cikgu YaTie


Pembesar merupakan golongan yang sangat berpengaruh dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Pembesar berada dalam lapisan kedua heirarki sosial masyarakat Melayu iaitu selepas sultan atau raja. Mereka sangat berpengaruh dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Pembesar dilantik oleh sultan melalui pemberian cop mohor yang menandakan pemberian kuasa oleh sultan kepada mereka. Pembesar bertanggungjawab mentadbir, mengurus ekonomi dan menjaga keamanan di kawasan yang diamanahkan kepadanya. Sistem pembesar yang diamalkan di negeri-negeri Melayu ada sedikit perbezaan  antara satu negeri dengan negeri yang lain.
 

a.            Pembesar memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan Kerajaan Melayu tradisional. Merekalah yang membantu sultan dalam melicinkan pentadbiran. Pembesar yang dilantik terdiri daripada beberapa golongan; golongan pertama  terdiri daripada keturunan berdarah raja; golongan kedua ialah golongan bangsawan. Golongan yang pertama dan kedua, biasanya jawatan mereka bersifat warisan, iaitu apabila pembesar berkenaan meninggal dunia secara automatik anaknya akan menggantikan tempatnya (taraf tersedia). Golongan ketiga ialah rakyat biasa yang mempunyai kebolehan luar biasa atau berjasa kepada sultan, contohnya Dato’ Bahaman telah dilantik sebagai Orang Kaya Semantan kerana jasanya dalam peperangan mempertahan sultan (taraf capaian).

b.            Sistem pembesar yang diamalkan di negeri-negeri Melayu adalah berasaskan Sistem Pembesar Empat Lipatan. Sistem ini diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka telah diamalkan di negeri Perak, Pahang, Selangor, dan Johor. Walaupun sistem yang sama diamalkan di negeri-negeri ini namun gelaran yang diberikan kepada pembesar adalah berbeza-beza mengikut negeri.

c.            Di Perak, pembesar yang paling berkuasa ialah pembesar berempat. Mereka terdiri daripada Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Orang Kaya Besar Maharaja Diraja, Orang Kaya Temenggung Paduka Raja dan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan. Pembesar Berempat merupakan pemimpin kanan dalam pentadbiran negeri. Mereka berkuasa di daerah masing-masing dan juga dalam pentadbiran kerajaan. Selepas pembesar berempat diikuti pula dengan pembesar berlapan. Mereka terdiri daripada Orang Kaya Balai Maharaja Lela, Laksamana Orang Kaya, Orang Kaya Syahbandar, Panglima Kinta Seri Amarbangsa, Seri Akar Di Raja (Dato’ Sagor), Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja, Seri Adika Raja dan Imam Paduka Tuan. Semua pembesar dilantik oleh sultan melalui surat kuasa atau surat tauliah dan pemberian sebilah pedang sebagai lambang jawatan.

d.            Di Selangor pula gelaran pembesarnya ialah Penggawa Permatang, Penggawa Tua, Penghulu Aru, Tok Kelang, Dato’ Naga, Dato’ Menteri dan Orang Kaya Kecil. Di Kelantan, para pembesarnya memakai gelaran seperti ‘Tuan” dan ‘Wan’. Pada masa pemerintahan Sultan Muhamad 1, baginda telah menubuhkan sebuah Badan Jemaah Menteri bagi memudah dan melicinkan pentadbirannya. Di bawah badan ini baginda telah melantik tujuh pembesar untuk membantunya dalam pentadbiran, iaitu Raja Bendahara, Raja Bukit Laut, Raja Bukit Panor, Tengku Kota, Tengku Aria Pahlawan, Dato’ Kaya Hulubalang Kaduk dan Dato’ Panglima Perang Londang. Pada masa pemerintahah Sultan Muhammad II baginda telah menubuhkan Lapan Badan Jemaah Menteri untuk melicinkan pentadbirannya iaitu Menteri Pentadbiran dan Mengimarahkan Negeri yang bertanggungjawab dalam membangun dan memajukan negeri, Menteri Perbendaharaan bertanggungjawab terhadap harta benda dan hasil mahsul negeri, Menteri Luar bertanggungjawab terhadap yang berkaitan dengan dasar dan urusan luar negeri, Menteri Dalam Negeri berperanan menjaga keamanan negeri, Menteri Peperangan bertanggungjawab terhadap hal ketenteraan, pertahanan dan peperangan, Menteri Istana menjaga adab kebesaran di raja dan adat istiadat rasmi, Penasihat Raja menguruskan hal-hal besar yang bukan rahsia dan Menteri Keadilan dan Kehakiman bertanggungjawab terhadap urusan keadilan dan kehakiman.

e.            Di Negeri Sembilan yang mengamalkan adat perpatih, pentadbirannya dibahagikan kepada beberapa daerah atau jajahan yang dipanggil luhak atau luak. Terdapat empat luak utama, iaitu Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol. Undang Berempat menjadi ketua bagi setiap luak dan ketua bagi luak-luak yang lain dikenali sebagai Penghulu. Pembesar lain di bawah Undang dan Penghulu ialah Lembaga. Di bawah Lembaga terdapat Buapak dan di bawah Buapak terdapat suku-suku masyarakat yang terdiri daripada keluarga kecil yang dinamakan Perut. Ketua Perut ialah Buapak. Pihak yang berkuasa sebenarnya di Negeri Sembilan ialah empat orang Undang. Ini disebabkan merekalah yang berkuasa memilih dan melantik sesiapa sahaja daripada kerabat diraja untuk menjadi Yang Dipertuan Negeri.

f.             Di Johor, sebelum tahun 1860-an dan 1870-an, pembesar memainkan peranan penting sebagai pentadbir di peringkat wilayah. Sultan berkuasa di peringkat pusat. Sultan tidak campur tangan dalam pentadbiran di peringkat wilayah sekiranya tiada berlaku kekacauan menyumbang kewangan kepada sultan. Selepas tahun 1860-an dan 1870-an, Sultan Abu Bakar  memperkenalkan sistem pentadbiran Barat. Perlantikan pembesar dibuat berdasarkan kebolehan, keupayaan, pengalaman, kecekapan dan kekerabatan pemerintah. Melalui sistem ini pembesar bertindak sebagai pegawai kerajaan yang dibayar gaji, menjalankan tugas-tugas yang dikhaskan dan perlu mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan. Umumnya pembesar di Johor dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan berdarah raja, mereka ini dikenali sebagai Tengku, Engku, Raja dan Wan dan golongan kedua pula terdiri daripada mereka yang bukan berketurunan darah raja, mereka ini dianugerahi gelaran Dato’.


Jelas bahawa sistem pembesar di negeri-negeri Melayu tidak seragam, namun fungsi dan peranan yang dimainkan oleh pembesar hampir sama iaitu sebagai orang penting dalam membantu sultan melicinkan pentadbiran. Tanpa pembesar sudah tentu sultan tidak dapat menjalankan pentadbiran yang berkesan. Selepas campur tangan British, pada tahun 1874 fungsi dan peranan pembesar mulai berubah. Kedudukan mereka mula terjejas dan British tidak lagi menganggap mereka elemen penting dalam pentadbiran. Campur tangan British menyebabkan tugas pembesar telah diambil alih oleh pegawai British. Ini secara langsung menyebabkan para pembesar kehilangan kuasa.
1 Response
  1. Thiwyah Sri Says:

    terima kasih byk2


Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...