Sebelum campur tangan British,
masyarakat di Tanah Melayu, telah pun mempunyai undang-undang
mereka tersendiri. Undang-undang ini dipanggil hukum adat. Hukum adat merupakan
peraturan dan undang-undang yang diamalkan secara turun-temurun. Sesiapa yang
melanggarnya boleh dihukum. Hukum adat ini dilaksanakan bagi menjamin hak
anggota masyarakat dan memastikan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan
selesa. Di Tanah Melayu terdapat dua hukum adat yang diamalkan iaitu Adat
Temenggung dan Adat Perpatih.
i.
Adat Perpatih
a) Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih
Nan Sebatang yang berasal dari Pagar
Ruyung, Sumatera dan dibawa ke Tanah Melayu oleh orang Minangkabau. Adat ini berkembang di Negeri Sembilan dan
Naning pada abad ke-17.
b) Dari segi politik Adat Perpatih
bersifat demokrasi, iaitu perlantikan pemerintah dibuat dari bawah, iaitu Anak
buah memilih buapak, buapak memilih lembaga , lembaga memilih Undang dan Undang akan melantik Yamtuan Besar
(Raja). Ini bermakna Yamtuan Besar tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan
pembesar kerana perlantikan itu dibuat oleh para pembesar yang berada di
hierarki yang lebih ke bawah. Selain itu keputusan yang dibuat oleh Yamtuan
Besar juga adalah berdasarkan keputusan bersama dengan Undang.
c) Dari segi kekeluargaan dan perkahwinan, Adat Perpatih
mengamalkan hidup secara bersuku-suku, iaitu hidup secara berkeluarga dengan
ahli-ahlinya terdiri daripada satu ikatan sedarah sedaging. Setiap suku
mempunyai nama tersendiri seperti Biduanda, Batu Hampar, Paya Kumbuh, Mungkal,
Tiga Nenek, Seri Melenggang, Seri Lemak, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh,
Anak Melaka, Tiga Batu.
d) Dalam soal perkahwinan Adat Perpatih mengamalkan eksogami
iaitu tidak membenarkan perkahwinan
sesama suku. Selepas berkahwin, si suami akan meninggalkan keluarganya kerana
si isteri akan membawanya tinggal di rumah pusaka (rumah gadang) atau rumah sendiri
yang dibina berhampiran rumah pusaka ibu si isteri. Jika berlaku penceraian
atau si isteri meninggal dunia, maka si suami akan kembali semula kepada
sukunya yang asal manakala anak-anaknya mereka bukan menjadi hak keluarga asas
pasangan suami isteri tersebut tetapi hak rumpun ibunya.
e) Adat Perpatih juga bersifat matriarchal/matrilineal, iaitu
mengutamakan kedudukan wanita. Wanita dianggap sebagai pengasas suku. Harta
pusaka turun-temurun adalah kepunyaan suku. Pewarisan harta diberatkan di
sebelah ibu dan anak perempuan menjadi asas wujudnya suku dan ini menjadikan
wanita kaya dan berkuasa. Si suami tidak berhak ke atas harta pusaka. Terdapat tiga jenis pembahagian harta iaitu harta dapatan, harta carian dan harta bawaan.
f) Dari segi undang-undang jenayah, hukuman dalam Adat Perpatih
bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbangrasa. Orang yang membuat
kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi ganti rugi.
Contohnya jika seseorang dari suku itu dicederakan, dia akan diberi ganti rugi
dalam bentuk ayam atau kambing sebagai ganti darah yang mengalir, besar atau
kecil binatang itu bergantung kepada besar atau kecil luka yang dialami. Bagi
kes kecurian hukumannya ialah memulangkan semula barang yang dicuri atau
dibayar ganti rugi. Bagi kesalahan membunuh, si pembunuh mesti menanggung hidup
keluarga si mati. Hukuman bunuh hanya boleh dikenakan ke atas kesalahan serius
seperti mendurhaka. Adat Perpatih berpegang kepada konsep orang yang melakukan jenayah boleh mengubah
perangai mereka. Pelaksana undang-undang biasanya dijalankan oleh Buapak atau Lembaga kecuali hukuman
bunuh yang hanya boleh dijatuhi oleh Yamtuan Besar
ii.
