cikgu YaTie
                Struktur sistem feudal yang diamalkan di England adalah berbentuk piramid. Susun lapis masyarakatnya terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada raja, bangsawan/Baron, dan Knight sementara golongan yang diperintah ialah petani atau rakyat biasa yang dikenali sebagai serf. Pengamalan sistem feudal ini bertujuan untuk menentukan status quo dan pembahagian fungsi kerja setiap lapisan masyarakat.

                Dalam masyarakat feudal di England, raja menduduki herarki tertinggi. Raja berkuasa mutlak dan rakyat tidak mempunyai hak untuk membantah pemerintahan raja. Kedudukan ketertinggian raja ini dapat dilihat semasa era pemerintahan Dinasti Tudor (1485-1603). Raja menguasai tanah, memajakkan tanah kepada Vassal, memberikan tanah kepada Baron dan Knight sebagai ganjaran perkhidmatan. Raja mengurniakan gelaran khas seperti Duke, dan Sir kepada golongan bangsawan untuk mengekalkan kedudukan, pengaruh dan kuasa raja dalam kalangan golongan bangsawan.

                Bangsawan atau Baron menduduki hierarki kedua selepas raja. Baron memainkan peranan penting dalam pentadbiran dan ekonomi. Golongan bangsawan ini menerima gelaran khas seperti Duke, Sir, Count, Lord dan Vassal. Gelaran ini menentukan kedudukan dalam kalangan golongan bangsawan. Duke menduduki hierarki tertinggi diikuti oleh Baron dan Vassal. Golongan bangsawan mentadbir tanah yang diberikan oleh raja. Undang-undang dan cukai ditentukan dan dilaksanakan oleh golongan bangsawan. Baron membayar cukai, menyediakan Knight dan memberikan taat setia kepada raja.

                Knight menduduki lapisan ketiga dalam susun lapisan masyarakat di England. Knight berkhidmat sebagai tentera bagi raja dan baron. Knight menerima tanah sebagai ganjaran perkhidmatannya. Tanah ini akan diagihkan kepada serf untuk diusahakan.
                Serf atau petani merupakan rakyat biasa yang menduduki lapisan terakhir dalam susun lapis masyarakat di England. Serf terikat dengan Sistem Manor. Serf akan mengusahakan tanah raja, Baron dan juga Knight. Serf membayar cukai kepada tuan tanah dan berada di bawah pengawasan raja, baron dan knight.
                Sistem feudal masyarakat England mengalami perubahan ketara ekoran daripada perkembangan Revolusi Perindustrian di England. Golongan serf mula terlibat dengan ekonomi berasaskan industri , berhijrah ke bandar dan mengumpul asset serta modal. Keadaan ini kemudiannya membawa kepada pembentukan golongan puritan dan pedagang.

SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN :

  1. Huraikan susun lapis masyarakat feudal di England pada abad ke-16 hingga abad ke-17M.
  2. Bincangkan sistem sosial masyarakat feudal di England pada abad ke-16 hingga abad ke-17M.
  3. Jelaskan ciri-ciri masyarakat feudal di England pada abad ke-16 hingga abad ke-17M.



1 Response
  1. Reika Chan Says:

    terima kasih..ianya sangat membantu saya sebagai pelajar PRA-U..


Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...