menggalakkan umatnya rajin bekerja dan mencari rezeki yang halal dan melarang perbuatan mengemis.
d. Menggalakkan berdagang dan mengamalkan unsur-unsur yang halal semasa berniaga.
e.Amalan riba, penindasan dan penipuan adalah dilarang.
f. Islam juga menggalakkan nilai-nilai murni dalam ekonomi seperti berjimat cermat dan berusaha bersungguh-sungguh

C) KESIMPULAN (2 @ 3 M)

Agama Islam mempunyai pengaruh dan kesan yang penting dalam masyarakat Melayu serta menjadi amalan seharian dalam kehidupan.
Namun begitu, selepas kedatangan British ke Tanah Melayu, British telah mengubah amalan kehidupan seharian masyarakat Melayu sama ada dalam bidang politik, perundangan, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...