Adat
Temenggung
a) Adat ini berasal dari Palembang, Sumatera dan diasaskan oleh
Datuk Ketemenggungan. Adat ini telah
diresapi oleh unsur-unsur Islam mengikut mazhab Shafie. Adat ini dipercayai
dibawa ke Tanah Melayu oleh keturunan Diraja Palembang. Disebar luaskan ke
seluruh Tanah Melayu kecuali Negeri Sembilan dan kawasan Naning di Melaka.
b) Dari segi politik Adat Temenggung bersifat autokrasi,iaitu
kuasa terletak di tangan pemerintah atau raja. Raja atau sultan terlalu
istimewa dan kuasanya diperkukuhkan dengan konsep daulat dan durhaka. Kuasa
raja dikaitkan dengan kesaktian dan sesiapa yang melanggarnya terkena tulah
raja. Raja mempunyai keistimewaan tertentu yang dilambangkan dengan penggunaan
warna tertentu dan bahasa dalam yang hanya dikhaskan untuknya. Raja atau sultan
mempunyai kuasa mutlak dan berhak melantik pembesar sama di peringkat negeri,
jajahan, mukim mahupun kampung. Jawatan sultan adalah bersifat warisan iaitu
putera sulungnya akan dilantik menjadi sultan jika berlaku kemangkatan sultan
kecuali di Perak.
c) Dari segi pembahagian harta Adat Temenggung mengutamakan
kaum lelaki (bersifat patriarchal) yang dianggap akan melanjutkan keturunan
sesebuah keluarga. Sifat ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang
mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Anak lelaki akan mewarisi harta pusaka dengan
kadar 2/3 berbanding anak perempuan. Ini berdasarkan tanggungjawab anak lelaki
yang lebih besar dalam keluarga berbanding anak perempuan. Jika berlaku
pencerian lazimnya cara pembahagian harta suami isteri dibuat mengikut hukum
syarak. Harta yang didapati semasa
perkahwinan dipanggil harta sepencarian. Bagi harta sepencarian, ia akan
dibahagikan dua sama banyak kepada isteri yang
diceraikan dan jika isteri yang diceraikan tidak bekerja si isteri hanya berhak mendapat 1/3 bahagian
sahaja.
d) Dalam soal perkahwinan Adat Temenggung mengamalkan endogami,
iaitu membenarkan perkahwinan dengan
sesiapa sahaja dengan syarat ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Seseorang perempuan yang berkahwin dikehendaki
tinggal bersama-sama dengan keluarga ibu bapa suaminya kerana si isteri lazimnya
akan menjadi ahli keluarga si suami.
e) Dari segi Udang-undang Adat Temenggung bersifat menghukum
atau pembalasan. Oleh itu pelaksanaan sesuatu undang-undang dibuat dengan
tegas. Ia bertujuan untuk memberi
ikhtibar kepada orang lain dan
pembalasan kepada si pesalah. Contoh kesalahan membunuh akan dihukum bunuh.
Dalam Adat Temenggung sultan atau pembesar yang akan menjadi pelaksana
undang-undang. Pembesar boleh mengendalikan semua kesalahan kecuali yang
melibatkan hukuman bunuh. Kesalahan yang melibatkan hukuman bunuh hanya
dikendalikan oleh sultan.
Kesimpulan
Hukum
adat memainkan peranan penting dalam mengekalkan peraturan hidup. Ia menjamin
keharmonian dalam masyarakat, menentukan hak dan mengawal tingkah laku individu
dalam masyarakat. Namun selepas kedatangan penjajah undang-undang adat semakin
dipinggirkan kerana British memperkenalkan undang-undang Barat .
Undang-undang barat mula mengantikan
peranan undang-undang adat di Tanah
Melayu, Sabah dan Sarawak. Hanya bahagian-bahagian tertentu undang-undang adat
dikekalkan oleh British dengan sedikit penyesuaian bagi mengambil hati penduduk
tempatan dan mengelakkan penentangan daripada penduduk tempatan.
Catat Ulasan